Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memberi salam kepada orang yang sedang makan? Begitu juga apakah hukum ke atas orang yang sedang makan itu dari segi adakah diwajibkan kepadanya untuk menjawab salam tersebut ataupun tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asalnya, hukum memberi salam adalah sunat muakkad — yang sangat dituntut. Manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya bahawa hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Manakala hukum menjawab salam pula adalah fardhu atau wajib secara ijma‘ (sepakat para ulama). Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain, maka orang yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardhu ain. Jika diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya pula menjadi fardhu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi mereka yang lain, dan jika semua orang menjawabnya, maka semuanya dikira sebagai menunaikan perkara yang fardhu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua dikira berdosa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/593-594).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #202 Memberi Salam.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (2/153) bahawa dihukumkan sebagai makruh untuk memberi salam kepada orang yang sedang makan atau berperang kerana mereka sedang sibuk dengan urusan tersebut — makan dan perang itu.

Begitu juga turut dinyatakan dalam Asna al-Matalib bahawa tidak dianjurkan (sunat) untuk memberi salam kepada orang yang sedang makan, terutamanya ketika dia sedang mengunyah makanan. Ini adalah sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Azkar. Manakala memberi salam kepada orang yang sedang minum adalah sama hukumnya seperti orang yang sedang makan sebagaimana dinyatakan dalam al-Ta‘liqah.

Kemudian, dari segi menjawab salam itu pula, tidak diwajibkan untuk menjawab salam yang tidak dianjurkan untuk memberi salam kepadanya, melainkan salam yang diucapkan kepada orang yang sedang mendengar khutbah. Ini kerana wajib ke atasnya untuk menjawab salam tersebut meskipun mengucapkan salam dalam keadaan tersebut adalah makruh. (Lihat Asna al-Matalib, 4/185).

Sebahagian ulama mengikat hal tersebut dengan orang yang sedang makan di mana makanan sedang berada dalam mulutnya. Imam al-Nawawi menyatakan, jika seseorang sedang makan dan makanan masih berada di dalam mulutnya, maka memberi salam kepada mereka dalam keadaan tersebut tidak wajib untuk dijawab. Namun jika seseorang sedang makan tetapi makanan belum berada di dalam mulutnya, maka tidak ada masalah memberi salam kepada mereka, dan mereka wajib untuk menjawabnya. (Lihat al-Azkar, hlm. 415).

Begitu juga Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga ada menyatakan, meskipun dihukumkan sebagai makruh memberi salam kepada orang yang sedang sibuk dengan azan atau iqamah atau berdoa atau membaca al-Quran atau talbiah atau sedang belajar atau sedang khutbah Jumaat, akan tetapi para fuqaha berselisih pendapat mengenai hukum menjawab salam itu kepada beberapa pendapat.

Menurut ulama Hanafiyyah, tidak wajib menjawabnya. Manakala sebahagian ulama Hanafiyyah yang lain pula berpendapat, wajib menjawabnya. Ini selari dengan kaedah mereka:

كُلُّ مَحَلٍّ لَا يُشْرَعُ فِيهِ السَّلَامُ لَا يَجِبُ رَدُّهُ

Maksudnya: “Setiap keadaan yang tidak dianjurkan untuk mengucapkan/memberi salam, maka tidak wajib menjawab salam tersebut.

Adapun ulama Syafi‘iyyah berpendapat, wajib menjawab salam tersebut. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Ramli bahawa sekiranya seseorang mengucapkan salam kepada orang yang sedang mendengar khutbah dan ketika itu khatib sedang menyampaikan khutbahnya, maka wajib ke atasnya untuk menjawab salam itu meskipun mengucapkan salam dalam keadaan tersebut adalah makruh.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan,  jelaslah bahawa memberi salam kepada orang yang sedang makan adalah tidak dianjurkan, bahkan makruh untuk memulakannya. Namun, jika ada orang yang tetap memberi salam kepada mereka, maka bagi menjawab salam tersebut, kami berpendapat bahawa wajib ke atas orang yang sedang makan tersebut untuk menjawab salam yang diucapkan kepada mereka. Begitu juga kami berpendapat, tidak ada masalah untuk mereka melewatkan sedikit bagi menjawabnya jika dalam mulut mereka masih ada makanan atau sedang mengunyah. Selepas mereka menelan makanan itu atau menyelesaikan urusan makan/mengunyah itu, barulah mereka menjawab salam tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.” 34

Surah al-Naml (19)

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/202-memberi-salam/. Diakses pada 17 Februari 2022.

[2] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3083. Diakses pada 9 November 2023.

Leave a Reply