Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang isteri yang bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Saya seorang penjawat awam dan mempunyai pekerjaan yang stabil berbanding suami. Apabila kami mempunyai anak, kami telah membuat pilihan atas persetujuan bersama supaya hanya saya yang bekerja dan suami menguruskan anak-anak.
Baru-baru ini, saya ada mendengar ceramah menyatakan rumahtangga yang isterinya mencari nafkah, tidak akan cukup dan sering kekurangan. Ini kerana hilang keberkatan pada rezeki.
Soalan saya, adakah perlu saya berhenti kerja dan hanya suami yang bekerja? Adakah apa yang saya buat ini, usaha saya ini hanya sia-sia dan tidak mendapat redha Allah? Dalam situasi dan umur sekarang, diakui agak sukar untuk suami mencari pekerjaan. Mohon pandangan dan nasihat ustaz. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada hari ini, menjadi satu kelaziman apabila suami dan isteri saling bekerja bagi menyara kehidupan mereka bersama, terutamanya mereka yang mempunyai anak, maka sudah tentu banyak komitmen yang perlu dilunaskan seperti kelengkapan rumah, keperluan diri, hutang, bil air/elektrik, sewa rumah dan seumpamanya.
Daripada Aisyah R.Anha, katanya:
لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الفَجْرَ، فَيَشْهَدُ مَعَهُ نِسَاءٌ مِنَ المُؤْمِنَاتِ مُتَلَفِّعَاتٍ فِي مُرُوطِهِنَّ، ثُمَّ يَرْجِعْنَ إِلَى بُيُوتِهِنَّ مَا يَعْرِفُهُنَّ أَحَدٌ.
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang perempuan mukminah juga turut solat Subuh bersama Nabi SAW. Mereka solat dengan berselimutkan kain-kain mereka. Kemudian setelah solat, mereka pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan tiada sesiapa pun mengenali mereka.”
Riwayat al-Bukhari (372)
Sayyid Qutb dalam tafsirnya menyebutkan: Suruhan supaya kaum wanita tetap berada di dalam rumah tidak bererti mereka tidak dibenarkan keluar rumah sama sekali. Ayat yang dimaksudkan adalah tempat sebenar bagi mereka adalah di rumah, manakala selain daripada tu adalah suatu bentuk pengecualian yang diberikan apabila ada keperluan dengan kadar-kadar tertentu. Rumah adalah satu-satunya tempat yang menjamin nilai-nilai kewanitaan terpelihara seperti yang dikehandaki Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 5/ 2859-2860)
Dr. Abd Wahid Wafi di dalam al-Muwasat fi al-Islam menyatakan akan keharusan wanita berkerja di luar rumah ataupun mengerjakan kerja-kerja sosial dan kebajikan yang dia sendiri mampu untuk melakukan sesuai dengan sifat kewanitaannya dengan syarat penglibatan tersebut tidak menimbulkan fitnah dari segi akhlak dan sosial. Maka untuk tujuan itu, wanita seharusnya menjaga diri dengan mematuhi segala ketetapan hukum sepertimana yang dikehendaki Allah SWT seperti tidak berpakaian dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan juga tidak bergaul secara bebas. Apa yang paling penting ialah penglibatannya itu tidak menganggu tugasnya yang hakiki iaitu, rumah tangga, suami dan anak-anaknya. (Lihat al-Muwasat fi al-Islam, hlm 46-49)
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#476 Wanita Keluar Bekerja[1]
Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan harus dan dibolehkan untuk wanita keluar berkerja berdasarkan garis panduan dan dhawabit berikut:
- Niat ikhlas bekerja kerana Allah SWT
- Mendapat keizinan bapa atau suami.
- Tidak mengabaikan tanggungjawab rumah tangga, suami dan anak-anak sekiranya telah berkahwin.
- Tidak menimbulkan sebarang fitnah ketika keluar bekerja dan ketika pulang
- Tidak berpakaian dengan pakaian yang mendedahkan aurat dan juga tidak bergaul secara bebas.
Oleh itu, tidak menjadi masalah untuk saudari bekerja dengan syarat menepati garis panduan di atas. Dalam pada itu, si suami juga tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kerana ia kewajipan ke atas seorang suami. Kami juga menasihatkan agar si suami cuba mencari kerja yang sesuai dengan kemampuannya agar peranannya sebagai suami dapat dijalankan dengan lebih baik. Adapun berkenaan rezeki, rezeki itu sendiri datangnya dari Allah sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).”
Surah Hud (6)
Begitu juga, firman Allah SWT:
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Surah Ibrahim (7)
Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] https://maktabahalbakri.com/476-wanita-keluar-bekerja/
Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445