#4078: Hikmah Larangan Perempuan Menziarahi Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hikmah larangan wanita untuk menziarahi kubur? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menziarahi kubur hukumnya adalah sunat kerana ia membawa kepada keinsafan dan mengingatkan hari akhirat. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوا الْقُبُورَ، فَإِنَّهَا تُزَهِّدُ فِي الدُّنْيَا، وَتُذَكِّرُ الآخِرَةَ

Maksudnya: “Aku dahulunya melarang ke atas kamu ziarah kubur, maka (sekarang) ziarahlah kubur, kerana ia menzuhudkan dirimu dan mengingatkanmu kepada akhirat.”

Riwayat Ibn Majah (307) dan Ibn Hibban (981)[1]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَوَّارَاتِ الْقُبُورِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat wanita yang banyak menziarahi kubur.

Riwayat Ibn Majah (1291)

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan ketika menjelaskan lafaz “لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ” menyebutkan, “laknat” di sini bermaksud jauh daripada rahmat Allah SWT. Justeru, maknanya adalah doa Baginda ke atas mereka dengan laknat. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/361).

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, Imam al-Nawawi dan al-Muwaffaq menukilkan ijma‘ para ulama mengenai anjuran untuk menziarahi kubur ke atas lelaki dan bukannya wanita. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/255).

Dr Wahbah al-Zuhaili turut menjelaskan bahawa menurut jumhur fuqaha’, ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ‘keinginan’, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 2/541-542).

Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam ada menyatakan, hikmah di sebalik larangan wanita daripada menziarahi kubur adalah disebabkan oleh kelemahan, kelembutan, ketidaksabaran, dan kurangnya daya tahan yang ada pada diri mereka. Justeru, terdapatnya kebimbangan atau dikhuatiri kunjungan mereka ke kubur itu dapat membawa mereka kepada tindakan, perbuatan atau perkataan yang mengeluarkan mereka daripada kesabaran yang sepatutnya mereka miliki.  (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/257).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Nota kaki:

[1] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah dha’if dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (981).

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *