Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah orang pertama yang melakukan sumpah li‘an dalam Islam, dan boleh ustaz ceritakan kisahnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar.”

وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ

Maksudnya: “Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.”

(Surah al-Nur: 6-7)

Li‘an (اللِّعَانُ) merupakan perkataan Arab yang berasal dari kata kerja (لَاعَنَ – يُلَاعِنُ). Syeikh Muhammad bin Soleh al- ‘Uthaimin mengatakan, li‘an (اللِّعَانُ) ini diambil dari perkataan al-la‘nu (اللَّعْنُ) yang bermaksud penyingkiran dan jauh dari rahmat Allah. Dan sifat li‘an  ini adalah sumpah secara berulang kali, iaitulah kesaksian secara pasti yang disertakan dengan sumpah agar ditimpa laknat atau kemurkaan.

Pihak yang melafazkan li‘an ini akan diutamakan kerana dia yang mengemukakan perkara ini dahulu, dan kerana ia dilafazkan dari pihak si suami. Sebab sumpah li‘an ini pula adalah kerana seorang suami menuduh isterinya berzina. (Lihat Fath zi al-Jalal wa al-Ikram, 5/377)

Terdapat 2 kisah yang menceritakan tentang peristiwa sumpah li‘an pada zaman Rasulullah SAW. Pertamanya adalah kisah Hilal bin Umayyah R.A yang mendapati isterinya bersama dengan seorang lelaki. Kisah ini diceritakan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (6/13) ketika menafsirkan ayat ke 6 hingga 7 dari Surah al-Nur berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.A.

Ibn ‘Abbas R.A berkata:

أَنَّ هِلاَلَ بْنَ أُمَيَّةَ، قَذَفَ امْرَأَتَهُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ بِشَرِيكِ ابْنِ سَحْمَاءَ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: البَيِّنَةَ أَوْ حَدٌّ فِي ظَهْرِكَ. فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِذَا رَأَى أَحَدُنَا عَلَى امْرَأَتِهِ رَجُلًا يَنْطَلِقُ يَلْتَمِسُ البَيِّنَةَ؟ فَجَعَلَ النَّبِيُّ ﷺ يَقُولُ: البَيِّنَةَ وَإِلَّا حَدٌّ فِي ظَهْرِكَ. فَقَالَ هِلاَلٌ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ إِنِّي لَصَادِقٌ، فَلَيُنْزِلَنَّ اللهُ مَا يُبَرِّئُ ظَهْرِي مِنَ الحَدِّ، فَنَزَلَ جِبْرِيلُ وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ: {وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ} فَقَرَأَ حَتَّى بَلَغَ: {إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ} فَانْصَرَفَ النَّبِيُّ ﷺ فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا، فَجَاءَ هِلاَلٌ فَشَهِدَ، وَالنَّبِيُّ ﷺ يَقُولُ: إِنَّ اللهَ يَعْلَمُ أَنَّ أَحَدَكُمَا كَاذِبٌ، فَهَلْ مِنْكُمَا تَائِبٌ. ثُمَّ قَامَتْ فَشَهِدَتْ، فَلَمَّا كَانَتْ عِنْدَ الخَامِسَةِ وَقَّفُوهَا، وَقَالُوا: إِنَّهَا مُوجِبَةٌ، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: فَتَلَكَّأَتْ وَنَكَصَتْ، حَتَّى ظَنَنَّا أَنَّهَا تَرْجِعُ، ثُمَّ قَالَتْ: لاَ أَفْضَحُ قَوْمِي سَائِرَ اليَوْمِ، فَمَضَتْ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: أَبْصِرُوهَا، فَإِنْ جَاءَتْ بِهِ أَكْحَلَ العَيْنَيْنِ، سَابِغَ الأَلْيَتَيْنِ، خَدَلَّجَ السَّاقَيْنِ، فَهُوَ لِشَرِيكِ ابْنِ سَحْمَاءَ، فَجَاءَتْ بِهِ كَذَلِكَ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْلاَ مَا مَضَى مِنْ كِتَابِ اللهِ لَكَانَ لِي وَلَهَا شَأْنٌ

Maksudnya: “Bahawa Hilal bin Umayyah menuduh isterinya di hadapan Nabi SAW (berzina) dengan Syarik bin Sahma’. Nabi SAW bersabda: ‘Bukti atau sebatan di atas belakangmu.’ Beliau berkata: ‘Wahai Rasulullah! Apabila salah seorang daripada kami melihat seorang lelaki di atas isterinya, apakah dia perlu pergi mencari saksi?’ Nabi SAW bersabda: ‘Saksi, jika tidak, maka sebatan di atas belakangmu.’ Hilal berkata: ‘Demi yang mengutuskanmu dengan kebenaran, sesungguhnya aku adalah benar dan sesungguhnya Allah akan menurunkan apa yang dapat membebaskan belakangku daripada sebatan.’ Jibril turun dan menurunkan kepada baginda SAW: (Firman Allah SWT): “وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ” (Maksudnya: Orang-orang yang menuduh isteri-isteri mereka (berzina)…) [Surah al-Nur: 6], dia membaca sehingga sampai ke ayat: “إِنْ كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ” (Maksudnya: Sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar.) [Surah al-Nur: 9] Nabi SAW pergi dan menghantar utusan kepada isteri Hilal. Setelah itu, Hilal datang bersaksi dan Nabi SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kamu berdusta, maka adakah ada di antara kamu berdua yang mahu bertaubat?’ Isteri Hilal berdiri dan bersumpah. Lalu pada sumpah yang kelima, mereka menghentikannya. Mereka berkata: ‘Sesungguhnya ianya pasti wajib (pasti terlaksana) .’ Ibn Abbas berkata: Maka dia (isteri Hilal) berhenti dan berundur sehingga kami menganggap yang dia akan menarik kembali sumpahnya, namun kemudian dia berkata: ‘Aku tidak akan menjatuhkan maruah kaumku sepanjang hari ini.’ Maka dia meneruskan sumpahnya. Nabi SAW bersabda: ‘Perhatikanlah dia, jika anaknya memiliki mata yang hitam dan lebar, pinggul yang lebar dan betis yang panjang, maka dia adalah anak daripada Syarik bin Sahma’.’ Maka lahirlah anak itu bertepatan dengan ciri-ciri yang disebut oleh Rasulullah SAW. Maka, Nabi SAW bersabda: ‘Kalaulah persoalan ini tidak diputuskan Allah terlebih dahulu, maka tentu aku akan menjatuhkan hukuman yang berat terhadap perempuan itu’.”

Riwayat al-Bukhari (4747)

Manakala kisah sumpah li‘an yang ke 2 pula adalah tentang ‘Uwaimir al-‘Ijlani R.A yang mendapati isterinya bersama dengan seorang lelaki. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa‘d R.A, katanya:

أَنَّ عُوَيْمِرًا، أَتَى عَاصِمَ بْنَ عَدِيٍّ وَكَانَ سَيِّدَ بَنِي عَجْلاَنَ، فَقَالَ: كَيْفَ تَقُولُونَ فِي رَجُلٍ وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلًا، أَيَقْتُلُهُ فَتَقْتُلُونَهُ، أَمْ كَيْفَ يَصْنَعُ؟ سَلْ لِي رَسُولَ اللهِ ﷺ عَنْ ذَلِكَ، فَأَتَى عَاصِمٌ النَّبِيَّ ﷺ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، فَكَرِهَ رَسُولُ اللهِ ﷺ المـَسَائِلَ، فَسَأَلَهُ عُوَيْمِرٌ، فَقَالَ: إِنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ كَرِهَ المَسَائِلَ وَعَابَهَا، قَالَ عُوَيْمِرٌ: وَاللهِ لاَ أَنْتَهِي حَتَّى أَسْأَلَ رَسُولَ اللهِ ﷺ عَنْ ذَلِكَ، فَجَاءَ عُوَيْمِرٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ رَجُلٌ وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلًا أَيَقْتُلُهُ فَتَقْتُلُونَهُ أَمْ كَيْفَ يَصْنَعُ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: قَدْ أَنْزَلَ اللهُ القُرْآنَ فِيكَ وَفِي صَاحِبَتِكَ، فَأَمَرَهُمَا رَسُولُ اللهِ ﷺ بِالْمُلاَعَنَةِ بِمَا سَمَّى اللهُ فِي كِتَابِهِ فَلاَعَنَهَا، ثُمَّ قَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ حَبَسْتُهَا فَقَدْ ظَلَمْتُهَا فَطَلَّقَهَا، فَكَانَتْ سُنَّةً لِمَنْ كَانَ بَعْدَهُمَا فِي المُتَلاَعِنَيْنِ، ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: انْظُرُوا فَإِنْ جَاءَتْ بِهِ أَسْحَمَ، أَدْعَجَ العَيْنَيْنِ، عَظِيمَ الأَلْيَتَيْنِ، خَدَلَّجَ السَّاقَيْنِ، فَلاَ أَحْسِبُ عُوَيْمِرًا إِلَّا قَدْ صَدَقَ عَلَيْهَا، وَإِنْ جَاءَتْ بِهِ أُحَيْمِرَ كَأَنَّهُ وَحَرَةٌ، فَلاَ أَحْسِبُ عُوَيْمِرًا إِلَّا قَدْ كَذَبَ عَلَيْهَا، فَجَاءَتْ بِهِ عَلَى النَّعْتِ الَّذِي نَعَتَ بِهِ رَسُولُ اللهِ ﷺ مِنْ تَصْدِيقِ عُوَيْمِرٍ، فَكَانَ بَعْدُ يُنْسَبُ إِلَى أُمِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ‘Uwaimir datang kepada ‘Asim bin ‘Adi – merupakan pemimpin bani Ajlan – dan berkata: ‘Bagaimana yang akan kamu katakan tentang seseorang yang mendapati lelaki lain bersama isterinya, apakah dia membunuhnya, lalu kamu pula membunuhnya atau apa yang harus dia lakukan? Tanyakan hal itu untukku kepada Rasulullah SAW.’ ‘Asim datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah!’ Namun, Rasulullah SAW tidak suka mengenai pertanyaan-pertanyaan itu. Ketika ditanya ‘Asim, maka ‘Azim berkata: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak suka pertanyaan itu dan mencelanya.’ ‘Uwaimir berkata: ‘Demi Allah! Aku tidak akan berhenti sehingga aku menanyakannya kepada Rasulullah SAW.’ ‘Uwaimir datang dan berkata: ‘Wahai Rasulullah! Seseorang mendapati isterinya bersama lelaki lain. Apakah dia membunuhnya lalu kamu pula membunuhnya atau bagaimana yang dia perlu lakukan?’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Allah telah menurunkan al-Quran tentangmu dan isterimu.’ Lalu Rasulullah SAW memerintahkan keduanya untuk melakukan mula’anah (saling bersumpah atas tuduhannya) sepertimana yang disebutkan Allah dalam kitab-Nya. Dia pun melakukan mula’anah dengan isterinya dan berkata: ‘Wahai Rasulullah! Jika aku menahannya, maka sesungguhnya aku telah menganiayainya.’ Akhirnya dia menceraikan isterinya. Hal itu kemudiannya menjadi ikutan bagi orang yang melakukan li‘an yang datang selepas mereka berdua. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: ‘Lihatlah, sekira anaknya berkulit hitam, kedua matanya hitam dan lebar, pinggulnya besar dan betisnya panjang, maka aku berpendapat bahawa ‘Uwaimir telah berkata benar terhadap isterinya. Namun, jika anak itu berkulit kemerahan, seakan-akan wanita hitam lagi pendek, maka aku berpendapat bahawa ‘Uwaimir telah berdusta terhadap isterinya.’ Maka lahirlah anak itu bertepatan dengan ciri-ciri yang Rasulullah SAW sebutkan tentang kebenaran ‘Uwaimir. Selepas daripada itu, anak tersebut dinasabkan kepada ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (4745)

Maka ulama’ berbeza pendapat, adakah orang pertama yang melakukan sumpah li‘an adalah Hilal bin Umayyah R.A atau ‘Uwaimir al-‘Ijlani R.A. Akan tetapi, pandangan yang lebih kuat adalah Hilal bin Umayyah R.A merupakan orang pertama yang melakukan li‘an. Ini berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

إنَّ هِلالَ بنَ أُمَيَّةَ قَذَفَ امْرَأَتَهُ بشَرِيكِ ابْنِ سَحْماءَ، وَكانَ أَخا البَراءِ بنِ مالِكٍ لِأُمِّهِ، وَكانَ أَوَّلَ رَجُلٍ لاعَنَ في الإسْلامِ، قالَ: فلاعَنَها، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: أَبْصِرُوها؛ فإنْ جاءَتْ به أَبْيَضَ سَبِطًا قَضِيءَ العَيْنَيْنِ، فَهو لِهِلالِ بنِ أُمَيَّةَ، وإنْ جاءَتْ به أَكْحَلَ جَعْدًا حَمْشَ السّاقَيْنِ، فَهو لِشَرِيكِ ابْنِ سَحْماءَ، قالَ: فَأُنْبِئْتُ أنَّها جاءَتْ به أَكْحَلَ جَعْدًا حَمْشَ السّاقَيْنِ

Maksudnya: “Bahawasanya Hilal bin Umayyah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Sahma’ yang merupakan adik beradik seibu dengan al-Barra’ bin Malik. Hilal merupakan orang pertama yang melakukan li‘an dalam Islam, lalu dia melafazkan li‘an kepada isterinya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Lihatlah selepas isteri tersebut melahirkan, sekiranya anak itu berkulit cerah, rambutnya terurai dan cerah kelopak matanya, maka dia anak kepada Hilal bin Umayyah. Dan jika anak itu kehitaman dua kelopak matanya, berambut keriting dan kurus kedua kakinya, maka dia anak kepada Syarik bin Sahma’.’ Beliau (Anas) berkata: Maka aku dikhabarkan bahawa isterinya datang dengan membawa anak yang kehitaman dua kelopak matanya.”

Riwayat Muslim (1496)

Kesimpulan

Jelas berdasarkan nas-nas hadith di atas bahawa peristiwa pertama sumpah li‘an ini berlaku pada zaman Rasulullah SAW, dan ia dilafazkan oleh Hilal bin Umayyah.

Di kesempatan ini juga suka kami nasihat supaya tidak berlaku curang kepada pasangan kerana dengan perbuatan tersebut akan menimbulkan masalah dalam rumahtangga sehingga boleh membawa kepada penceraian.  Binalah rumahtangga yang harmoni, saling melengkapi antara suami dan  isteri agar terjalinnya hubungan mawaddah wa rahmah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Wallahu a‘lam

Leave a Reply