#4105: Menjamu Makan Kepada Keluarga Si Mati

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah disunatkan untuk menjamu makan kepada keluarga si mati? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita disunatkan untuk menjamu makan kepada keluarga si mati. Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW mengarahkan agar dibuatkan makanan kepada keluarga Ja’far R.Anha:

اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya:Buatkan untuk keluarga Ja‘far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.

Riwayat Abu Dawud (3132)

Imam al-Syafi’i menyebutkan dalam kitabnya, aku suka sekiranya jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya memberi makan kepada ahli keluarga si mati, (iaitu makanan) yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana itu ialah sunnah dan ingatan yang mulia, dan ia adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Hal ini kerana apabila tiba berita kematian Ja‘far, Rasulullah SAW bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja‘far kerana telah datang perkara yang menyedihkan mereka.’” (Lihat al-Umm, 1/278-279).

Selain itu, Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas ada menyatakan, Nabi SAW menghantar pasukan ke Mu‘tah pada tahun kelapan Hijrah untuk menentang tentera Rom. Baginda telah melantik Zaid bin Harithah sebagai pemimpin mereka. Jika Zaid terbunuh, maka Ja‘far bin Abu Talib akan mengambil alih bagi memimpin pasukan tersebut, dan jika Ja‘far terbunuh, maka Abdullah bin Rawahah akan mengambil alih bagi memimpin pasukan itu. Ketiga-tiga pemimpin ini telah gugur syahid kerana pasukan tentera Muslimin hanya berjumlah seramai tiga ribu, sedangkan jumlah pasukan tentera Rom seramai seratus ribu. Kemudian, datanglah berita kepada Rasulullah SAW (melalui wahyu) dari langit. Maka Baginda SAW pergi ke rumah Ja‘far bagi menghiburkan ahli keluarganya dan mendoakan anak-anaknya. Setelah itu, Baginda pergi ke ahli keluarga Baginda dan bersabda: “Buatkan untuk keluarga Ja‘far makanan yang mana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.

Hal itu menjadi sunnah nabawiyyah di mana ahli keluarga si mati akan dihantar makanan kepada mereka oleh kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai dan seumpamanya. Tidak dinafikan bahawa ini adalah salah satu  kebaikan dalam Islam, yang melibatkan aspek tolong-menolong dalam masyarakat. Ini adalah sebagaimana ditegaskan dalam hadith, Nabi SAW bersabda:

الـمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا

Maksudnya: “Orang mukmin bagi orang mukmin yang lain umpama bangunan yang saling menguatkan di antara satu dengan yang lainnya.

Riwayat al-Bukhari (2446)

Begitu juga dinyatakan dalam Syarh al-Zad bahawa disunatkan untuk dibuatkan makanan kepada keluarga si mati dan dihantarkan kepada mereka selama tiga hari berdasarkan kepada kisah Ja‘far. Namun, dalam hadith tidak disebutkan tempoh masa untuk memberi makanan dan secara zahirnya ia hanya dilakukan sebanyak sekali sahaja. Walau bagaimanapun, para fuqaha melihat tempoh masa berkabung sebanyak tiga hari selagi mana asal memberi makanan itu disyariatkan. Justeru, dalam perkara ini adalah luas. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/269-270)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *