Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah nikah cina buta haram secara ijma’ ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asasnya wanita yang diceraikan dengan talak tiga tidak boleh baginya mengahwini bekas suaminya melainkan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara iaitu dia hendaklah berkahwin dengan lelaki lain, dan melakukan hubungan intim bersama suami yang baru dan diceraikan serta beri’ddah dengannya. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

(Surah Al-Baqarah: 230)

Namun sekiranya bekas suami atau isteri meletakkan syarat dan peraturan yang dipersetujui bersama suami baru yang bertujuan untuk menghalalkan balik isterinya yang telah ditalak tiga tersebut seperti melakukan akad perkawinan tanpa melakukan persetubuhan dan kemudian suami baru dikehendaki menceraikan bekas isterinya maka, perkahwinan sebegini merupakan perkahwina tahlil atau dikenali sebagai pernikahan cina buta yang diharamkan oleh syara’. Ini kerana syarat-syarat yang ditetapkan itu adalah batil dan tidak diterima oleh syara’.

Pengaharaman terhadap perkahwinan ini boleh dilihat melalui hadith Ibn Masu’d R.A bahawa beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُحَلِّلَ وَالْمُحَلَّلَ لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.”

Riwayat Tirmizi (1120). Abu Isa menyatakan bahawa hadith ini adalah hasan sahih.

Dapat difahami daripada hadith ini ialah nikah tahlil ialah wanita yang ditalak tiga melakukan perkahwinan dengan syarat apabila terlah belakunya akad perkahwinan yang sah dengan suami yang baru dan kemudian dia dikehendaki menceraikannya.

Al-Tirmizi menyatakan bahawa para ulama beramal dengan hadith ini dan merupakan pandangan dari kalangan fuqaha tabi’in. Begitu juga dengan hadith yang diriwayat darippada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ألا أُخْبِرُكُمْ بِالتَّيْسِ المُسْتَعارِ؟ قالوا: بلى، قال: هو المُحَلِّلُ، لَعَنَ اللهُ المُحَلِّلَ والمُحَلَّلَ لهُ

Maksudnya: Mahukah kalian aku beritahukan mengenai kambing yang dipinjam ? Sahabat menjawab : Ya lau Baginda Menjawab: Dia adalah Muhallil, Allah melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.”

Riwayat al-Hakim dalam Al-Mustadrak (2843)

Hadith ini jugamenyatakan  bahwawa pengharam nikah tahlil dan larangan tersebut menunjukkan perkahwinan tersebut adalah batil. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah menyatakan bahawa: Ulama telah bersepakat tentang pengharaman nikah al-Muhallil atau cina buta. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/299)

Ibn Qayyaim menyatakan bahawa: Rasululllah SAW melaknat kedua-duanya.  Sama ada pengkhabaran tersebut datang dari Allah SWT tentang jatuhnya laknat ke atas mereka atau doa ke atas mereka dengan laknat. Ini menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah haram dan ia termasuk dalam dosa-dosa besar (Lihat Zad al-Ma’ad, 5/672)

Telah dinyatakan juga dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahwa: Jumhur ulama dari kalangan Mazhab Hanafi, Syafi’e, Hanbali berpandangan bahawa rosaknya perkahwinan seperti ini. Yang demikian kerana nikah dengan syarat untuk menghalalkan termasuk dalam makna nikah kontrak. Mensyaratkan masa tertentu dalam pernikahan adalah terbatal. Selagimana perkahwinan itu rosak, maka perkahwinan itu tidak boleh dihalalkan. (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyyah,10/256-257)

Justeru kami katakan di sini perkahwinan cina buta merupakan perkawinan yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ yang bertujuan hanya untuk mengahalalkan isteri yang telah ditalak tiga. Oleh yang demikian perkahwinan yang dilakukan dengan cara ini tidak menepati syara’ dan ianya terbatal menurut pandangan jumhur ulama.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply