#1513: Hukum Mengerjakan Ibadah Umrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengerjakan ibadah umrah bagi seorang Muslim? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umrah dari segi bahasa bermaksud ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).

Umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum umrah kepada dua pendapat.

Pendapat pertama menyatakan, hukum umrah adalah sunat dan tidak wajib. Ini adalah sebagaimana pendapat ulama dalam mazhab Maliki dan majoriti ulama mazhab Hanafi, yang berpendapat umrah adalah sunat muakkad sekali seumur hidup — iaitu pada umrah pertama. Sebahagian ulama mazhab Hanafi pula berpendapat ia adalah wajib sekali seumur hidup mengikut istilah wajib di sisi ulama mazhab Hanafi. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/226; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).

Selain itu, ini juga merupakan salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i iaitu qaul qadim dan satu riwayat dalam mazhab Hanbali. Imam al-Nawawi menyebutkan, dalam qaul qadim dinyatakan bahawa umrah adalah sunat yang digalakkan dan bukannya fardhu sebagaimana disebutkan oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib dalam komentarnya dan dinaskan mengenainya oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab Ahkam al-Quran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/7).

Begitulah juga Ibn Qudamah menyebutkan, dalam riwayat kedua daripada mazhab Hanbali menyatakan bahawa hukum umrah adalah tidak diwajibkan, dan diriwayatkan pendapat tersebut daripada Ibn Mas‘ud. Ini juga merupakan pendapat Imam Malik, Abu Thaur dan ashab al-Ra’yi (ulama mazhab Hanafi). (Lihat al-Mughni, 5/13).

Mereka yang berpendapat bahawa umrah adalah sunat dan tidak diwajibkan berhujah berdasarkan beberapa dalil. Di antaranya, hadith Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنِ العُمْرَةِ أَوَاجِبَةٌ هِيَ؟ قَالَ: لَا، وَأَنْ تَعْتَمِرُوا هُوَ أَفْضَلُ

Maksudnya:Nabi SAW ditanya mengenai umrah, adakah ia diwajibkan? Baginda menjawab: ‘Tidak, tetapi jika engkau melakukan umrah, maka hal itu adalah afdhal.’

Riwayat al-Tirmizi (931) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Kemudian Imam al-Tirmizi menyebutkan, pendapat ini (iaitu ia adalah afdhal) adalah pendapat sebahagian ulama. Mereka menyatakan, umrah hukumnya adalah tidak diwajibkan. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 3/261).

Begitu juga hadith Talhah bin ‘Ubaidullah R.A bahawa:

الْحَجُّ جِهَادٌ وَالْعُمْرَةُ تَطَوُّعٌ

Maksudnya:Haji itu adalah jihad dan umrah adalah disunatkan (tatawwu‘).

Riwayat Ibn Majah (2989); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (6723); Ibn Hajar al- ‘Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir (3/842) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

Selain itu juga, umrah adalah ibadah (nusuk) yang tidak ditentukan waktunya (kerana ia boleh dilakukan sepanjang tahun), maka hukumnya tidak wajib sebagaimana tawaf semata-mata. (Lihat al-Mughni, 5/13).

Pendapat kedua menyatakan, hukum umrah adalah fardhu. Ini adalah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i dan riwayat yang kuat dalam mazhab Hanbali. Selain itu, ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari.

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan, hukum umrah adalah fardhu ain mengikut mazhab Syafi‘i dan tidak diwajibkan melainkan hanya sekali sahaja seumur hidup. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 470). Imam al-Nawawi menyebutkan, pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi‘i dengan kesepakatan para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) dan dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam qaul jadid, hukum umrah adalah fardhu. Ini juga merupakan pendapat Umar, Ibn Abbas, Ibn Umar, Jabir, Tawus, ‘Ata’, Ibn al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, al- Sya‘bi, Masruq, Abu Burdah bin Abu Musa al-Hadhrami, Abdullah bin Syaddad, al-Thauri, Ahmad, Ishaq, Ibn ‘Ubaid dan Daud. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/7).

Dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi menyebutkan, umrah merupakan kefardhuan kepada mereka yang mampu sama seperti haji. Inilah mazhab yang sahih daripada pendapat Imam al-Syafi‘i sebagaimana terdapat nas dalam kitab-kitabnya yang baru. Begitu juga ia tidak diwajibkan untuk melakukan umrah kecuali sekali sahaja sepertimana haji. Namun begitu, umrah disunatkan untuk diperbanyakkan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr Zulkifli al-Bakri, hlm. 306).

Begitu juga Ibn Qudamah menyatakan, umrah adalah diwajibkan ke atas sesiapa yang diwajibkan haji. Diriwayatkan pendapat ini daripada Umar, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, Ibn Umar, Sa‘id bin al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, ‘Ata’, Tawus, Mujahid, al-Hasan, Ibn Sirin, dan al-Sya‘bi. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Thauri, Ishaq, dan al-Syafi‘i dalam salah satu pendapatnya. (Lihat al-Mughni, 5/13).

Mereka yang berpendapat berkenaan kefardhuan umrah berhujahkan dengan beberapa dalil. Di antaranya, firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnkanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).

Ibn Qudamah menjelaskan lagi, perintah dalam ayat di atas menunjukkan kepada wajib, kemudian ia di‘atafkan[1] kepada kalimat haji. Pada asalnya, al-Ma‘tuf[2] dan al-Ma‘tuf ‘alaih[3] adalah sama (dari segi hukum).

Begitu juga hadith Aisyah R.Anha, katanya:

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ؟ قَالَ: نَعَمْ، عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ، لَا قِتَالَ فِيهِ: الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya:Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?’ Baginda menjawab: ‘Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.’

Riwayat Ibn Majah (2901) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat al-Bukhari (2876); al-Nasa’i (2628) dan Ahmad (25322)

Menurut al-Sindi, haji dan umrah menyerupai jihad dari sudut kedua-duanya memerlukan permusafiran dan meninggalkan negeri (tanah air) serta bersusah payah. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/212).

Selain daripada itu, Imam al-Tirmizi selepas menyebutkan hadith Jabir bin Abdullah R.Anhuma di atas (berkenaan pendapat yang menyatakan umrah adalah afdhal) dalam kitabnya, beliau menukilkan pula selepasnya kenyataan Imam al-Syafi‘i yang menyebutkan, umrah adalah sunnah. Kami tidak mengetahui seorangpun yang memberi kelonggaran untuk meninggalkannya. Begitu juga tidak terdapat mana-mana riwayat yang thabit yang menunjukkan bahawa ia adalah disunatkan (tatawwu‘). Terdapat riwayat daripada Nabi SAW berkenaan hal itu dengan sanad, tetapi ia adalah dha‘if dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Apatah lagi telah sampai kepada kami riwayat daripada Ibn Abbas bahawasanya beliau mewajibkan ibadah umrah. Kesemuanya ini adalah kalam Imam al-Syafi‘i. (Lihat Sunan al-Tirmizi, 3/261).

Imam al-Bukhari menyebutkan dalam kitab sahihnya, “Bab Kewajipan Umrah dan Keutamaannya.” Kemudian, beliau membawakan di bawah bab tersebut pendapat Ibn Umar R.Anhuma yang menyebutkan:

لَيْسَ أَحَدٌ إِلَّا وَعَلَيْهِ حَجَّةٌ وَعُمْرَةٌ

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim itu melainkan berkewajipan untuk melaksanakan haji dan umrah.”

Begitu juga pendapat Ibn Abbas R.Anhuma yang menyebutkan:

إِنَّهَا لَقَرِينَتُهَا فِي كِتَابِ اللَّهِ: {وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمْرَةَ لِلَّهِ}

Maksudnya:Sesungguhnya (umrah disebutkan) beriringan (dengan haji) dalam kitab Allah, “وَأَتِمُّوا الحَجَّ وَالعُمْرَةَ لِلَّهِ” (Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.”)[Surah al-Baqarah: 196].

Dr. Mustafa Dib al-Bugha menyebutkan lafaz “لَقَرِينَتُهَا” bermaksud umrah disebut beriringan dengan haji dalam al-Quran dalam ayat yang disebutkan, dengan perintah untuk menyempurnakan kedua-duanya. Perintah menunjukkan kepada wajib, maka ini menunjukkan bahawa umrah itu adalah diwajibkan seperti mana haji. (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/529).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa hukum umrah adalah diwajibkan ke atas setiap Muslim yang berkemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya paling kurang sekali seumur hidup. Inilah pendapat yang lebih kuat sesuai dengan pengamalan mazhab setempat di negara kita. Selain itu, pendapat ini juga dilihat lebih berhati-hati dan keluar daripada khilaf mereka yang mewajibkannya. Terdapat kaedah menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Selain daripada itu, bagi mereka yang mempunyai kecukupan dan kemampuan yang lebih, disunatkan bagi mereka untuk mengulangi ibadah umrah pada tahun-tahun yang berikutnya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan disebabkan oleh besarnya ganjaran yang disediakan. Di antaranya, riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةُ

Maksudnya:Satu umrah ke umrah lain adalah penghapus dosa di antara keduanya, dan haji yang mabrur, tidak ada balasan baginya (yang mengerjakannya) selain syurga.

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349)

Begitu juga hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِامْرَأَةٍ مِنَ الأَنْصَارِ: مَا مَنَعَكِ أَنْ تَحُجِّينَ مَعَنَا؟ قَالَتْ: كَانَ لَنَا نَاضِحٌ، فَرَكِبَهُ أَبُو فُلاَنٍ وَابْنُهُ – لِزَوْجِهَا وَابْنِهَا – وَتَرَكَ نَاضِحًا نَنْضَحُ عَلَيْهِ. قَالَ: فَإِذَا كَانَ رَمَضَانُ اعْتَمِرِي فِيهِ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِي رَمَضَانَ حَجَّةٌ.

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita daripada kaum Ansar: ‘Apakah yang menghalangmu daripada melaksanakan haji bersama kami?’ Dia (wanita itu) menjawab: ‘Kami memiliki unta, namun unta tersebut sudah ditunggang oleh Abu Fulan dan puteranya – yakni unta itu adalah milik suaminya dan puteranya. – Dan dia meninggalkan unta lainnya untuk kami gunakan untuk menyiram tanaman.’ Baginda bersabda: ‘Apabila bulan Ramadhan tiba, lakukanlah umrah pada waktu itu kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadhan adalah haji (yakni pahalanya sama seperti haji).’

Riwayat al-Bukhari (1782)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

[1] ‘Ataf (عطف) dalam konteks bahasa Melayu adalah kata hubung. Contohnya seperti dan, atau, namun dan seumpamanya.

[2] al-Ma‘tuf (المعطوف) ialah kalimat yang berada sebelum huruf ‘ataf.

[3] al-Ma‘tuf ‘alaih (المعطوف عليه) ialah kalimat yang berada selepas huruf ‘ataf.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *