Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa maksud al-Sabil dalam Ibadat haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Anas R.A, katanya:

قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا السَّبِيلُ? قَالَ: الزَّادُ وَالرَّاحِلَةُ.

Maksudnya: “Suatu hari, Rasulullah SAW ditanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al-Sabil (perjalanan haji)? Baginda menjawab: “Bekalan dan kenderaan.”

Riwayat al-Daraqutni (2/218), al-Hakim (1613), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (4/91), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4/327), Abu Dawud dalam al-Marasil (133). Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if dalam Irwa’ al-Ghalil (988).

Maksud al-Sabil (السَّبِيلُ) ialah al-tariq (الطَّرِيْقُ) yang bermaksud jalan. Lafaz al-Sabil (السَّبِيلُ) yang dimaksudkan di sini digunakan untuk segala “sesuatu” yang boleh membawa kepada tujuan. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Berdasarkan hadith di atas, Allah SWT mewajibkan haji bagi yang berkemampuan untuk mengadakan perjalanannya. Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Mengenai ayat tadi, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan al-Sabil (السَّبِيلُ), lalu kemudian Baginda mentafsirkannya dengan “bekalan” dan “kenderaan.”

Maka sesiapa yang telah memiliki bekalan dan kenderaan (untuk melakukan haji), maka kewajiban melaksanakan ibadah haji telah berlaku kepadanya. Sebaliknya, bagi yang belum memiliki keduanya, maka ibadah haji tidak wajib ke atasnya.

Kenderaan pada hadith ini ditafsirkan dengan unta. Tetapi, sesungguhnya (pada masa kini), ia juga mencakupi kenderaan-kenderaan jenis lain, seperti pada ketika ini dikenali dengan kenderaan kereta, kapal terbang atau kapal laut.

Manakala maksud bekalan pada bahasa ditafsirkan dengan makanan musafir. Tetapi, kini ia mencakupi semua yang menjadi keperluan yang berbeza-beza menurut masa dan keadaan bagi jemaah haji. Allah SWT dan Rasul-Nya menyebut secara mutlak bekalan dan kenderaan, kerana setiap manusia akan menyesuaikan makna bekalan dan kenderaan sesuai dengan masa dan keadaannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/18)

Selain itu, kami juga pernah menjawab maksud berkemampuan dalam ibadah haji dan umrah dalam Ahkam Syar’iyyah siri #1522.

Kami telah kemukakan berkenaan dengan istita’ah haji yang dilebarkan kepada kebenaran untuk pergi memasuki negara Saudi yang dikenali sebagai visa, aman perjalanan, tiada wabak, kemampuan untuk pergi dan balik dengan sempurna sama ada dari segi fizikal, kewangan dan kemudahan-kemudahan yang diperlukan oleh mereka yang ingin mengerjakan haji atau umrah.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply