Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kita turut disunatkan untuk menyapu muka selepas selesai membaca doa qunut dalam solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, secara umumnya, kita disunatkan untuk mengangkat tangan ketika membaca doa qunut dalam solat. Ini adalah pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Selain itu, ia juga merupakan pendapat yang dipilih oleh Abu Zaid al-Marwazi, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Syeikh Abu Muhammad, Abu al-Sabbagh, al-Mutawalli, al-Ghazali, al-Syeikh Nasr, dan lain-lain. Pengarang al-Bayan menyebutkan, ini merupakan pendapat majoriti ashab kami dan pendapat yang telah dipilih oleh ashab kami yang terhimpun padanya ilmu fiqh dan hadith iaitu al-Imam al-Hafiz Abu Bakar al-Baihaqi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/500).

Apatah lagi perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa juga termasuk dalam hadith mutawatir maknawi, yang disebutkan oleh para ulama. Penjelasan lanjut berkenaan permasalahan mengangkat tangan ketika membaca doa qunut, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #684 Mengangkat Tangan ketika Membaca Doa Qunut.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi ada membincangkan mengenai hal tersebut dalam kitabnya. Beliau menyebutkan bahawa menyapu muka dengan kedua tangan selepas selesai berdoa (qunut dalam solat), sekiranya kita berpendapat, tidak boleh mengangkat kedua tangan ketika membaca qunut, maka menyapu muka selepas selesai berdoa juga tidak disyariatkan tanpa sebarang khilaf.  Namun, sekiranya kita berpendapat boleh untuk mengangkat kedua tangan ketika doa qunut, maka terdapat dua pendapat mengenai hal menyapu muka dengan kedua tangan selepas selesai membaca doa qunut dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat pertama dan ia merupakan pendapat yang paling masyhur menyatakan bahawa disunatkan untuk menyapu muka dengan kedua tangan selepas selesai membaca doa qunut. Inilah pendapat yang diputuskan oleh Al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini, Ibn al-Sabbagh, al-Mutawalli, al-Syeikh Nasr dalam kitab-kitabnya, Imam al-Ghazali dan pengarang al-Bayan.

Pendapat kedua dan ia merupakan pendapat yang sahih. Pendapat ini telah disahihkan oleh al-Baihaqi, al-Rafi‘i dan selainnya daripada kalangan para pentahqiq. Tambahan lagi, al-Baihaqi menyebutkan, aku tidak menghafal (mengetahui) apa-apa riwayat daripada para salaf mengenai menyapu muka dalam doa dalam solat. Meskipun diriwayatkan daripada sebahagian mereka melakukannya (menyapu muka) dalam doa di luar solat. Adapun (melakukannya) dalam solat, ia adalah perbuatan atau amalan yang tidak sabit mengenainya melalui hadith, athar, mahupun qiyas. Oleh itu, adalah lebih baik (utama) untuk dia tidak melakukannya dan berpada dengan apa yang diriwayatkan oleh ulama salaf iaitu mengangkat kedua tangan (ketika membaca doa qunut) tanpa mengusap muka dengan kedua tangan itu selepas selesai membacanya dalam solat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/500-501).

Selain daripada itu, al-Mardawi juga ada menjelaskan dalam al-Insaf (2/172) bahawa berkenaan menyapu muka dengan tangan sejurus selepas selesai membaca doa (dalam doa qunut), maka terdapat dua riwayat. Salah satu riwayatnya menyatakan bahawa seseorang itu boleh menyapu mukanya dengan tangannya selepas selesai berdoa (doa qunut). Inilah pendapat dalam mazhab (Hanbali) dan Imam Ahmad melakukannya. Menurut al-Majd dalam syarahnya, dan begitu juga pengarang Majma‘ al-Bahrain bahawa inilah riwayat yang paling kuat di antara dua riwayat tersebut. Malah, dinyatakan dalam al-Kafi bahawa inilah pendapat yang lebih utama dan pendapat yang diputuskan dalam al-Wajiz.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa menyapu muka selepas selesai membaca doa qunut dalam solat adalah turut dianjurkan (sunat). Ini adalah salah satu pendapat dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah seperti al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini, Ibn al-Sabbagh, al-Mutawalli, al-Syeikh Nasr dalam kitab-kitabnya, Imam al-Ghazali dan pengarang al-Bayan — iaitu al-‘Imrani. Begitu juga ia merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab  Hanbali. Bahkan ia juga merupakan pendapat yang difatwakan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.[2]

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ia termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan fuqaha. Kami melihat dalam hal ini adalah luas. Justeru, tidak menjadi masalah bagi sesiapa yang ingin menyapu muka dengan kedua tangannya selepas selesai berdoa (qunut) dalam solat kerana ia termasuk dalam adab-adab berdoa. Begitulah juga tidak menjadi kesalahan, jika seseorang itu tidak mahu menyapu mukanya selepas berdoa (qunut) kerana perbuatan tersebut bukanlah bersifat wajib.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/684-mengangkat-tangan-ketika-membaca-doa-qunut/. Diakses pada 4 November 2023.

[2] Lihat https://www.daralifta.org/ar/fatawa/17876/حكممسحالوجهباليدينعقبالدعاء. Diakses pada 4 November 2023.

Leave a Reply