#683 Kelebihan Malam Nisfu Syaaban

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah terdapat hadith yang menceritakan mengenai kelebihan-kelebihan malam nisfu Syaaban? Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bulan Syaaban termasuk dalam bulan-bulan yang agung dalam syarak. Diceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan puasa di dalamnya. Bahkan ada juga yang menceritakan bahawa Baginda SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Maksudnya:Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Syaaban.”

Riwayat al-Bukhari (1969) dan Muslim (1156)

Begitu juga riwayat daripada Ummu Salamah R.Anha, beliau berkata:

ما رَأيتُ رسولَ اللهِ صلّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ صامَ شهرَينِ مُتتابعَينِ، إلّا أنَّه كانَ يَصِلُ شعبانَ برمَضانَ

Maksudnya:Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa selama dua bulan berturut-turut melainkan Baginda akan menyambung puasa Syaaban dengan Ramadhan.

Riwayat al-Tirmizi (736), al-Nasa’ie (2352), Ibn Majah (1648) dan Ahmad (26562)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat hadith-hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Syaaban telah diriwayatkan daripada Nabi SAW melalui beberapa jalur. Dalam kalangan ulama, ada yang mengsahihkannya atau menyatakan sebaliknya. Kami sebutkan sebahagian daripadanya iaitu:

Daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Syaaban, kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”

Riwayat Ibn Majah (1380)

Al-Zahabi menyebutkan, hadith ini adalah dhaif disebabkan terdapat pada sanadnya Ibn Lahi‘ah. (Lihat Talkhis al-‘Ilal al-Mutanihiyah, hlm. 184)

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إنَّ اللهَ تعالى يَنْزِلُ ليلةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا ، فيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كلبٍ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia pada malam nisfu Syaaban, kemudian Dia mengampunkan sebanyak bilangan bulu kambing pengawal.”

Riwayat al-Tirmizi (670)

Al-‘Aini menyebutkan bahawa hadith ini adalah munqati‘. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 11/116)

Daripada Abu Tha‘labah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ اطَّلَعَ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِ، وَيُمْلِي لِلْكَافِرِينَ، وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدَعُوهُ

Maksudnya:Apabila tiba malam nisfu Syaaban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehinggalah mereka itu meninggalkannya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3551)

Ibn al-Jauzi menyebutkan, hadith ini adalah tidak sahih. (Lihat al-‘Ilal al-Mutanihiyah, 2/560)

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 يَطَّلِعُ اللهُ عزَّ وجلَّ إلى خَلْقِهِ ليلَةَ النِّصفِ مِنْ شَعْبَانَ ، فيَغْفِرُ لِعبادِهِ إِلَّا لِاثْنَيْنِ مُشَاحِنٍ ، وقَاتِلِ نَفْسٍ

Maksudnya:Allah SWT melihat pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua golongan iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri.

Riwayat Ahmad (6353)

Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin. Manakala Ahmad Syakir pula mengatakan sanadnya adalah sahih. (Lihat al-Zawajir  ‘an Iqtiraf al-Kabair, 2/43; Musnad Ahmad, 10/127)

Daripada Mu‘az bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban, kemudian Dia mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”

Riwayat Ibn Hibban (5665)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ يَغْفِرُ اللهُ لِعِبَادِهِ إِلَّا لمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya:Apabila tiba malam nisfu Syaaban, Allah SWT mengampunkan hamba-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.” (Lihat Majma‘ al-Zawaid, 8/68)

Al-Sakhawi menyatakan, perawi-perawinya tidak ada yang dipertikaikan. (Lihat al-Ajwibah al-Mardhiyyah, 1/325)

Berdasarkan hadith-hadith yang kami nyatakan, ia menunjukkan akan sabitnya hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan malam nisfu Syaaban sehinggakan Ibn Hibban mengsahihkan satu riwayat daripada Mu‘az bin Jabal tanpa memerlukan sokongan daripada jalur yang lain. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut ketika mentahqiqkan kitab Sahih Ibn Hibban menyatakan bahawa hadith berkaitan kelebihan malam nisfu Syaaban adalah sahih berdasarkan syawahid-syawahidnya dan syawahid-syawahid ini saling menguatkan antara satu sama lain dalam perkara ini — yakni kelebihan malam nisfu Syaaban — meskipun setiap jalur itu mempunyai perbincangan. (Lihat Sahih Ibn Hibban, 12/481)

Kemudian, berdasarkan hadith-hadith ini juga terdapat beberapa faedah yang boleh dikeluarkan dan diambil. Di antaranya ialah:

  • Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Hal ini kerana, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan bila mana padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi mereka yang memohon keampunan dan berdoa kepada-Nya. Oleh sebab itu, Imam al-Syafi‘i memasukkan malam nisfu Syaaban sebagai salah satu daripada lima malam yang mustajab untuk berdoa di dalamnya. (Lihat al-Umm, 1/264)
  • Selain itu, hadith-hadith di atas juga menunjukkan bahawa keampunan Allah SWT itu amat luas. Perkara ini selari dengan firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun’.”

(Surah Nuh: 10)

  • Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepada-Nya melainkan dengan taubat. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّـهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan Syariat-Nya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah SWT (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

  • Orang yang bermusuhan tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT. Perkara ini juga ada disebut dalam sebuah hadith sahih, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ، فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِالله شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ، فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا، أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Maksudnya:Sesungguhnya pintu-pintu syurga pada hari Isnin dan Khamis dibuka, lalu diampunkan setiap hamba yang tidak mensyirikkan Allah SWT dengan sesuatu kecuali orang yang antara dia dan saudaranya saling bermusuhan. Kemudian, dikatakan: ‘Tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah dua orang ini sehingga mereka berdamai’.

Riwayat Muslim (4652)

  • Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempunyai sifat dengki dan Allah SWT akan membiarkan mereka ini sehinggalah mereka meninggalkan sifat tersebut. Dalam sebuah hadith yang lain, daripada Anas bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

لاَ تَبَاغَضُوا، وَلاَ تَحَاسَدُوا، وَلاَ تَدَابَرُوا، وَكُونُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا

Maksudnya:Janganlah saling membenci, jangan saling mendengki, dan jangan saling membelakangi (bermusuhan). Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Riwayat al-Bukhari (6065)

  • Selain itu, orang-orang yang membunuh diri tidak akan mendapat keampunan daripada Allah SWT kerana dosa membunuh diri termasuk dalam dosa-dosa besar yang memerlukan seseorang itu untuk bertaubat. Berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الـمُحْصَنَاتِ الـمُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya:Hendaklah kamu menjauhi tujuh perkara yang membinasakan (tujuh dosa-dosa besar). Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah perkara-perkara tersebut?’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang dibenarkan, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari medan perang, dan menuduh (berzina) terhadap wanita-wanita yang memelihara maruah diri serta beriman lagi baik (lalai daripada pengaruh sekeliling).’

Riwayat al-Bukhari (2766)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hadith yang menceritakan berkenaan kelebihan malam nisfu Syaaban — berdasarkan kesemua jalur-jalurnya — adalah sahih dan mempunyai asalnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut.

Sekalipun kelebihan malam nisfu Syaaban adalah sabit, namun amalan tertentu yang berbentuk khusus pada malam tersebut adalah tidak ada sama sekali, melainkan amalan yang bersifat umum seperti memperbanyakkan zikir, beristighfar kepada Allah SWT, solat-solat sunat, berdoa, bersedekah dan lain-lain lagi. Tambahan pula, terdapat dalam kalangan ulama yang sangat memberi perhatian dan memuliakan malam nisfu Syaaban ini. Ibn Rajab menyebutkan, pada zaman dahulu, para tabiin daripada penduduk Syam seperti Khalid bin Ma‘dan, Makhul, Luqman bin Amir dan lain-lain memuliakan malam nisfu Syaaban dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu. (Lihat Lataif al-Ma‘arif, hlm. 137)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 16 Mac 2022 bersamaan 13 Syaaban 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *