Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam situasi seperti ini, Oktober 2023 telah tercetus peperangan antara Hamas dan pihak Palestin bertembung dengan rejim zionis Israel. Saya bercadang ingin menunaikan umrah sunat, tetapi sahabat saya mengesyorkan agar bagi bantuan kepada penduduk Palestin. Apa pendapat Dato’ Seri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi umrah. Umrah dari segi bahasa bermaksud ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).

Berkenaan hukum asal bagi ibadah umrah, kami telah menjawabnya dalam Ahkam Syar’iyyah siri #1513.

Kami mulakan dengan kelebihan melaksanakan umrah. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا 

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Begitu juga berdasarkan hadith daripada Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّ الْمُتَابَعَةَ بَيْنَهُمَا تَنْفِي الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ ‏

Maksudnya: “Iringilah haji dengan umrah, kerana mengiringi haji dengan umrah dapat menghilangkan dosa dan kefakiran, sebagaimana alat peniup api dapat menghilangkan karat besi.”

Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa’i (2631), Ibn Majah (2887), Ahmad (167) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/244).

Menjawab persoalan di atas, kami katakan apa yang berlaku sehingga hari ini 19 Oktober 2023, peperangan masih lagi berlaku dan kebejatan serta penjarahan rejim zionis Israel pada tahap melamppau tanpa perikemanusiaan dan kezaliman yang tiada tolak bandingnya tanpa mengenal kanak-kanak, wanita, pesakit dan orang awam.

Fadhilatul Syeikh al-Imam al-Akbar Prof Dr Ahmad Tayyib telah mengemukakan bayan yang begitu tegas terkait dengan isu semasa Taufan al-Aqsa dan penjarahan rejim zionis terhadap hospital al-Ma’madani sehingga mengorbankan hampir 1,000 orang dan yang cedera 6,000 orang. Ini tidak termasuk kematian dan kecederaan sebelum dan selepas itu yang angkanya melebihi 13,000 orang kematian bagi pihak umat Islam Gaza, Palestin. 

Kenyataan Syeikhul Azhar Selepas Dibom Hospital Al-Ahli Arab pada 17 Oktober 2023. 

Antara kenyataannya ialah:

Tindakan yang amat biadap, bacul dan sentiasa Barat merasakan dia betul. 

Umat Islam janganlah merasa lemah dan dukacita serta hina inilah pesanan.

وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ 

Maksudnya: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.”

(Surah Ali Imran: 139)

Begitulah perangai mereka yang amat keras bahkan lebih keras daripada batu. Firman Allah SWT:

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُم مِّن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً ۚ 

Maksudnya: “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.”

(Surah al-Baqarah: 74)

Syeikhul Azhar Prof Ahmad Tayyib berkata kepada Perdana Menteri Palestin ketiga, Ismail Haniyeh:

قُلُوبُنَا مَعَكُمْ وَنَحْنُ فِي غَايَةِ الْأَلَمِ مِنْ هَذِهِ الْمَجَازِرِ

Maksudnya: “Hati-hati kami bersama kamu sedangkan kami dalam keadaan dukacita yang amat berkenaan tragedi berdarah dan penyembelihan seperti ini.”

Jika sekiranya keperluan umat Islam untuk diberi bantuan seperti apa yang berlaku di Gaza, Palestin (Oktober 2023) yang sedang diperang dan dijarah oleh rejim zionis, maka kami berpendapat alangkah baiknya, duit tersebut untuk melaksanakan ibadat umrah sunat diberikan kepada saudara-saudara kita yang sedang terkepung dan terperangkap dengan serangan ganas lagi menggila tanpa perikemanusiaan dan serangan yang membabi buta termasuklah kepada hospital, tempat belajar, masjid dan lain-lain.

Justeru, kami katakan memberi bantuan kepada Palestin dalam situasi seperti ini adalah menajdi kewajipan kepada kita. Ini berdasarkan fiqh aulawiyyat. Pernah berlaku serangan ke atas Bosnia pada awal 1990-an, bagaimana para ulama telah memberi fatwa yang sama untuk membantu umat Islam di Bosnia Herzegovina. 

Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah mengarang buku bertajuk Fiqh Aulawiyyat menyokong penuh pendapat Syeikh Anwar al-Jundi yang memberi pandangan serta pendapat agar dibantu masyarakat Bosnia ketika itu, lebih utama dari melaksanakan ibadat umrah sunat. Fatwa itu diterima secara menyeluruh oleh para ulama.

Kami nyatakan di sini ketika mana umat Islam Gaza bertarung antara hidup dan mati, maka, apa peranan kita? Sudah tentu, bukan sekadar doa yang menjadi senjata utama bagi umat Islam, tetapi kewajipan kita juga mengirim bantuan yang diperlukan terutamanya bekalan makanan dan minuman, ubat-ubatan, pemulihan segera hospital, katil-katil pesakit, ambulan, begitu juga, tempat tinggal sementara, pakaian di musim sejuk, bekalan tenaga, elektrik dan bantuan air bersih untuk minuman perlu diutamakan dan disegerakan.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW:

وَاَللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: “Allah menolong seorang hamba selagi hamba itu menolong saudaranya.”

