#3749: Mendengar Azan Ketika Melakukan Hubungan Intim, Perlu Berhenti atau Boleh Teruskan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang lelaki yang sedang melakukan hubungan intim dengan isterinya lalu tiba-tiba azan, dia menyelesaikannya terlebih dahulu atau dia perlu tunggu sambil menjawab azan tersebut sehingga bilal selesai azan, kemudian barulah dia menyelesaikannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Azan merupakan zikir yang khusus. Islam mensyariatkannya sebagai pemberitahuan masuknya waktu solat fardhu serta menyeru orang Islam bersama menunaikan solat. Hukum azan bagi solat fardhu dan solat qadha’ adalah sunat muakkad, iaitu sunat kifayah bagi solat berjemaah dan sunat ainiah bagi solat bersendirian. Azan mempunyai peranan yang amat penting bagi menzahirkan syiar Islam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/113.).

Selain itu, disunatkan bagi seseorang itu untuk mendengar azan yang dilaungkan oleh muazin dan menjawabnya. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya:Apabila kamu mendengar seruan muazin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”

Riwayat Muslim (384)

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili, disunatkan kepada sesiapa yang mendengar azan untuk menjawabnya, tidak kira orang tersebut dalam keadaan suci ataupun berhadas, orang yang berjunub atau perempuan yang sedang haid, orang dewasa mahupun kanak-kanak. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/190). Hal ini kerana mereka itu kesemuanya termasuk dalam kalangan ahli zikir. Begitu juga dikecualikan daripada hal ini — yakni menjawab azan — orang yang sedang mendirikan solat, yang sedang berada di dalam tandas dan yang sedang berjimak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan dalam kitabnya yang lain, dihukumkan sebagai makruh bagi orang yang sedang duduk buang air untuk membaca apa-apa zikir kepada Allah. Mereka (yakni ulama) menyebutkan, janganlah dia bertasbih, bertahlil, menjawab salam, mendoakan orang yang bersih, memuji Allah (yakni mengucapkan ‘Alhamdulillah’) apabila bersin, dan begitu juga janganlah dia menyebutkan seperti mana disebutkan oleh muazzin (yakni menjawab azan). Selain itu, mereka turut menyebutkan, demikianlah juga dia tidak membaca apa-apa zikir ini ketika sedang berjimak. Apabila dia bersin ketika dalam keadaan atau situasi ini, maka pujilah Allah SWT (yakni mengucapkan ‘Alhamdulillah’) dalam hatinya tanpa menggerakkan lidahnya. Kemudian, dijelaskan lagi bahawa makruh membaca zikir dalam keadaan sedang buang air kecil dan jimak adalah merujuk kepada makruh tanzih dan bukannya haram. Oleh itu, tidak ada dosa ke atas orang yang tetap melakukannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/65).

Maka, jelaslah bahawa seseorang itu dibenarkan untuk menjawabnya dalam hati. Ini adalah sebagaimana yang difahami daripada kenyataan Imam al-Nawawi bahawa sekiranya orang yang sedang qadha’ hajat itu bersin, lalu mengucapkan ‘alhamdulillah’ dalam hatinya tanpa menggerakkan lidahnya, maka tidak mengapa. Demikianlah juga halnya bagi orang yang sedang berjimak. (Lihat al-Azkar, hlm. 77). Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyebutkan bahawa mereka boleh menjawabnya — yakni mengqadha’nya — setelah selesai urusan qadha’ hajat (buang air) atau berjimak sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang al-Hawi dan selainnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak ada masalah bagi pasangan suami isteri untuk meneruskan dan menyelesaikan hubungan intim yang sedang dilakukan, sekalipun mereka sedang mendengar azan. Bahkan para ulama menghukumkan sebagai makruh kepada suami isteri yang sedang melakukan hubungan intim (berjimak) untuk menjawab azan. Ini adalah berdasarkan qiyas kepada qadha’ hajat, dan mereka boleh menjawabnya — yakni mengqadha’nya — setelah selesai urusan qadha’ hajat (buang air) atau berjimak.

Ini kerana mereka tidak diwajibkan untuk berhenti disebabkan mendengar azan, melainkan ketika mendengar azan Subuh kedua pada bulan Ramadhan. Ketika itu barulah mereka diwajibkan untuk berhenti melakukannya dan si suami hendaklah terus mencabut zakarnya dari faraj isterinya saat mendengar azan tersebut, supaya puasa kedua-duanya dapat dikira masih sah dan tidak dikenakan kaffarah. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #929: Azan Subuh Berkumandang, Suami Isteri Sedang Berjimak.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/928-azan-subuh-berkumandang-suami-isteri-sedang-berjimak/. Diakses pada 23 Oktober 2023.

Bertarikh: 24 Oktober 2023 bersamaan 9 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *