#1569: Bermain Catur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Doktor Zul. Apa hukumnya bermain catur, sama ada dalam bentuk papan fizikal atau catur dalam telefon pintar? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami menyatakan terlebih dahulu takrif catur. Dalam Fatawa Mu’asirah menyebut: Catur adalah permainan di atas papan yang mempunyai 64 petak kecil. la melambangkan dua negara yang berperang yang mengandungi 32 bidak, dua orang raja, dua menteri, laksamana, tentera berkuda dan tentera berperisai dan juga askar-askar. Itulah hakikat catur yang ditafsirkan oleh Mu’jam al-Wasit

Para ulama dari kalangan fuqaha, ahli tafsir, ahli hadith dan para pensyarah kitab telah bersepakat mengatakan bahawa catur tidak dikenali oleh orang arab di zaman Rasululah. Mereka mengenalinya selepas pembukaan kota Mekah dari negara orang-orang Parsi yang mengambilnya dari negara orang-orang India.

Pertamanya, kita perlu mamahami kaedah bahawa:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.” Lihat al-Suyuti dalam al-Asybah wa al-Nazair (1/60)

Oleh itu Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hlm. 494-496) berkenaan catur dan dhawabitnya:

Para sahabat sendiri berbeza dalam memandang masalah catur ini.

  • Ibnu Umar menganggapnya sama dengan dadu.
  • Sedang Ali memandangnya sama dengan judi.
  • Sementara ada juga yang berpendapat makruh.

Dan di antara sahabat dan tabi’in ada juga yang menganggapnya mubah. Di antara mereka itu ialah: Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Ibnu Sirin, Hisyam bin ‘Urwah, Said bin Musayyib dan Said bin Jubair.

Inilah pendapat orang-orang kenamaan dan begitu jugalah pendapat saya. Sebab menurut hukum asal, sebagaimana telah kita ketahui, adalah mubah. Sedang dalam hal ini tidak ada satu nas tegas yang menerangkan tentang haramnya. Dan pada catur itu sendiri melebihi permainan dan hiburan biasa. Di dalamnya terdapat semacam riadhah otak dan mendidik berfikir. Kerana itu tidak dapat disamakan dengan dadu. Dan justru itu pula mereka mengatakan yang menjadi ciri-ciri dadu ialah bermain nasib, jadi sama dengan azlam. Sedang yang menjadi ciri dalam permainan catur ialah kecerdasan dan latihan, jadi sama dengan lomba memanah.

Namun tentang kebolehannya ini dipersyaratkan dengan tiga syarat:

  • Bermain catur tidak boleh menunda-nunda sembahyang sebab perbuatan yang paling bahaya ialah mencuri waktu.
  • Tidak boleh dicampuri perjudian.
  • Ketika bermain, lidah harus dijaga dari perkataan kotor, cabul dan perkataan-perkataan yang sia-sia.

Kalau ketiga syarat ini tidak dapat dipenuhinya, maka hukumnya ialah haram.

Justeru, kami katakan sama ada catur dalam bentuk papan fizikal atau catur dalam telefon pintar, kedua-duanya hukum sama tertakluk kepada dhawabit dan syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Semoga dengan pencerahan ini, menjadikan kita sentiasa melakukan perbuatan yang memberi manfaat dan berfaedah serta menghasilkan pahala di sisi Allah SWT. 

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

× Bantuan?