Riwayat Muslim (2699), Abu Dawud (4946), al-Tirmizi (1425), Ibn Majah (225) dan Ahmad (7427)

Firman Allah SWT:

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Al-Tabari menyatakan: Sesungguhnya wahai orang-orang yang beriman, hendaklah tolong-menolong satu sama lain dalam kebajikan.  Kebajikan itu ialah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah untuk dilakukan dan ‘taqwa’, pula ialah menjauhi apa yang diperintahkan Allah untuk dijauhi dan meninggalkan perbuatan dosa. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/490)

Menurut Syeikh al-Maraghi, isu bantu-membantu dalam melaksanakan sesuatu kebajikan dan ketakwaan adalah merupakan salah satu sendi utama dalam membimbing masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sempurna seperti mana yang dianjurkan di dalam al-Quran. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa memberi pertolongan dalam mana-mana urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan ini termasuklah sesama individu ataupun masyarakat dalam soal kehidupan dunia mahupun kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)

Mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia, kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia, NGOs, umat Islam di Malaysia dan rakyat malaysia seluruhnya yang buat kali pertama bersatu hati memberi bantuan dan mengumpul dengan target melebihi 100 juta yang sudah hampir mencapainya. Jazakumullhu khairal jaza’.

Alhamdulillah, sokongan padu rakyat Malaysia dan kerajaannya jelas menunjukkan inilah kesatuan dalam menentang kezaliman seperti rejim Israel. Tambah menggembirakan kami, pemimpin-pemimpin dunia Islam mula menunjukkan protes dan bersuara di pentas dan persada antarabangsa atas kebiadapan dan penjarahan rejim Israel ke atas bumi Palestin. Justeru, kami katakan sekali lagi marilah sama-sama kita memohon doa dan munajat di samping menunjukkan sikap dan sifat penentangan kita kepada rejim zionis Israel ini. 

Rasulullah SAW menjanjikan kepada kita akan pelepasan dari kesusahan yang akan dihadapi bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat kerana melepaskan kesusahan saudara-saudara kita yang memerlukan dokongan dan sokongan seperti yang terjadi di bumi Gaza, Palestin pada masa ini. 

Daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المُسْلِمُ أَخُو المُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ، وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ، وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً، فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ القِيَامَةِ.

Maksudnya: “Seorang muslim adalah saudara muslim yang lain, tidak boleh menzaliminya dan tidak membiarkannya dizalimi. Barang siapa yang mengusahakan keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (2442) dan Muslim (2580)

Al-Imam al-Qurtubi berkata, “Sepakat di kalangan ulama, apabila orang Islam ditimpa sebarang keperluan selepas menunaikan zakat, maka hendaklah harta tersebut diberikan kepada mereka.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/422) Kami katakan, sementelahan pula, jika berlaku peperangan, pembunuhan, kematian, kecederaan, hilang tempat tinggal, tempat belajar, tempat ibadat hingga hospital, maka sudah tentu memberi kepadanya lebih utama. Inilah yang juga disebubtkan di dalam kitab al-Majmuk.

Munajat, doa, solat hajat dan qiyamullail dengan mengharap bantuan dan pertolongan Allah SWT di tengah-tengah malam yang kelam dari hamba-hamba yang mukhlisin lagi solihin sudah pasti dikabulkan oleh Tuhan. 

Imam al-Syafi’i Rahimahullah berkata dalam bait syairnya:

أَتَهْزَأُ بِالدُّعَاءِ وَتَزْدَرِيْهِ وَمَا تَدْرِيْ بِمَا صَنَعَ الْدُّعَاءُ

سِهَامُ اللَّيْلِ لاَ تُخْطِي لَهَا أَمَدٌ وَلِلْأَمَدِ انْقِضَاءُ

“Apa engkau mencemuh doa dan meremehkannya?

        Kau tidak tahu apa yang mampu dilakukan oleh doa.”

“Panah malam (yakni: dua tangan yang munajat pada Allah di malam hari) tak akan pernah kembali dengan sesuatu yang hampa 

        Dia memiliki tujuan, dan setiap tujuan pasti memiliki akhir pemberhentian.”

(Lihat Mausu’ah al-Raqa’iq, hlm. 1013)

Begitu juga, marilah sama-sama kita melazimi istighfar, taubat dan zikrullah, maka dengannya akan datang pertolongan daripada Allah SWT. Antara yang diimani oleh para sahabat dan umat Islam apabila melihat gerombolan musuh yang ramai dilengkapi dengan senjata yang ampuh lagi canggih. Maka, bertambahlah yakin mereka akan janji Allah SWT dan rasul-Nya:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ۚ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا

Maksudnya: “Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya”. Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.

(Surah al-Ahzab: 22)

Firman Allah SWT:

 الَّذِينَ قَالَ لَهُمُ النَّاسُ إِنَّ النَّاسَ قَدْ جَمَعُوا لَكُمْ فَاخْشَوْهُمْ فَزَادَهُمْ إِيمَانًا وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ 

Maksudnya: “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).

(Surah Ali Imran: 173)

Justeru, marilah sama-sama kita lazimi doa penyerahan kepada Allah SWT dan tawakkal kepada-Nya: 

حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ 

Maksudnya: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).

(Surah Ali Imran: 173)

Kami katakan sekali lagi, bantulah saudara-saudaramu di bumi Gaza walau seringgit cuma. Mudah-mudahan itulah yang menjadi benteng kita daripada api neraka. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.

 Riwayat al-Bukhari (2965)

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

Bertarikh: 19 Oktober 2023 bersamaan 4 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply