Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah dikebumikan ramai jenazah dalam satu lahad, serta siapakah yang didahulukan ke lahad? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, diharamkan untuk mengebumikan dua mayat atau lebih secara bersama dalam satu lahad. Hal ini kerana Nabi SAW mengebumikan setiap mayat dalam kubur masing-masing. Perkara itu juga berterusan menjadi amalan para sahabat, dan ulama salaf dan khalaf selepas mereka, serta tiada khilaf dalam hal tersebut.

Sekalipun begitu, menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, dibolehkan untuk mengebumikan dua mayat ataupun lebih dalam satu lahad ketika darurat dan darurat itu adalah ketika berlakunya banyak kematian (ramai mayat) disebabkan oleh wabak atau peperangan dan adanya kesukaran (masyaqqah) untuk menjadikan satu lahad bagi seorang mayat. Maka, apabila adanya keadaan darurat, maka ia adalah diharuskan kerana keadaan darurat membolehkan apa yang dilarang. Ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Hal ini adalah sebagaimana keadaan darurat yang pernah wujud pada sahabat yang terbunuh (syahid) dalam peperangan Uhud, disebabkan oleh ramainya yang terbunuh dalam kalangan mereka, kerasnya tanah dan kelemahan di pihak sahabat selepas peperangan itu. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/176).

Hal ini adalah sebagaimana riwayat Jabir R.A, beliau berkata:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ الرَّجُلَيْنِ مِنْ قَتْلَى أُحُدٍ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، ثُمَّ يَقُولُ: أَيُّهُمْ أَكْثَرُ أَخْذًا لِلْقُرْآنِ، فَإِذَا أُشِيرَ لَهُ إِلَى أَحَدِهِمَا قَدَّمَهُ فِي اللَّحْدِ، وَقَالَ: أَنَا شَهِيدٌ عَلَى هَؤُلاَءِ يَوْمَ القِيَامَةِ، وَأَمَرَ بِدَفْنِهِمْ فِي دِمَائِهِمْ، وَلَمْ يُغَسَّلُوا، وَلَمْ يُصَلَّ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Nabi SAW mengumpulkan dua orang lelaki di antara mereka yang syahid dalam peperangan Uhud dalam satu kain, kemudian Baginda bertanya: ‘Siapakah di antara keduanya yang lebih banyak menghafal al-Quran.’  Setelah ditunjukkan kepada Baginda salah seorang di antara keduanya, maka Baginda memasukkannya terlebih dahulu ke dalam liang lahad lalu bersabda: ‘Aku akan menjadi saksi untuk mereka pada hari kiamat.’ Dan Baginda memerintahkan supaya mengebumikan mereka dengan darah mereka tanpa dimandikan serta tidak pula disolatkan ke atas mereka.

Riwayat al-Bukhari (1343)

Seterusnya, apabila wujudnya keadaan darurat yang mengharuskan untuk mengebumikan ramai mayat dalam satu lahad, maka hendaklah didahulukan ke dalam lahad mereka yang lebih banyak menghafal al-Quran. Ini kerana mereka lebih berhak untuk didahulukan kerana mereka lebih utama untuk dihormati dan dimuliakan.

Tambahan lagi, ini menunjukkan bahawa pengetahuan terhadap Kitab Allah meningkatkan kedudukan seseorang dan meninggikan keutamaannya, asalkan dia menggunakan ilmunya untuk tujuan yang benar di sisi Allah dan untuk kebaikan di akhirat. Oleh karena itu, ukuran keunggulan seseorang adalah pengetahuan yang bermanfaat, dan inilah ukuran yang sahih. Akhirat adalah yang lebih baik dan lebih kekal.  (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/177).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa dibolehkan untuk mengebumikan mayat dalam satu lahad secara bersama apabila wujudnya keadaan darurat disebabkan oleh kematian yang terlalu ramai pada satu-satu masa disebabkan oleh wabak, penyakit berjangkit, peperangan dan seumpamanya. Kemudian, dari segi keutamaan yang mana terlebih dahulu perlu didahulukan ke dalam lahad mereka ialah mereka yang lebih banyak menghafal al-Quran dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka lebih berhak untuk didahulukan berbanding yang lain kerana mereka lebih utama untuk dihormati dan dimuliakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply