#4057: Memasang Lilin atau Lampu pada Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah memasang lilin dan lampu pada kubur? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, para ulama bersepakat mengenai larangan memasang lampu di kubur-kubur dan menjadikannya masjid-masjid. Syeikh al-Islam menyatakan, wajib untuk menghilangkanya tanpa sebarang khilaf di antara ulama. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ، وَالْمُتَّخِذِينَ عَلَيْهَا الْمَسَاجِدَ وَالسُّرُجَ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur, menjadikan kubur-kubur sebagai masjid-masjid dan memasang lampu.[1]

Larangan itu ditegaskan daripada hadith Nabi SAW. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/243).

Selain daripada itu, terdapat resolusi daripada Hai’ah Kibar al-‘Ulama’ berkenaan pembinaan di atas kubur dan memasang lampu padanya (No: 49 bertarikh 20/8/1396H).

Dalam resolusi tersebut, dinyatakan dengan mengambil kira tanah perkuburan sebagai tempat untuk mengambil pengajaran, mengambil peringatan dan mengingati kematian sebagaimana hadith dalam Sahih Muslim (976), daripada riwayat Abu Hurairah R.A, katanya:

زَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ وَقَالَ: اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لِأُمِّي فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي، وَاسْتَأْذَنْتُهُ أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا، فَأَذِنَ لِي، فَزُورُوا الْقُبُورَ؛ فَإِنَّهَا تُذكِّرُكم الموتَ

Maksudnya: “Nabi SAW menziarahi kubur ibunya dan Baginda menangis lalu menyebabkan orang di sekelilingnya turut menangis. Kemudian, Baginda bersabda: “Aku pernah meminta izin kepada Tuhanku untuk memohon keampunan buat ibuku, tetapi Dia tidak mengizinkanku (untuk melakukannya), dan aku meminta izin kepada-Nya untuk menziarahi kuburnya dan aku diberi keizinan (untuk menziarahinya). Jadi, sekarang ziarahilah kubur-kubur kerana ia akan mengingatkan kepada kematian.”

Menghiasi kubur dengan penanaman pokok-pokok, menurap jubin di jalan-jalan, memasang lampu-lampu elektrik padanya, dan lain-lain perkara yang termasuk dalam jenis perhiasan dan kecantikan adalah tidak sejajar dengan hikmah syariah dalam membenarkan ziarah kubur dan mengingati akhirat melaluinya. Apatah lagi menghiasi kubur-kubur dengan apa yang disebutkan tadi mengalihkan perhatian atau tujuan asalnya daripada menjadi peringatan dan mengambil pengajaran. Malah ia dapat menguatkan lagi niat seseorang untuk berlebih-lebihan dengan kehidupan dunia dan melupakan hari akhirat. Tambahan pula, Nabi SAW telah mengingatkan agar kita tidak menerangi kubur-kubur dan melaknat orang yang berbuat demikian.

Terdapat riwayat daripada Nabi SAW bahawa Baginda melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur, menjadikan kubur-kubur sebagai masjid-masjid dan memasang lampu padanya. Ini disebabkan hal tersebut menyerupai perbuatan ahli kitab daripada kalangan Yahudi dan Nasrani yang menanam pokok pada kubur-kubur mereka serta menghiasinya. Sesungguhnya Nabi SAW melarang daripada menyerupai mereka. Begitu juga perbuatan tersebut mendedahkan kubur untuk dihina atau direndah-rendahkan dengan tidak mengendahkannya atau memandang berat kepadanya, berjalan atau memijak di atasnya, duduk di atasnya dan perkara-perkara seumpamanya yang tidak sesuai dengan kehormatan orang yang telah meninggal dunia.

Oleh itu, ahli majlis telah bersepakat bahawa diharamkan untuk menonjolkan kubur-kubur, sama ada dengan cara menghiasinya melalui penanaman pokok-pokok, memasang lampu padanya  atau dengan apa-apa sahaja daripada jenis perhiasan. Tujuannya adalah supaya dapat dikekalkan apa yang diamalkan oleh al-Salaf al-Soleh (generasi terawal) dan begitu juga supaya kubur tetap menjadi sebagai tempat untuk mengambil peringatan dan pengajaran. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/246).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa memasang lampu atau lilin pada kubur adalah tidak dibenarkan. Apatah lagi, perbuatan tersebut dilihat menyelisihi tujuan asal disyariatkan untuk menziarahi kubur iaitu sebagai tempat untuk mengambil peringatan dan pengajaran serta mengingati kematian dan hari akhirat.

Bukan itu sahaja, dikhuatiri menghiasi atau mencantikkan kubur secara berlebih-lebihan seperti menghiasinya dengan memasang lampu dan lilin untuk mencantikkannya akan menyebabkan manusia mengingati kehidupan dunia lebih daripada mengingati hari akhirat. Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa tidak melakukannya atau meninggalkan perbuatan itu adalah jauh lebih baik.

Adapun jika sekiranya untuk kemudahan bagi mereka yang ingin menanam mayat pada waktu malam, di samping supaya tidak terpijak di atas kubur, maka hukumnya dibolehkan, sekadar untuk menerangi kawasan atau sebaik-baiknya di pekarangan atau di tepi kawasan kubur, bukan di dalam kawasan kubur sebagai keluar daripada khilaf.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Nota Kaki:

[1] Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu‘ al-Fatawa (31/206) menyatakan, riwayat ini adalah thabit.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *