Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah di sana sebarang dalil atau hadith yang jelas yang menunjukkan kepada perintah baca surah Yasin kepada orang mati? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

(Surah al-A‘raf: 34)

Setiap makhluk yang hidup di muka bumi ini pasti akan merasai mati, iaitu saat terputusnya perhubungan antara roh dan jasad serta detik permulaan ke alam akhirat. Allah SWT telah menentukan ajal seseorang sejak azali lagi dan apabila sampai masanya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walau sesaat pun. Malaikat Izrail ditugaskan untuk mencabut nyawa dan apabila nyawa sampai di kerongkong, segala pintu taubat telah ditutup dan segala penyesalan tidak berguna lagi.

Ketahuilah bahawa kehidupan manusia di dunia ini menentukan bagaimana pengakhirannya. Niat ikhlas kerana Allah, serta mengikut petunjuk yang ditinggal oleh Rasulullah SAW dan juga Istiqamah dalam ibadah dan amal soleh merupakan kunci utama untuk dapatkan pengakhiran yang baik, iaitu Husn al-Khatimah. Begitu juga untuk memperoleh husnul khatimah, doa amat diperlukan. Antara doa yang boleh dilazimi ialah:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمُرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِمَهُ، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umurku adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalanku sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hariku, adalah hari dimana daku berjumpa dengan-Mu kelak.

Riwayat Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (121) dan al-Tabarani dalam al-Ausat (9411)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat riwayat daripada Ma‘qil bin Yasar R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

اقْرَؤُوْا يَسٍ عَلَى مَوْتَاكُمْ

Maksudnya:Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal dunia dalam kalangan kamu.

Riwayat Abu Dawud (2714) dan Ibn Hibban (3002)[1]

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini dinilai sahih oleh sebahagian ulama dan sebahagian ulama lagi menilainya sebagai dha‘if. Kemudian beliau menyatakan, hadith ini dapat difahami dengan dua makna.

Kemungkinan maknanya yang pertama adalah bacalah surah yang disebutkan (iaitu surah Yasin) kepada orang yang sedang nazak atau hampir mati. Mereka dipanggil sebagai mauta “موتى” berdasarkan apa yang akan berlaku. Firman Allah SWT:

إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُم مَّيِّتُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”

(Surah al-Zumar: 30)

Justeru, disunatkan untuk membaca surah Yasin kepada mereka yang sedang nazak.

Tambahan lagi, Syeikh al-Islam turut berpendapat bahawa disunatkan membaca surah Yasin kepada orang yang sedang nazak. Hikmah membacanya adalah kerana ia mengandungi perubahan-perubahan dunia dan berlalunya ia, janji hari kebangkitan dan hari kiamat, dan nikmat-nikmat syurga serta apa yang disediakan oleh Allah SWT di dalamnya. Dengan membacanya, seseorang diingatkan tentang situasi yang memerlukan persediaannya untuk meninggalkan dunia yang sementara ini bagi menghadapi alam akhirat yang akan datang. Ini akan memudahkan rohnya untuk keluar. Dalam surah ini juga, terdapat beberapa dalil naqli dan aqli mengenai kebangkitan dan kehidupan selepas kematian. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/143-144).

Tambahan pula, hal ini dikuatkan lagi melalui hadith yang terdapat di dalam Musnad Imam Ahmad dengan sanad yang hasan,[2] daripada Safwan R.A:

 حَدَّثَنِي الْمَشْيَخَةُ، أَنَّهُمْ حَضَرُوا غُضَيْفَ بْنَ الْحَارِثِ الثُّمَالِيَّ، حِينَ اشْتَدَّ سَوْقُهُ، فَقَالَ:هَلْ أَحَدٌ مِنْكُمْ يَقْرَأُ يس؟ قَالَ: فَقَرَأَهَا صَالِحُ بْنُ شُرَيْحٍ السَّكُونِيُّ، فَلَمَّا بَلَغَ أَرْبَعِينَ مِنْهَا قُبِضَ، قَالَ: وَكَانَ الْمَشْيَخَةُ يَقُولُونَ: إِذَا قُرِئَتْ عِنْدَ الْمَيِّتِ خُفِّفَ عَنْهُ بِهَا.

Maksudnya:Para syeikh (guru) menyampaikan kepadaku bahawa mereka menghadiri Ghudhaif bin Harith al-Thumali ketika beliau sedang menghadapi sakitnya maut, maka dia berkata: ‘Apakah ada di antara kamu yang mahu membacakan Yasin?’” Dia (Safwan) berkata, maka Soleh bin Syuraih al-Sakuni membacanya (Yasin), tatkala sampai pada ayat ke-40, Ghudhaif pun wafat. Dia (Safwan) juga berkata : “Para syeikh (guru) mereka berkata: ‘Apabila dibacakan di samping orang yang hendak meninggal dunia nescaya Allah akan meringankan baginya disebabkan dengan bacaan tersebut.’”

Riwayat Ahmad (16355)

Malah, sebahagian besar ulama fiqh yang berpegang dan beramal dengan hadith ini berpendapat bahawa membaca Yasin ketika orang yang sedang nazak adalah perkara yang disunatkan atau mustahab (disukai). Ini juga merupakan pendapat di dalam mazhab Imam al-Syafi‘i bahawa disunatkan membaca Yasin kepada orang yang sedang nazak kerana ia termasuk di dalam adab-adab berdasarkan hadith, “Bacalah surah Yasin kepada orang yang meninggal dunia dalam kalangan kamu.” (Lihat al-Wasit fi Fiqh al-Syafi‘i, 1/184).

Selain itu, Ibn al-Qayyim juga ada menyatakan, orang yang sedang dalam nazak dan sakaratul maut itu akan mendapat manfaat dengan surah Yasin, iaitu berkenaan dengan Tauhid, dan hari kebangkitan, serta khabar gembira dengan syurga bagi orang yang mentauhidakan Allah, dan kebahagiaan bagi orang yang meninggal di atas jalan tauhid, sebagaimana firman-Nya:

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ ۖ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ ‎﴿٢٦﴾‏ بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ

Maksudnya: “(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: ‘Masuklah ke dalam Syurga.’ Dia berkata: ‘Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui. Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.’

(Surah Yasin: 26-27)

Maka ruh yang hendak keluar daripada jasad pasti akan bergembira bila mendengar hal tersebut, maka dia akan suka untuk bertemu dengan Allah, dan Allah juga suka untuk bertemu dengannya. Selain itu, maksud sebenar bacaan Yasin ini adalah untuk memberikan manfaat kepada orang yang hendak mati, dengan penghayatan hati dan fikirannya ketika dibacakan kepadanya pada saat pengakhiran hidupnya di dunia. (Lihat al-Ruh, 1/26).

Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan pula, kemungkinan makna hadith ini yang kedua adalah ia merujuk kepada perintah untuk membaca surah Yasin kepada orang yang meninggal dunia yakni selepas kematian mereka. Dalam erti kata lain, menghadiahkan pahala bacaan surah itu kepada mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/144).

Berkenaan perkara ini, kami telah menjawabnya secara panjang lebar dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2664: Menghadiahkan Pahala Kepada Nabi SAW[3] dan #1568: Menghadiahkan Bacaan al-Fatihah kepada Si Mati.[4]

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa digalakkan atau disunatkan untuk membacakan surah Yasin kepada orang yang sedang nazak atau sedang menghadapi sakaratul maut, di mana di antara hikmahnya adalah bagi memudahkan ruh mereka keluar dan dalilnya adalah berdasarkan hadith yang kami telah sebutkan di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai dha‘if. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/143) Imam al-Nawawi mengatakan di dalam al-Azkar (hlm. 144) bahawa sanad hadith ini adalah dhaif kerana terdapat padanya dua orang perawi yang majhul (tidak dikenali).

[2] Dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah (5/249).

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/2664-menghadiahkan-pahala-kepada-nabi-saw/. Diakses pada 19 Oktober 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/1568-menghadiahkan-bacaan-al-fatihah-kepada-si-mati/. Diakses pada 19 Oktober 2023.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply