#379 Menjadi Matador dalam Laga Lembu

Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-58%
Rated 0 out of 5
RM100.00

Siri Solat Sunat

Solat Musafir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum menjadi matador? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”[1]

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan.[2]

Definisi matador

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, matador ialah orang yang tugasnya membunuh lembu dalam perlawanan dengan lembu.[3] Matador ialah pemain dalam aktiviti laga lembu. Aktiviti laga lembu ini merupakan sukan klasik dan masyhur di Sepanyol, Portugal, Mexico, Peru, Perancis, Colombia, Ecuador, Venezuela dan negara lain yang dipengaruhi oleh budaya Portugis dan Sepanyol. Laga lembu merupakan acara sukan yang ganas kerana melibatkan darah, kecederaan dan kematian seekor lembu atau beberapa ekor lembu. Pemain utama dan ketua dalam pertarungan lembu, dan yang akhirnya membunuh lembu itu dipanggil sebagai maestro (master), atau dengan gelaran rasmi iaitu matador de toros (pembunuh lembu).

Laga lembu ini semakin menjadi isu dan kotroversi di beberapa seperti di Sepanyol, Portugal, Peru, Mexico dan Ecuador kerana ia menganiaya nyawa binatang. Ia ditafsir semula sebagai menyiksa lembu dan kuda, dan binatang ini mati dalam derita. Di Portugal, sukan ganas telah diharamkan diadakan di arena. Namun ia masih diamalkan di tanah jajahannya seperti di pulau Pemba, Tanzania. Biasanya toreros menjadi matador iaitu orang yang menjadi penggerak dalam laga lembu. Toreros akan dianggap menang jika dapat mengalahkan dan membunuh lembu dari jarak dekat. Toreros atau matador berisiko akan ditanduk dan diinjak, dilambung sehingga mati oleh lembu laga. Pertandingan hanya berakhir selepas lembu berjaya ditumbangkan dan ditusuk mati dengan senjata tajam.[4]

Hukum bermain dalam sukan lasak

Sukan lasak ialah sukan yang melibatkan aktiviti yang kasar dan kadang kala melibatkan aksi ganas. Antara sukan jenis ini ialah lumba motorcross, memanjat gunung, berakit atau bersampan di jeram sungai dan sebagainya.[5] Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil sebagai extreme sports atau dikenali juga sukan aksi (action sports), sukan alternatif (alternative sports), atau acara sukan dan aktiviti yang bercirikan kelajuan dan berisiko tinggi.[6] Manakala Cambridge Dictionary pula mendefinisikan sukan lasak ini sebagai sukan yang berbahaya dan pada masa yang sama menyeronokkan seperti sukan terjun udara (skydiving) dan terjun lelabah (bungee jumping).[7] Justeru, jelaslah bahawa aktiviti laga lembu ini termasuk dalam kategori sukan lasak.

Para ulama telah membincangkan mengenai hukum terlibat dan bermain dalam sukan dan permainan yang berbahaya ini. Pada asasnya, Rasulullah SAW pernah bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya:Tidak ada mudarat dan tidak ada juga perbuatan membalas kemudaratan.”[8]

Namun, menurut Ibn ‘Abidin, salah seorang dalam kalangan ulama mazhab Hanafi:

يَحِلُّ كُلُّ لَعِبٍ خَطَرٍ لِحَاذِقٍ تَغْلِبُ سَلَامَتُهُ كَرَمْيٍ لِرَامٍ وَصَيْدٍ لِحَيَّةٍ وَيَحِلُّ التَّفَرُّجُ عَلَيْهِمْ حِينَئِذٍ

Maksudnya:Dibenarkan setiap permainan yang berbahaya bagi pemain mahir yang terjamin keselamatannya seperti pemanah atau pemburu ular, dan diharuskan juga menyaksikan mereka ketika itu.”[9]

Walau bagaimanapun, di sana terdapat syarat-syarat yang diletakkan oleh para ulama yang perlu dipatuhi bagi mereka yang ingin terlibat dalam sukan-sukan yang ekstrem dan berbahaya. Di antaranya ialah:

  • Kemahiran dan kompetensi yang cukup. Hal ini tidak dapat dicapai melainkan dengan latihan secara intensif.
  • Pemain sukan itu berkemungkinan besar adalah selamat menurut sangkaannya yang kuat. Jika menurut sangkaannya dia tidak akan selamat atau ada keraguan dalam hatinya, maka bermain pada waktu itu adalah haram kerana ia membawa kepada kebinasaan. Sedangkan kita dilarang untuk terlibat dalam perkara-perkara yang boleh menyebabkan kebiasaan sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat di atas.[10]

Selain itu, Nabi SAW juga pernah bersabda:

مَنْ بَاتَ عَلَى إِنْجَارٍ فَوَقَعَ مِنْهُ فَمَاتَ، بَرِئَتْ مِنْهُ الذِّمَّةُ، وَمَنْ رَكِبَ الْبَحْرَ حِينَ يَرْتَجُّ، يَعْنِي‏:‏ يَغْتَلِمُ، فَهَلَكَ بَرِئَتْ مِنْهُ الذِّمَّةُ

Maksudnya: “Jika seseorang tidur di atas bumbung yang tiada batu penghadang, kemudian jatuh dan mati, tiada seorangpun yang bertanggungjawab ke atasnya. Begitu juga jika seseorang berlayar di lautan dalam keadaan laut bergelora dan kapalnya musnah, tiada seorangpun yang bertanggungjawab ke atasnya.”[11]

Menurut Ibn Battal, orang itu tidak lagi berhak ke atas perlindungan Syarak, kerana dia sendiri yang menyebabkan kecelakaan tersebut ke atas dirinya sendiri. Dia tidak melindungi dirinya sendiri, maka dia tidak dilindungi oleh Syariah.[12]

Mengenai hal ini, Dr. Muzammil H. Siddiqi, Presiden Majlis Fiqh Amerika Utara juga ada menyatakan bahawa:

  • Secara umumnya, perlindungan nyawa adalah sangat penting dalam Islam. Islam amat menitikberatkan menjaga nyawa manusia, tetapi pada masa yang sama ia tidak melarang kita untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang mencabar (adventures).
  • Oleh itu, sebarang sukan yang disifatkan boleh membawa maut dan mengancam nyawa mesti dielakkan. Akan tetapi jika sesuatu sukan itu dianggap mencabar dan ada langkah keselamatan yang perlu diambil bagi melindungi nyawa seseorang, maka tidak salah untuk terlibat dan bermainnya sambil memastikan nyawanya selamat.
  • Idea “sukan berbahaya” boleh digunakan untuk banyak sukan; malah aktiviti menunggang kuda juga boleh jadi berbahaya, tetapi jika seseorang mengambil langkah keselamatan untuk melindungi nyawanya, maka tidak salah aktiviti atau perkara tersebut.[13]

Ringkasnya, beliau berpendapat bahawa bahawa apa jua sukan yang dianggap boleh membahayakan nyawa mesti dijauhi. Akan tetapi jika sukan itu dianggap sebagai sukan lasak, dan ada langkah-langkah keselamatan yang diambil bagi melindungi nyawa pemainnya, maka dalam hal ini ia dibolehkan.

Walau bagaimanapun, terdapat juga dalam kalangan ulama yang mengharamkannya, seperti Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin. Beliau berhujah dengan beberapa dalil, antaranya ialah firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ

Maksudnya:Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri.”[14]

Oleh itu, apa sahaja yang membawa kepada kematian atau kemudaratan, maka ia adalah haram, sebagaimana kita dilarang memberi kemudaratan kepada orang lain, kita juga dilarang memberi kemudaratan ke atas diri kita sendiri.[15]

Hukum terlibat dalam sukan laga lembu

Pada asasnya, Agama Islam sangat menekankan soal berbuat baik kepada seluruh makhluk termasuklah haiwan. Sehinggakan saat hendak menyembelihnya pun kita diperintahkan untuk mematikannya dengan cara yang terbaik sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”[16]

Selain itu, nyawa haiwan adalah dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati melainkan bagi tujuan mendapat manfaat darinya yang diizinkan oleh syarak seperti memakannya. Rasulullah SAW pernah bersabda:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ ! وما حقُّها؟ قالَ : يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya:Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah menyembelihnya, kemudian memakannya, serta tidak memotong kepalanya (membunuhnya), kemudian membuangnya.’[17]

Begitu juga, menyakiti dan menzalimi haiwan adalah termasuk dalam perbuatan yang diharamkan. Seorang wanita telah diazab dan ditempatkan di dalam neraka kerana perbuatannya yang zalim terhadap seekor kucing. Rasulullah SAW telah bersabda:

عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِي هِرَّةٍ حَبَسَتْهَا، حَتَّى مَاتَتْ جُوعًا، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ

Maksudnya:Seorang perempuan telah diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.”

Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing itu disebutkan di dalam sambungan hadith di atas iaitu dikatakan kepadanya:

لاَ أَنْتِ أَطْعَمْتِهَا وَلاَ سَقَيْتِهَا حِينَ حَبَسْتِيهَا، وَلاَ أَنْتِ أَرْسَلْتِيهَا فَأَكَلَتْ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ

Maksudnya:Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.[18]

Di samping itu, kita juga dilarang daripada membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan yang sedang nazak atau dalam keadaan kesakitan yang tiada harapan lagi untuk sembuh bagi merehatkannya —daripada penderitaan yang dialami. Imam Ibn Hajar al-Haitami, Syeikh al-Syabramalisi dan Syeikh Abu Bakar al-Dimyati mengharamkan menyembelih haiwan yang tidak boleh dimakan, sekalipun untuk tujuan merehatkannya daripada kesakitan, seperti himar yang sakit berkekalan.[19]

Justeru, dapat fahami daripada kenyataan di atas bahawa sekiranya membunuh haiwan yang tidak boleh dimakan bagi menghilangkan penderitaan dan kesakitan yang ditanggungnya pun tidak dibenarkan, apatah lagi membunuh haiwan lain secara suka-suka bagi tujuan hiburan dan keseronokan adalah lebih-lebih lagi dilarang dan ditegah.

Oleh itu, sukan laga lembu yang melibatkan aktiviti mencederakan lembu atau membunuhnya adalah dilarang dan diharamkan untuk terlibat dalam sukan seumpama itu. Namun, jika aktiviti sukan itu hanya sekadar elak-mengelak antara matador dan lembu atau bergusti antara matador dan lembu, serta langsung tidak melibatkan objek tajam yang boleh mencederakan lembu mahupun membunuhnya, maka hukumnya adalah sebagaimana aktiviti sukan lasak yang lain.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa aktiviti sukan lasak adalah diharuskan dengan syarat segala langkah-langkah keselamatan telah pun diambil, dan mereka yang terlibat juga merupakan dalam kalangan yang terlatih dan mempunyai kemahiran yang cukup, serta secara sangkaan yang kuat (ghalib al-zhan) mereka yang terlibat akan terselamat.

Begitulah juga diharuskan untuk menjadi matador dalam acara sukan laga lembu kerana sukan laga lembu termasuk dalam sukan lasak dengan syarat tidak melibatkan sebarang aktiviti mencederakan lembu mahupun membunuhnya. Sekiranya tidak — yakni acara sukan laga lembu itu mengandungi aktiviti mencederakan lembu dan membunuhnya — maka hukumnya adalah haram kerana termasuk dalam perbuatan menzalimi dan menyeksa haiwan serta membunuhnya dengan sia-sia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Januari 2022 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 195

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38.

[3] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=matador.

[4] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Laga_lembu dan https://en.wikipedia.org/wiki/Bullfighter.

[5] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=sukan+lasak&d=175768&#LIHATSINI.

[6] Lihat https://www.britannica.com/sports/extreme-sports.

[7] Lihat https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/extreme-sport.

[8] Riwayat Ibn Majah (2341)

[9] Lihat al-Dur al-Mukhtar, 6/404.

[10] Lihat Bughyah al-Mushtaq fi Hukm al-Lahw wa al-La‘ib wa al-Sibaq, hlm. 156-157.

[11] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1194) dan Riwayat Abu Daud (5041)

[12] Lihat Syarh al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/89.

[13] Lihat https://aboutislam.net/counseling/ask-the-scholar/sports-games/what-does-islam-say-on-risky-sports/.

[14] Surah al-Nisa’ (29)

[15] Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 13/252.

[16] Riwayat Muslim (1955)

[17] Riwayat al-Nasa’i (4349)

[18] Riwayat al-Bukhari (2365)

[19] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 9/322; Hasyiah al-Syabramalisi ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 8/177 dan I‘anah a-Talibin, 2/388.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Home
Account
Cart
Search