#684 Mengangkat Tangan ketika Membaca Doa Qunut

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah disunatkan untuk mengangkat tangan ketika qunut dalam solat Subuh? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Muhammad bin Sirin bahawa beliau bertanya kepada Anas R.A:

هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا

Maksudnya:Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk’.

Riwayat Muslim (677)

Begitu juga dengan sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}

Maksudnya:Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].

Riwayat al-Bukhari (4069)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Imam al-Nawawi mengenai hal ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat yang pertama menyatakan bahawa perbuatan mengangkat tangan itu adalah tidak disunatkan. Ini meruapakan pendapat yang dipilih oleh al-Syirazi, al-Qaffal, al-Baghawi dan Imam al-Haramain menukilkan perkara ini daripada ramai ashab — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — yang menunjukkan kepada tarjihannya. Mereka berhujah dengan menyatakan bahawa berdoa di dalam solat tidak perlu diangkat tangan sepertimana juga berdoa di dalam sujud dan tasyahud.

Manakala pendapat yang kedua menyatakan, disunatkan untuk mengangkat tangan ketika membaca doa qunut dalam solat. Ini adalah pendapat yang sahih di sisi ashab — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan juga sahih pada dalilnya. Ini merupakan pendapat yang dipilih oleh Abu Zaid al-Marwazi, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Syeikh Abu Muhammad, Abu al-Sabbagh, al-Mutawalli, al-Ghazali, al-Syeikh Nasr, dan lain-lain. Pengarang al-Bayan menyebutkan, ini merupakan pendapat majoriti ashab kami dan pendapat yang telah dipilih oleh ashab kami yang terhimpun padanya ilmu fiqh dan hadith iaitu al-Imam al-Hafiz Abu Bakar al-Baihaqi.

Imam al-Baihaqi berhujah dengan apa yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih atau hasan berkenaan kisah al-Qurra’ yang telah dibunuh, daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

 لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى الْغَدَاةَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ يَدْعُو عَلَيْهِمْ يَعْنِي عَلَى الَّذِينَ قَتَلُوهُمْ

Maksudnya:Aku telah melihat Rasulullah SAW setiap kali melakukan solat Subuh, Baginda SAW akan mengangkat tangan dan berdoa ke atas mereka iaitu orang yang telah membunuh para sahabat yang menghafal al-Quran.”

Riwayat al-Baihaqi (3145)

Selain itu, Imam al-Baihaqi menambah dengan menyebutkan, perbuatan ini juga disunatkan kerana terdapat sebilangan daripada para sahabat yang mengangkat tangan mereka ketika qunut. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 2/211)

Ini sebagaimana dalam riwayat daripada Abu Rafi‘, katanya:

صَلَّيْتُ خَلْفَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَنَتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَجَهَرَ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya:Aku mendirikan solat dibelakang Umar bin al-Khattab R.A — yakni berimamkannya. Lalu beliau membaca qunut selepas daripada rukuk dan beliau mengangkat kedua tangannya, sambil menguatkan suara ketika berdoa.”

Riwayat al-Baihaqi (3150)

Di samping itu, terdapat juga riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A tetapi dengan sanad yang dhaif, dan diriwayatkan juga daripada Ibn Mas‘ud dan Abu Hurairah R.anhuma pada qunut witir. (Lihat al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 3/499-500)

Selain daripada itu, Muhammad bin Nasr al-Marwazi ada menyebutkan, Imam Ahmad pernah ditanya berkenaan qunut dalam solat witir, adakah sebelum rukuk atau selepasnya? Begitu juga, adakah kedua tangan diangkat ketika membaca doa qunut dalam solat witir? Beliau menjawab, bacaan qunut adalah selepas rukuk dan kedua tangan diangkat ketika membacanya. Perkara tersebut adalah berdasarkan kepada qias ke atas perbuatan Nabi SAW ketika membaca qunut dalam solat Subuh. Hal ini juga disebutkan oleh Abu Ayyub, Abu Khaithamah dan Ibn Abi Syaibah. (Lihat Mukhtasar Qiyam al-Lail wa Ramadhan wa al-Witr, hlm. 318)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk mengangkat tangan ketika membaca doa qunut dalam solat Subuh dan selainnya. Inilah pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi. Apatah lagi perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa juga termasuk dalam hadith mutawatir maknawi, yang disebutkan oleh para ulama.

Selain itu, terdapat hadith yang menceritakan mengenai kelebihan mengangkat tangan ketika berdoa. Hal ini sepertimana riwayat daripada Salman al-Farisi R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah Maha Hidup lagi Maha Mulia. Dia malu jika seseorang itu mengangkat kedua tangannya untuk berdoa kepada-Nya, lalu Dia mengembalikannya dalam keadaan kosong dan hampa.”

Riwayat al-Tirmizi (3556)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *