#3697: Baca Surah al-Mulk Sambil Baring Sebelum Tidur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Soalan saya, bolehkah kita membaca surah Al-Mulk sambil baring sebelum tidur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Surah al-Mulk mempunyai kelebihan apabila dibaca pada setiap malam. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلاَثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ

Maksudnya: Sesungguhnya surah dalam al-Quran padanya 30 ayat, dapat memberi syafaat kepada seorang lelaki sehingga diampunkan. Ia adalah surah al-Mulk.

Riwayat Abu Dawud (1400), al-Tirmizi (2891) dan Ibn Majah (3786)

Yang dimaksudkan dengan hadith ini ialah apabila seseorang itu membacanya setiap malam, mempraktikkan hukum-hukum yang terkandung dalam surah tersebut, dan beriman kepada berita-berita yang terkandung di dalamnya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:

مَنْ قَرَأَ {تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ} [الملك: ١] كُلَّ لَيْلَةٍ مَنَعَهُ اللهُ بِهَا مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَكُنَّا فِي عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُسَمِّيهَا الْمَانِعَةَ، وَإِنَّهَا فِي كِتَابِ اللهِ سُورَةٌ مَنْ قَرَأَ بِهَا فِي كُلِّ لَيْلَةٍ فَقَدْ أَكْثَرَ وَأَطَابَ

Maksudnya: “Sesiapa membaca ‘تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ‘ setiap malam, Allah akan melindunginya daripada azab kubur. Pada zaman Rasulullah SAW., kami menyebutnya sebagai ‘al-Mani’ah’ (yang melindungi). Sesungguhnya ia adalah satu surah dalam Kitab Allah. Bagi sesiapa yang membacanya setiap malam, ia adalah banyak dan lebih baik.”

Riwayat al-Nasa’i (10479), dan dinyatakan hasan dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (1475).

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata, beberapa orang sahabat Nabi menggali tanah tanpa menyangka itu adalah kubur. Maka didapati padanya seorang lelaki yang membaca Surah al-Mulk hingga tamat. Lantas beliau menemui Nabi SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لاَ أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : هِيَ الْمَانِعَةُ ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

Maksudnya: Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menggali tanah tanpa aku menyangka itu adalah kubur, dan aku dapati seorang lelaki membaca surah al-Mulk sehingga khatam. Maka jawab Baginda SAW, surah tersebut adalah penegah, penyelamat yang menyelamatkan tuannya daripada azab kubur.

Riwayat al-Tirmizi (2890)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Maksud al-mani’ah (المانعة) adalah menegah dan menyelamatkan daripada azab kubur atau sebarang maksiat yang mewajibkan hukuman azab kubur. Sedangkan yang menyelamatkan pula boleh jadi sebagai penguat kepada ucapan mani’ah (المانعة) atau ia juga sebagai menafsirkan. Dengan sebab itu ucapan selepas itu Rasulullah SAW menyebut sebagai penyelamat daripada azab kubur. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/200)

Al-Lajnah al-Daimah menyatakan: “Dengan ini, kami berharap bagi sesiapa yang beriman kepada surah ini dan mengkaji bacaannya, dengan niat ikhlas untuk mencari keredhaan Allah, dan merenungkan pengajaran dan pelajaran yang terkandung dalamnya, serta mempraktikkan hukum-hukum yang ada dalam surah tersebut, ia akan menjadi seorang syafaat (pengantara) baginya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 4/334-335)

Menjawab persoalan di atas, Allah SWT berfirman

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya : (Golongan ulul albab) adalah mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk, diatas lambung mereka (perbaringan), serta mereka berfikir tentang penciptaan langit-langit dan juga bumi, (lalu mereka berkata) wahai Tuhan kamu, tidaklah Kau menciptakan (kesemua) ini secara batil (sia-sia), maha suci kamu (dari perkara tersebut), maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah Ali ‘Imran: 191)

Imam Al-Nawawi berhujah menggunakan ayat ini sebagai dalil bagi menyatakan pendapat yang mengharuskan pembacaan Al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, ataupun di atas katil. Beliau berkata: Sekiranya seseorang itu membaca Al-Quran dalam keadaan berdiri, berbaring, di atas katilnya, atau keadaan-keadaan selainnya, maka ia diharuskan (dibolehkan) dan dia mendapat pahala. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 80)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa surah al-Mulk mempunyai kelebihan yang mana ia merupakan surah yang memberi syafaat daripada azab kubur kepada sesiapa yang sering membacanya terutamanya pada setiap malam sebagaimana dalil yang menyebutnya. Selain itu, membaca surah al-Mulk ketika baring sebelum tidur adalah harus dan dibolehkan. Hal ini menzahirkan bahawa Islam adalah agama yang bersifat memudahkan serta penuh keluasan.

Namun begitu, keadaan yang paling sempurna dalam pembacaan Al-Quran adalah, seseorang itu berada dalam keadaan duduk dengan penuh khusyuk dan ketenangan, menundukkan kepalanya (menghadap ke arah mushaf), serta duduknya itu dengan penuh adab. Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *