#1568: Menghadiahkan Bacaan al-Fatihah kepada Si Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita menghadiahkan bacaan al-Fatihah atau bacaan ayat-ayat al-Quran yang lain dan menghadiahkannya kepada junjungan besar Rasulullah SAW? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya, atau anak soleh yang sentiasa mendoakannya.”

Riwayat Muslim (4310), Abu Dawud (2882), al-Nasa’i (6445) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (12635)

Hadith di atas menunjukkan kepada terangkatnya taklif kepada si mati, serta berpindahnya dari alamnya (iaitu dunia) ke alam barzakh, di mana ia bukan lagi tempat untuk beramal (beribadah). Apabila sudah terputusnya amalan, maka terputuslah juga pahala yang dikurniakan bagi suatu amalan tersebut. Manakala lafaz “إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ” (kecuali tiga perkara) pula bermaksud pahala tiga perkara itu adalah berkekalan  bagi seseorang selepas kematiannya, dan itu adalah disebabkan oleh kekalnya kesannya (atharnya), lalu membawa kepada kekalnya pahalanya. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/8).

Sebelum kami menjawab, pada asasnya soalan di atas berkait rapat dengan menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Imam al-Nawawi menyebutkan, para ulama telah menyatakan ijma‘ bahawa doa kepada si mati adalah bermanfaat buat mereka dan pahalanya juga sampai kepada mereka. Hal ini adalah berdasarkan kepada beberapa dalil. Di antaranya firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ

Maksudnya:Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman.’

(Surah al-Hasyr: 10)

Begitu juga dengan ayat-ayat masyhur yang lain yang seumpamanya.  Manakala dalam hadith yang masyhur, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ

Maksudnya:Ya Allah, berikanlah keampunan kepada ahli Baqi‘ al-Gharqad.

Begitu juga dalam hadith yang lain, diceritakan bahawa Baginda SAW berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيْتِنَا

Maksudnya:Ya Allah ampunilah bagi yang hidup dan juga yang telah meninggal dunia daripada kalangan kami.

Begitu juga dengan hadith-hadith yang lain seumpamanya. Selanjutnya, Imam al-Nawawi menyebutkan pula bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan sampainya pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafi‘i dan juga sebahagian ulama menyatakan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati. Manakala Imam Ahmad bin Hanbal dan sebahagian ulama yang lain serta sebahagian ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, pahala bacaan al-Quran itu sampai kepada si mati. Justeru sebaik-baiknya orang yang membaca al-Quran selepas selesai membacanya hendaklah berdoa: “Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku ini kepada si fulan,” dan juga disunatkan memuji dan menyebut kebaikannya. (Lihat al-Azkar, hlm. 164-165).

Selain itu, Dr Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Dar al-Ifta’ berpendapat, tidak ada halangan untuk membaca al-Fatihah dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, sama ada untuk setiap orang mati secara berasingan atau beberapa orang sekaligus. Semua itu adalah diharuskan.[1]

Begitu juga Dr. Mahmud Syalabi, Setiausaha Jawatankuasa Fatwa Dar al-Ifta’ ada menjelaskan berkenaan sighah untuk menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada si mati. Beliau menyebutkan, sesiapa yang berkeinginan untuk menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia hendaklah menyebutkan, “اللهُمَّ اجْعَلْ مِثْلَ ثَوَابِ مَا قَرَأْتُ لِفُلَان” (Ya Allah, jadikanlah seperti pahala apa yang aku bacakan ini kepada si fulan).

Dr. Mahmud Syalabi menegaskan lagi dalam jawapannya terhadap soalan, “Apakah sighah doa khatam al-Quran kepada si mati?” Beliau menyebutkan bahawa orang ramai yang berkumpul untuk membaca al-Quran (bagi si mati) dan mengkhatamkannya, maka pahalanya sampai kepada si mati iaitu dengan menghadiahkannya kepada si mati melalui doa khatam al-Quran kepadanya. Pahalanya itu sampai kepada si mati, tidak kira bacaan al-Quran itu ketika kewafatannya atau selepasnya, begitu juga sama ada ia dilakukan di rumah atau di masjid, sama ada di sisi kubur atau tempat selainnya.[2]

Di samping itu, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya berkenaan seseorang yang membaca al-Quran atau sesuatu ayat daripadanya, adakah afdhalnya dia menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ibu bapanya serta kaum Muslimin yang telah meninggal dunia, atau menjadikan pahalanya itu khusus hanya untuk dirinya sahaja? Secara ringkasnya, beliau menjawab dengan menyatakan bahawa sebaik-baik ibadah adalah yang sesuai dengan petunjuk Rasulullah SAW dan petunjuk para sahabat.

Seterusnya beliau menyatakan bahawa telah sah daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW memerintahkan untuk bersedekah kepada si mati, begitu juga memerintahkan untuk berpuasa bagi pihaknya. Maka, sedekah bagi pihak si mati termasuk dalam amalan-amalan soleh. Sebahagian ulama berpendapat, boleh menghadiahkan pahala suatu ibadah, baik ibadah yang bersifat harta mahupun ibadah yang bersifat fizikal, kepada orang-orang Islam yang sudah meninggal dunia. Ini merupakan mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, serta sekelompok ulama mazhab Maliki dan Syafi‘i. Jadi, apabila seseorang menghadiahkan kepada si mati pahala puasa, solat, atau bacaan al-Quran, maka hukumnya adalah dibolehkan.

Sebahagian besar ulama Maliki dan Syafi‘i berpendapat, hal itu hanya dibolehkan dalam ibadah yang bersifat harta sahaja. Tambahan lagi, ia bukanlah kebiasaan ulama salaf, apabila mereka solat sunat, puasa, melakukan haji atau membaca al-Quran, menghadiahkan pahala tersebut kepada orang-orang yang sudah mati dalam kalangan kaum Muslimin, tidak juga mengkhususkannya kepada orang tertentu dalam kalangan mereka.

Justeru, tidak sepatutnya kita meninggalkan jalan yang telah ditunjukkan oleh ulama salaf kerana sesungguhnya ia adalah jalan yang paling baik dan sempurna. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 24/321)

Selain itu, dalam fatwanya yang lain, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa bacaan al-Quran dan sedekah serta selain daripada keduanya termasuk dalam amalan-amalan yang baik. Tidak ada perselisihan di antara ulama sunnah wal jamaah tentang sampainya pahala ibadah yang bersifat harta, seperti sedekah dan membebaskan hamba, sebagaimana sampainya pahala doa, istighfar, solat sunat, solat jenazah, dan berdoa di sisi kuburnya. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 24/366).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada si mati adalah sampai kepada mereka berdasarkan kepada penjelasan yang telah kami sebutkan di atas. Manakala menghadiahkannya kepada junjungan besar Rasulullah SAW, pada hakikatnya apa-apa yang kita baca daripada ayat-ayat al-Quran pahalanya sampai kepada junjungan besar kita, Rasulullah SAW. Hal ini kerana Nabi SAW termasuk dalam kalangan yang mengajarkan kepada ayat-ayat al-Quran, bahkan Bagindalah yang paling awal sekali mengajarkannya kepada umat manusia. Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran semisal ganjaran orang yang mengikutinya dan sedikitpun tidak akan mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, sesiapa yang menjadi pelopor suatu amalan keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa semisal dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.” 

Riwayat Muslim (1017)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Lihat https://www.elbalad.news/4158471. Diakses pada 15 Mei 2023.

[2] Lihat https://www.elbalad.news/4158471. Diakses pada 15 Mei 2023.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

One thought on “#1568: Menghadiahkan Bacaan al-Fatihah kepada Si Mati

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *