Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah seseorang yang mati dengan berpeluh adalah di antara tanda pengakhiran yang baik? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Surah al-A‘raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah. Begitu juga untuk memperoleh husnul khatimah, doa amat diperlukan. Antara doa yang boleh dilazimi ialah:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari dimana daku berjumpa dengan-Mu kelak.

Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (121) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (9411)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat riwayat daripada Buraidah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

الـمُؤْمِنُ يَمُوتُ بِعَرَقِ الجَبِيْنِ

Maksudnya: “Orang Mukmin itu meninggal dunia dengan peluh di dahi.”

Riwayat al-Tirmizi (982); al-Nasa’i (1829); Ibn Majah (1452); Ahmad (23097)[1]

Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, hadith ini dapat difahami dengan dua makna.

Pertamanya, manusia sentiasa menghadapi cabaran dan kesulitan dalam kehidupan ini. Dia sentiasa berjuang di dunia dan menanggung bebanan serta cabaran hidup ini sehingga ajal menjemputnya. Seorang Mukmin menghadapi segala cabaran dan kesusahan ini melalui jalan-jalan yang halal dan berlandaskan syariat. Dia mencari rezeki yang halal, membuat perjanjian yang sah, dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang syubhah. Sebagai hasilnya, kebanyakan rezekinya mencukupi untuk memenuhi keperluan hidupnya. Dia meninggal dunia tanpa menikmati kehidupan yang selesa dan makanan yang sedap, sebaliknya dia meninggal dunia dengan peluh yang menitik di dahinya akibat kepenatan perjuangan hidup. Firman Allah SWT:

 لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي كَبَدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya).

(Surah al-Balad: 4)

Keduanya, sesungguhnya Mukmin menanggung banyak kesusahan semasa menghadapi pengakhiran hayat dan saat-saat terakhirnya, dan dengan itu Allah akan menghapuskan sebahagian dosa-dosa yang masih ada pada dirinya. Ini adalah sebagaimana hadith bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ الصَّالِحَ لَيُعَالِجُ الْمَوْتَ وَسَكَرَاتِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba yang soleh akan menghadapi (atau berhadapan dengan) kematian dan rasa sakit yang amat sangat — kerana kematian itu.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/139-140).

Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata: Sesungguhnya di hadapan Rasulullah SAW terdapat bekas kecil yang diperbuat daripada kulit atau kayu yang berisi air. Kemudian Baginda memasukkan tangannya ke dalam air itu, lalu mengusapkannya ke wajahnya dan bersabda:

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، إِنَّ لِلْمَوْتِ سَكَرَاتٍ

Maksudnya: “Tiada Tuhan selain Allah. Sesungguhnya kematian itu memiliki rasa sakit yang amat sangat.

Riwayat al-Bukhari (6510)

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam turut menyebutkan, orang Mukmin meninggal dunia dalam keadaan peluh mengalir di dahinya disebabkan oleh kesusahan dan beratnya kematian yang dihadapinya, supaya Allah SWT membersihkan dosa-dosanya di peringkat akhir hayatnya, sebagai persediaan untuk peringkat seterusnya iaitu peringkat awal akhirat, sehingga dia meninggalkan dunia ini dalam keadaan murni dan bersih — daripada segala dosa. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/140).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang Mukmin yang mati  dengan peluh di dahinya adalah termasuk dalam di antara tanda pengakhiran yang baik. Hal ini adalah sebagaimana ditunjukkan oleh nas yang sahih. Apatah lagi, kesan peluh itu terzahir akibat kesakitan yang ditanggung olehnya ketika menghadapi kematian dan sakaratul maut, agar ia menjadi asbab kepada penghapusan dosa-dosanya di peringkat akhir hayatnya sebelum dia melangkah ke alam atau peringkat yang seterusnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

[1]  Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Beliau menukilkan daripada al-Hakim yang menyebutkan, hadith ini adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim, dan hal itu disokong oleh Imam al-Zahabi. Begitu juga al-Baihaqi menyatakan, perawi-perawi Imam Ahmad merupakan perawi-perawi kitab al-Sahih. Begitu juga al-Haithami turut menyebutkan, semua perawinya adalah thiqah dan mereka adalah perawi-perawi kitab al-Sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/139)

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply