#3451: Perbezaan Hadith Hasan Li Zatih dan Hasan Li Ghairih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat perbezaan di antara hadith hasan li zathih dan hasan li ghairih dan bagaimana perbahasan ulama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrifan Imam Turmizi berkenaan kedudukan hadith hasan kemudian diikuti oleh Imam al-Khattabi dengan ibarat yang berlainan, maka, gabungan dan dapatan kajian daripada keduanya menyebabkan Imam Ibn al-Salah menyatakan hadith Hasan terbahagi kepada dua. Begitu juga al-Hafiz Ibn Hajar menamakan kedua-duanya seperti berikut:

  • Hasan li Zatihi (الحسن لذاته)

Hasan li Zatihi adalah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang adil tetapi kurang pada tahap hafalannya berserta sanadnya yang bersambung tanpa ada syaz dan ‘illah. Contoh hadith Hasan li Zatihi ialah:

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ لِلَّهِ، وَأَبْغَضَ لِلَّهِ، وَأَعْطَى لِلَّهِ، وَمَنَعَ لِلَّهِ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ الْإِيمَانَ

Maksudnya: “Barangsiapa berkasih sayang kerana Allah, marah kerana Allah, memberi kerana Allah dan menghalang sesuatu kerana Allah, maka telah sempurna iman.”

Riwayat Abu Daud (4681)

Perawi-perawi di dalam hadith ini adalah thiqah (dipercayai) melainkan al-Qasim iaitu Abdulrahman al-Syami. Beliau merupakan seorang tabi’i dan beliau merupakan salah seorang perawi yang adil (tidak berdusta). Akan tetapi, para ahli hadith membincangkan berkaitan tahap hafalannya sehingga sebahagian ulama mengdhaifkannya dan sebahagian yang lain mengthiqahkannya. Justeru itu, hadith ini adalah hadith Hasan li Zatihi kerana salah seorang perawi di dalam sanad hadith dipertikai dari sudut tahap hafalannya dalam meriwayatkan hadith.

Hasan Li Zathih sama seperti hadith sahih tetapi sedikit kurang dari segi dhabit perawinya. Ganti daripada 100% yang dikenali sebagai dhabit tam mungkin hanya 80-90% dhabitnya. (Lihat Ususu al-Nazar fi Ilmi al-Athar oleh Muhammad Mujir al-Khatib, hlm. 45)

  • Hasan li Ghairihi (الحسن لغيره)

Hasan li Ghairihi pula adalah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang mastur atau dhaif yang mana perawi ini tidak banyak melakukan kesilapan dan tidak dituduh sebagai pendusta. Selain itu, riwayatnya boleh menjadi mutaba’at atau banyaknya jalur riwayat tersebut atau terdapat baginya syahid (sokongan daripada riwayat yang lain). Contoh hadith Hasan li Ghairihi ialah:

Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, daripada bapanya berkata: Ada seorang wanita dari bani Fazarah telah bernikah dengan maharnya berupa sepasang selipar. Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadanya:

أَرَضِيتِ مِنْ نَفْسِكِ وَمَالِكِ بِنَعْلَيْنِ؟ قَالَتْ: نَعَمْ، قَالَ: فَأَجَازَهُ

Maksudnya: “Apakah kamu redha ke atas diri kamu dengan dua selipar ini? Dia menjawab: Ya. Maka Nabi SAW membenarkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1113)

Terdapat seorang perawi di dalam sanad hadith ini atau riwayat ini iaitu ‘Asim bin ‘Ubaidillah yang mana beliau merupakan seorang perawi yang buruk tahap hafalannya. Namun, hadith ini dihasankan kerana terdapat jalur lain yang menyokong serta mengangkat riwayat ini ke tahap Hasan li Ghairihi. Imam al-Tirmizi ada menyatakan bahawa di antara jalur lain bagi hadith ini adalah daripada jalur Umar, Abi Hurairah, Sahl bin Sa’ad, Anas bin Malik, Abi Sa’id dan beberapa orang lagi daripada kalangan sahabat R.anhum.

Sebahagian ulama membahagikan hadith kepada dua sahaja. Sahih yang makbul dan dhaif yang mardud (ditolak). Mereka memasukkan hadith hasan ke dalam sahih kerana natijahnya satu iaitu boleh berhujah dengannya.

Perbezaan yang nyata di antara hasan li ghairih ketika bertembung dengan hadith sahih maka hendaklah didahulukan hadith sahih berbanding hasan li ghairih kerana hasan li ghairih pada asalnya dhaif.

Pembahagian seperti ini dikemukakan oleh Ibn Huzaimah Ibn Hibban dan al-Hakim. Mereka membahagikan dua sahaja; sahih dan dhaif. (Lihat Ususu al-Nazar fi Ilmi al-Athar oleh Muhammad Mujir al-Khatib, hlm. 45-46)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *