#3687: Hukum Melaksanakan Umrah Kerap Kali Bagi Satu Tahun

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum melaksanakan umrah kerap kali dalam satu tahun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi umrah. Umrah dari segi bahasa bermaksud ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).

Berkenaan hukum asal bagi ibadah umrah, kami telah menjawabnya dalam Ahkam Syar’iyyah siri #1513.

Menjawab persoalan di atas, jumhur ulama’ berpendapat bahawa dianjurkan umrah berkali-kali dalam satu tahun. Sedangkan ulama’ Malikiyyah berpendapat sebaliknya, di mana melaksanakan umrah lebih daripada satu kali dalam satu tahun, hukumnya makruh. Dalam hal ini, ulama’ Malikiyyah berdalilkan bahawa Nabi SAW tidak melakukan umrah melainkan dari satu tahun ke tahun berikutnya.

Adapun jumhur ulama’ berdalilkan dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Begitu juga berdasarkan hadith daripada Umar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّ الْمُتَابَعَةَ بَيْنَهُمَا تَنْفِي الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِي الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ ‏

Maksudnya: “Iringilah haji dengan umrah, kerana mengiringi haji dengan umrah dapat menghilangkan dosa dan kefakiran, sebagaimana alat peniup api dapat menghilangkan karat besi.”[1]

Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa’i (2631), Ibn Majah (2887), Ahmad (167) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/244).

Selain daripada dua hadith ini, masih ada hadith lain yang dijadikan sandaran oleh pendapat jumhur. Dan diriwayatkan juga bahawa Aisyah R.Anha melakukan umrah dalam satu bulan sebanyak dua kali, iaitu ketika dia melakukan haji wada’ bersama Nabi SAW. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/6)

Walaupun begitu, jika sekiranya keperluan umat Islam untuk diberi bantuan seperti apa yang berlaku di Gaza, Palestin (Oktober 2023) yang sedang diperang dan dijarah oleh rejim zionis, maka kami berpendapat alangkah baiknya, duit tersebut untuk melaksanakan ibadat umrah sunat diberikan kepada saudara-saudara kita yang sedang terkepung dan terperangkap dengan serangan ganas lagi menggila tanpa perikemanusiaan dan serangan yang membabi buta termasuklah kepada hospital, tempat belajar, masjid dan lain-lain.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

[1] Imam al-Tibi berkata: “Kemampuan keduanya (haji dan umrah) untuk menghilangkan kemiskinan adalah sepertimana kemampuan amalan bersedekah dalam menambah harta.” (Lihat Faidh al-Qadir, 3/225)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *