#3901: Berpisah Dari Jemaah, Mati Sebagai Mati Jahiliyyah?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ustaz berikan penjelasan berkenaan hadith tentang mereka yang berpisah dari jemaah, kematiannya adalah seperti kematian Jahiliyyah? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Jemaah atau disebutkan dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-Jama‘ah (الجَمَاعَةُ).  istilah al-Jamа‘ah ini kerap kali digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadith-hadith Baginda, dan antara yang paling masyhur adalah sabda Baginda SAW:

وَإِنَّ هَذِهِ الْأُمَّةَ سَتَفْتَرِقُ عَلَى ثَلَاثٍ وَسَبْعِينَ مِلَّةً يَعْنِي الْأَهْوَاءَ كُلُّهَا فِي النَّارِ إِلَّا وَاحِدَةً وَهِيَ الْجَمَاعَةُ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu al-Jamа‘ah.”

Riwayat Ibn Majah (3993)

Imam al-Syatibi merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah adalah merujuk kepada perhimpunan yang bersatu di bawah pemimpin atau imam yang menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. (Lihat al-I‘tisam, 2/260-265)

Ini jelas menunjukkan bahawa perhimpunan ramai yang bersatu bukan atas dasar kedua-duanya adalah terkeluar daripada apa yang dimaksudkan dengan al-Jamа‘ah. Dengan kata lain, seandainya sesebuah kumpulan yang ramai itu tidak berada di atas petunjuk al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai al-Jamа‘ah. Sebagaimana ungkapan Ibn Mas‘ud, “Al-Jamа‘ah adalah apa yang menepati kebenaran, sekalipun engkau berseorangan.” (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘іn, 3/397)

Dalam menjelaskan mafhum hadith tentang mereka yang berpisah dari jemaah, dan kematiannya adalah seperti kematian Jahiliyyah, kami bawakan riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَرَجَ مِنَ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: “Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memisahkan diri dari jemaah dan kemudian mati, maka kematiannya adalah kematian dalam keadaan Jahiliyyah.”

Riwayat Muslim (1848)

Imam al-San‘ani mengatakan, yang dimaksudkan dengan sabda Baginda SAW (وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ) adalah keluar dari jemaah yang telah bersepakat untuk mentaati seorang pemimpin yang mengatur kesatuan mereka, yang mana pemimpin ini menyatukan suara mereka dan melindungi mereka dari musuh mereka. (Lihat Subul al-Salam, 3/258)

Imam al-Nawawi pula berkata, kematiannya disifatkan sebagai kematian Jahiliyyah kerana kerana keadaan mereka yang huru-hara, tidak ada pemimpin bagi mereka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/238)

Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْ أَمِيرِهِ شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلْيَصْبِرْ عَلَيْهِ، فَإِنَّهُ مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبْرًا فَمَاتَ، إِلَّا مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang melihat daripada pemimpinnya sesuatu yang tidak disukainya maka hendaklah dia bersabar ke atasnya, kerana sesungguhnya barangsiapa yang berpisah dari jemaah meskipun sejengkal lalu dia meninggal dunia, maka (tidaklah dia mati) melainkan mati Jahiliyyah.”

Riwayat al-Bukhari (7054)

Imam al-Syaukani ketika mensyarahkan hadith di atas berkata, yang dimaksudkan dengan sabda Baginda SAW (مَنْ فَارَقَ الجَمَاعَةَ شِبْرًا) adalah kiasan bagi mereka yang derhaka terhadap pemimpin dan memeranginya. Beliau kemudian menukilkan kalam Ibn Abi Jamrah, katanya: “Yang dimaksudkan dengan ‘perpisahan’ adalah perbuatan memutuskan ikatan perjanjian yang telah termeterai antaranya dengan pemimpin, sekalipun dengan sekecil-kecil perkara, maka dikiaskan dengan perkataan jengkal. (Ancaman ini kerana) perbuatan keluar dari jemaah ini boleh membawa kepada pertumpahan darah tanpa hak.”

Beliau juga berkata, diumpamakan kematian mereka dengan kematian Jahiliyyah yang berada di atas kesesatan, tanpa bimbingan seseorang pemimpin yang ditaati kerana golongan Jahiliyyah ini tidak mengetahui sistem kepimpinan. Dan bukanlah yang dimaksudkan mereka mati dalam keadaan kafir, akan tetapi mati dalam kemaksiatan. (Lihat Nail al-Autar, 7/202)

Dapat difahami dari perbincangan di atas, jemaah yang dimaksudkan adalah pemimpin yang telah dilantik oleh masyarakat untuk mengetuai kepimpinan sesebuah kawasan, selama mana dia menepati petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. Sekiranya pemimpin tersebut tidak berada di atas telunjuk syara‘, bahkan pemerintahannya bertentangan dengan hukum Islam, maka ia tidak boleh dikategorikan sebagai yang harus ditaati.

Dan kematian seperti kematian Jahiliyyah ini adalah kiasan sahaja, yang bermaksud mati dalam keadaan menderhakai pemerintah yang telah diangkat. Mereka ini diumpamakan seperti orang Jahiliyyah kerana mereka tidak terikat di bawah mana-mana pemerintah, bahkan sistem mereka kucar-kacir tanpa sebarang bimbingan seorang ketua.

Beginilah serba ringkas yang boleh kami jelaskan berkenaan mafhum hadith ini. Semoga, kita dapat beroleh manfaat dan menyampaikannya kepada orang lain. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *