#11 Manusia Sampai ke Bulan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan, benarkah manusia sampai ke bulan? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”[1]

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmatNya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya.[2]

Begitu juga penciptaan alam semesta ini juga merupakan salah satu daripada tanda kebesaran Allah SWT yang nyata. Ia meliputi penciptaan matahari dan bulan yang menentukan fenomena siang dan malam yang berlaku di muka bumi ini supaya manusia dapat memperoleh manfaat daripadanya. Kekuasaan dan kebesaran Allah SWT ini meliputi seluruh aspek kehidupan manusia. Firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزَلَ اللَّـهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن مَّاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Maksudnya:Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kekuasan Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.”[3]

Definisi bulan dan kajian mengenainya

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan bulan sebagai satelit semula jadi bumi yang bergerak mengelilingi bumi sekali dalam 28 hari dan bersinar pada waktu malam oleh cahaya yang dibalikkan dari matahari.[4] Bulan ialah jiran bumi yang terdekat di angkasa. Bulan ialah objek yang paling cerah di langit malam, tetapi ia tidak mengeluarkan cahayanya sendiri. Apabila bulan bersinar ia memantulkan cahaya dari matahari. Pada sesetengah malam, bulan kelihatan seperti glob perak yang bergemerlapan. Pada malam-malam lain, ia kelihatan seperti hirisan cahaya. Tetapi bulan tidak berubah semasa bahagiannya yang berbeza diterangi matahari. Bulan bergerak mengelilingi bumi sekali setiap kira-kira 27 1/3 hari. Oleh itu, hanya satu sisi bulan menghadap ke arah bumi. Jarak purata di antara pusat bumi dan bulan ialah 384403 kilometer. Perjalanan roket dari bumi ke bulan dan balik mengambil kira0kira enam hari.

Oleh kerana bulan agak hamper dengan bumi, ia kelihatan jauh lebih besar daripada bintang dan kira-kira sebesar matahari. Bulan berukuran 3476 kilometer lebar. Jarak ini kira-kira satu per empat diameter bumi dan 400 kali lebih kecil daripada diameter matahari. Jika bulan dilihat bersebelahan matahari, ia kelihatan seperti bola tenis bersebelahan bola sepak. Bumi bukan satu-satunya planet yang mempunyai bulan. Misalnya, Musytari mempunyai 16 satelit yang diketahui. Bulan tidak mempunyai sebarang jenis hidupan. Dibandingkan dengan bumi, bulan berubah sedikit dalam berbilion-bilion tahun. Bulan tidak mempunyai udara, angin atau air. Di bulan langit adalah hitam — walaupun pada waktu siang — dan bintang selalu kelihatan.

Sesetengah manusia purba percaya bahawa bulan merupakan bebola api yang berputar. Yang lain menyangka bahawa bulan merupakan cermin yang memperlihatkan dataran dan laut dari bumi. Meskipun kepercayaan demikian, ahli astronomi awal mencipta banyak idea yang betul tentang saiz, bentuk, pergerakan bulan dan jarak bulan dengan bumi. Pada tahun 1609, galileo menggunakan teleskop mudah untuk membuat kajian santifik tentang permukaan bulan. Pengetahuan tentang bulan bertambah semasa ahli selenografi (ahli sains yang mengkaji geografi bulan) melukis peta yang bertambah baik tentang permukaan bulan. Dengan perkembangan kamera dan fotografi pada pertengahan tahun 1800-an, bulan boleh difoto dengan terperinci.

Zaman angkasa bermula pada tahun 1957, membuka bab baru dalam kajian bulan. Pada 12 September 1959, Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat telah melancarkan kira-kira 30 kapal angkasa tanpa manusia yang sama ada mendarat di bulan atau melalui cukup hamper dengan bulan untuk menghantar balik maklumat yang berguna. Dari tahun 1966 hingga 1968, Amerika Syarikat mendaratkan lima kapal angkasa Surveyor di bulan. Proba bulan ini mengambil hamper 90000 foto yang terperinci dan juga menghantar balik maklumat tentang komposisi bulan. Dalam tempoh yang sama, Amerika Syarikat melancarkan lima Lunar Orbiter yang mengambil foto 98 peratus permukaan bulan. Kapal angkasa ini membuka jalan kepada pendaratan manusia dengan menunjukkan bahawa permukaan bulan akan menampung berat kapal angkasa dan dengan melokasikan tapak pendaratan yang sesuai.

Pada 20 Julai 1969, Apollo 11 mendarat di bulan iaitu apabila angkasawan Neil A. Armstrong dan Ewin E. Aldrin dari Amerika Syarikat mendarat di dataran berbatu-batan yang dikenali sebagai Sea Tranquillity. Penjelajahan dan kajian bulan secara langsung telah bermula. Pada bulan Julai 1971, angkasawan Apollo 15 adalah orang pertama mengembara di bulan dalam kenderaan berkuasa yang dinamakan Lunar Rover. Pada bulan Disember 1972, angkasawan Apollo 17 membuat pendaratan manusia ke-16 dan terakhir dalam program Apollo. Dalam program ini, sejumlah 12 angkasawan menjejakkan kaki di bulan. Angkasawan ini menjelajah tanah tinggi bulan, maria, genahar dan gegalur. Mereka mengambil beribu-ribu foto lanskap bulan. Angkasawan Apollo mengumpulkan banyak sampel batuan dan tanah bulan dan memberikan ahli sains cukup bahan untuk kajian bertahun-tahun. Angkasawan juga mengadakan pelbagai eksperimen saintifik. Misalnya, Apollo 17 meletakan alat ke dalam lubang yang digerudi di permukaan bulan. Alat ini mengukur haba yang terlepas dari bulan. Ukuran demikian membantu ahli sains mengetahui sejarah awal bulan.[5]

Manusia sampai ke bulan?

Justeru, berdasarkan kepada fakta yang kami bawakan di atas, menunjukkan bahawa manusia sampai ke bulan adalah amat kuat. Namun, bagaimana pula dengan ayat yang menyatakan bahawa manusia dan jin sesekali tidak akan dapat menembus keluar sebagaimana firman Allah SWT:

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ إِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَن تَنفُذُوا مِنْ أَقْطَارِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ فَانفُذُوا ۚ لَا تَنفُذُونَ إِلَّا بِسُلْطَانٍ

Maksudnya:Wahai sekalian jin dan manusia! Kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan Kami), maka cubalah kamu menembus keluar. Kamu tidak akan menembus keluar melainkan dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan Kami; masakan dapat)![6]

Jika diteliti, sebenarnya tidak ada percanggahan di antara ayat di atas dengan kemungkinan manusia sampai ke bulan. Hal ini kerana menurut Syeikh Uthman al-Khamis, bulan bukanlah berada di dalam langit yang dipelihara dari ditembusi tetapi hanya berada berdekatan dengan langit. Oleh itu, jika seseorang sampai ke bulan, bukanlah bermaksud dia telah masuk ke dalam langit yang dipelihara itu. Begitu juga firman Allah SWT:

وَجَعَلَ ٱلْقَمَرَ فِيهِنَّ نُورًا

Maksudnya:Dan Dia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya.”[7]

Ayat di atas tidak memestikan bahawa bulan itu berada di dalam langit — yang dipelihara. Demikianlah juga firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا

Maksudnya:Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya.”[8]

Ayat ini tidak memestikan bahawa kita berjalan di dalam ceruk rantaunya, tetapi difahami bahawa berjalan di atas ceruk rantaunya.[9]

Tambahan lagi, Syeikh Sulaiman al-Ruhaili ada menyebutkan bahawa mengisbatkan manusia sampai ke bulan tidak memberi apa-apa manfaat mahupun kesan buruk terhadap agama, begitu juga tiadanya ilmu pengetahuan mengenainya tidak memberi apa-apa mudarat. Kemudian, Syeikh membuat kesimpulan dengan mengingatkan agar tidak perlu takut mengenai perkara ini dan menyerahkan perbahasan lanjut mengenainya kepada ahlinya yang terdiri daripada ahli falak dalam kalangan kaum Muslimin. Jika timbul dalam kalangan mereka persoalan yang ada kaitan dengan syarak, barulah mereka merujuk kepada para ulama syar‘i.[10]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 31 Januari 2022 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Jathiyah: 13

[2] Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499.

[3] Surah al-Baqarah: 164

[4] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bulan.

[5] Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 4/330-344.

[6] Surah al-Rahman: 33

[7] Surah Nuh: 16

[8] Surah al-Mulk: 15

[9] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=VtZhJEjFhOc.

[10] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=pEvoTODJ1pA.

-40%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM50.00RM110.00
Rated 0 out of 5
RM6.00
-69%

Buku Fizikal

Solat Sunat Tahajjud

Rated 0 out of 5
RM5.00RM35.00
-32%

Siri Kematian

Fiqh Jenazah

Rated 0 out of 5
RM8.00RM15.00

Siri Solat Sunat

Solat Hari Raya

Rated 0 out of 5
RM5.00

Siri Solat Sunat

Solat Sunat Istisqa

Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM10.00

Leave a Reply

Your email address will not be published.