#3463: Hukum Daripada Hasil Penjualan Tembakau dan Daun Rokok

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum ustaz. Saya ingin ajukan satu soalan berkaitan tembakau. Apakah hukum dari hasil penjualan tembakau dan daun rokok. Adakah hasil ia dikira haram atau makruh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Sulami (Mufti Republik Tunisia) berkata: “Tembakau merupakan tanaman habitat asli Amerika. Oleh sebab itu, orang (Arab dan bukan-Amerika) dulu tidak mengenalinya. Tumbuhan ini dibawa oleh para penjelajah benua Amerika yang kemudiannya menanam tembakau di Portugal dan Sepanyol. Melalui kedua-dua negara ini, tanaman tembakau kemudiannya berpindah ke Eropah Barat, Turki dan negara-negara lain di dunia. Tanaman ini kemudiannya digunakan oleh masyarakat dengan cara menghancur dan menyedut asapnya selepas dibakar. Mereka menggunakan tanaman tembakau untuk menggantikan rokok. Penghisap rokok menyedut asapnya dan menganggap dirinya telah mendapat kepuasan yang sebenar.”

Menurut pengamal perubatan, Dr. Arifin Fii, penggunaan tembakau merupakan salah satu ancaman kesihatan awam terbesar yang pernah dihadapi dunia dengan statistik menunjukkan:[1]

Tabiat merokok membunuh lebih daripada 8 juta penduduk dunia saban tahun. Lebih 7 juta daripada kematian di seluruh dunia itu adalah akibat penggunaan tembakau secara langsung. Sekitar 1.2 juta adalah akibat daripada bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok. Di Malaysia, menurut Dr. Arifin, terdapat kira-kira 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun berkaitan dengan merokok.[2]

Daripada statistik yang dikeluarkan KKM sebelum ini pula menyatakan bahawa 10,000 rakyat Malaysia yang mati setiap tahun disebabkan penyakit berkaitan secara langsung dengan tabiat merokok. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok sendiri, bahkan juga berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko penyakit kanser, penyakit jantung dan masalah pernafasan.

Perangkaan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan kesan merokok dan penagihan tembakau yang lain boleh menyebabkan satu kematian dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia. Dengan kata lain, kira-kira 5 juta kematian dalam tempoh setahun. Selain memberi kesan kepada kesihatan perokok, tabiat merokok juga boleh memberi kesan negatif kepada generasi akan datang.

Syeikh Ba‘lawi dalam Bughyah al-Mustarsyidin berkata: “Tembakau (rokok) sudah dimaklumi sebagai sesuatu yang halal yang paling buruk dan boleh mengkhayalkan dan berlakunya pembaziran harta. Tembakau bukanlah menjadi pilihan makanan, hisapan atau sedutan oleh mereka yang bermaruah.” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 260)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum asal bagi penjualan tembakau itu adalah harus kerana kaedah menyebut :

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”

Namun penyalahgunaan tembakau daripada hasil jualan itu membawa kepada haramnya penjualan tembakau itu kerana ia membawa kepada perkara-perkara yang membahayakan kesihatan, memberi mudarat kepada yang lain, pembaziran harta dan perkara mudharat yang lain. Hal ini kerana kaedah fiqh ada menyebut :

مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَام

Maksudnya: “Apa yang membawa kepada perkara yang haram maka hukumnya adalah haram.”

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hasil penjualan tembakau dan daun rokok adalah haram kerana penjualan tembakau itu sendiri membawa kepada perkara-perkara yang haram yang membahayakan kesihatan serta penyebab kepada mudharat yang lain. Kami nasihatkan supaya mengelakkan daripada menjual bahan-bahan seperti ini agar masyarakat kita bebas daripada terjebak daripada tabiat merokok yang jelas-jelas membahayakan kesihatan penghisapnya. Ibn Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا ضَرَرَ ولا ضِرارَ

Maksudnya: “Tiada kemudaratan dan tiada yang memudaratkan.”

Riwayat Ibn Majah (2341); Ahmad (5/327); al-Daraqutni (4/228); Imam Malik (2/746) dalam al-Muwatta’.

Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyebut, bahawa al-Mahasini berkata: “Yang dimaksudkan dengan merugikan adalah melakukan sesuatu yang bermanfaat bagi dirinya, tetapi menyebabkan orang lain mendapatkan mudarat.” Ini adalah pendapat yang benar. (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah fi al-Ahadith al-Sahihah al-Nabawiyyah, hlm. 83).

Sebahagian ulama berkata: “Yang dimaksud dengan kamu membahayakan iaitu engkau merugikan orang yang tidak merugikan kamu. Sedangkan yang dimaksudkan saling merugikan iaitu engkau membalas orang yang merugikan kamu dengan hal yang tidak setara dan bukan untuk membela kebenaran.” (Lihat al-Kafi Syarah Arba‘in al-Nawawi, hlm. 302).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/tobacco

[2] https://www.astroawani.com/berita-malaysia/merokok-lebih-27000-kematian-rakyat-malaysia-setiap-tahun-pengamal-perubatan-347776

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *