#4106: Benarkah Jenazah Tidak Boleh Dibiarkan Sendirian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan yang bermain-main di fikiran saya. Benarkan jenazah sebelum dikebumikan, tidak boleh dibiarkan atau ditinggalkan sendirian? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Pada asalnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Namun, dalam beberapa keadaan jenazah terpaksa ditangguhkan atau dilewatkan sedikit pengurusannya disebabkan oleh beberapa sebab yang dibenarkan oleh syarak sehinggakan mungkin jenazah terpaksa disimpan semalaman. Maka, timbul persoalan, adakah jenazah itu boleh disimpan dengan dibiarkan atau ditinggal secara bersendirian di dalam bilik tertentu tanpa langsung ada ahli keluarga yang menemaninya?

Dalam menjawab soalan ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa meninggalkan jenazah secara bersendirian di dalam bilik tertentu atau seumpamanya sebelum jenazah dikebumikan adalah makruh. Ini kerana sebaik-baiknya jenazah dijaga dan ditemani oleh ahli keluarganya, tidak kira seorang mahupun ramai. Namun, kami tidak menemukan sebarang dalil tentang hal itu, baik daripada al-Quran mahupun al-sunnah.

Di antara ulama yang berpendapat makruh meninggalkan mayat secara bersendirian di dalam bilik tanpa ada orang yang menemaninya adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Mardawi dalam kitabnya, Imam al-Ajurri menyebutkan tentang orang yang meninggal dunia pada waktu petang bahawa dimakruhkan untuk meninggalkan mayat secara bersendirian di dalam bilik. Akan tetapi sebaik-baiknya ada ahli keluarganya yang menunggu bersamanya. (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 2/468).

Begitu juga al-Buhuti ada menukilkan kenyataan Imam al-Ajurri di atas. Kemudian, beliau menukilkan pula selepas itu daripada al-Nakha‘i yang menyebutkan, mereka tidak meninggalkan mayat di dalam bilik secara bersendirian. Mereka menyatakan bahawa kerana syaitan akan bermain-main dengannya — yakni mengganggunya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/45).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan tidak makruh untuk meninggalkan mayat di dalam bilik secara sendirian tanpa ada orang yang menunggu atau menemaninya. Ini kerana tidak terdapatnya dalil, tidak kira daripada al-Quran mahupun al-Sunnah yang menunjukkan akan perkara tersebut.

Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa di sana terdapatnya sebahagian ulama seperti dalam kalangan ulama Hanabilah yang menghukumkan sebagai makruh untuk meninggalkan mayat di dalam bilik secara bersendirian. Di antara alasan yang disebutkan adalah kerana syaitan akan bermain-main atau mengganggu mayat tersebut. Namun, kami melihat atau beranggapan, di antara sebab mengapa mayat tidak ditinggalkan secara bersendirian dan mesti ada yang menunggunya adalah kerana dibimbangi atau dikhuatiri berkemungkinan adanya haiwan seperti kucing atau budak-budak kecil yang akan mengganggu mayat tersebut. Sedangkan menghormati dan memuliakan mayat serta tidak menghinanya adalah dituntut dalam Islam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *