#3698: Ketaatan Isteri Kepada Suami Dalam Hubungan Kelamin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hukum isteri yang sering menolak hubungan kelamin ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan  sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Riwayat Abu Daud (1664)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah R.A, Nabi SAW menyebut:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.”

Riwayat Ibn Majah (1857)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini adalah menjadi satu kewajipan seorang isteri mentaati suaminya selagimana suami tidak menyuruh ke arah perkara-perkara yang mungkar.  Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya taat itu pada perkara yang makruf (baik).”

Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)

Begitu juga dalam bab hubungan kelamin, ia termasuk dalam hak suami ke atas isteri yang harus dipenuhi. Oleh yang demikian melayani suami adalah perkara yang wajib mengikut ijma para ulama. Hal ini juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya, dan suami itu pun tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”

 Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)

Hadith menunjukkan kepada kita bahawa  haram bagi seorang wanita untuk menolak, menunda, atau menunjukkan ketidaksenangan terhadap suaminya apabila dia mengundangnya ke tempat tidur untuk tujuan hubungan kelamin. Menolak tindakan ini dianggap sebagai salah satu dosa besar, dan akibatnya malaikat akan melaknatnya hingga pagi.

Oleh yang demikian kewajipan seorang isteri adalah untuk taat kepada suaminya apabila dia memanggilnya ke tempat tidur tanpa penentuan masa.  Pengecualian dibuat hanya pada situasi di mana terdapat perkara yang menghalangnya dari menjalankan kewajipannya. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/370)

Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta’ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/7-8)

Justeru kami katakan perbuatan isteri yang sering menolak hubungan kelamin tanpa adanya keuzuran  boleh membawa kepada nusyuz atau derhaka terhadap suami. Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan Nusyuz seorang itu berlaku dalam pelbagai keadaan dan gambaran. Seperti seorang isteri tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada keuzuran yang membenarkannya seperti keluar berjumpa dengan qadi dan mencari nafkah bagi membantu suami yang susah  atau enggan bersetubuh dalam keadaan uzur syarie’ dan sakit. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/92)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mengingati sebuah hadis Rasulullah SAW:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”

Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan marilah kita sama-sama berdoa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *