Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah kenapakah Rasulullah SAW menyatakan perkara halal yang dibenci oleh Allah SWT adalah talak  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:

  • Mengangkat ikatan perkahwinan.
  • Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
  • Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan  bahawa talak adalah suatu perkara yang dibenci oleh Allah SWT, meskipun ianya halal. Ini disebabkan kerana penceraian boleh  mendatangkan  mafsadah serta kemudaratan yang besar kepada pasangan suami-isteri dan anak-anak mereka. Tambahan pula, talak sering menjadi salah satu punca utama dalam masalah sosial dan kemerosotan akhlak dalam masyarakat. Oleh itu, adalah sangat penting bagi individu untuk memahami dan memikul tanggungjawab dalam menjaga kestabilan keluarga dan masyarakat serta menghindari dari penceraian.

Diriwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Al-Son’ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)

Antara kesan buruk dari penceraian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram adalah seperimana berikut:

  • Talak menghapuskan manfaat perkahwinan seperti pembentukan keluarga, mendapat anak, dan perkembangan komuniti Muslim.
  • Talak ialah perpecahan setelah kebahagiaan bersama, kesedihan setelah kegembiraan, dan putus asa setelah menanam harapan yang tinggi.
  • Talak menyebabkan permusuhan dan kebencian antara suami isteri, serta antara dua keluarga, setelah kebersamaan
  • Talak menyebabkan perpecahan anak-anak, mereka kehilangan bimbingan seorang ayah, pendidikan, nasihat , atau  kehilangan kasih sayang, penjagaan, dan kelembutan dari seorang ibu.
  • Talak adalah perkara halal yang dibenci di sisi Allah SWT  kerana ia membawa banyak musibah dan keburukan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/479)

Justeru, kami ingin menekankan bahawa penceraian membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Oleh itu, talak adalah suatu perkara yang diharuskan dalam Islam, tetapi ia tetap menjadi tindakan yang tidak disukai oleh Allah SWT. Bahkan, Allah SWT memerintahkan kita untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan melarang perpecahan. Kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha  untuk menjaga keharmonian dalam keluarga dan masyarakat, serta menjauhi tindakan yang membawa kepada perpecahan  kecuali dalam keadaan yang tidak dapat diselamatkan serta tidak menemui jalan keluar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam

Leave a Reply