#4107: Mengucapkan Takziah kepada Orang Islam yang Keluarganya Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengucapkan takziah kepada orang Islam yang keluarganya meninggal dunia? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah lyang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu secara ringkas takrifan takziah. Takziah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud pernyataan turut bersedih dan berdukacita.[1]

Dari sudut definisi, takziah bermaksud memberikan ketenangan kepada keluarga si mati, dan menggalakkan mereka untuk bersabar dengan jaminan pahala (terhadap perbuatan tersebut), serta mendoakan jenazah si mati yang beragama Islam dan juga doa kepada mereka yang ditimpa musibah.

Secara umumnya, hukum takziah di dalam Islam adalah sunat yang dituntut. Hal ini berdasarkan kepada hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ اللَّهُ سُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ الْكَرَامَةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya:Tidak ada seorang mukmin yang mengucapkan takziah kepada saudaranya disebabkan suatu musibah melainkan Allah S.W.T akan memakaikannya dengan pakaian kemuliaan pada hari kiamat kelak.”

Riwayat Ibn Majah (1601)

Al-Sindi dalam syarahan beliau ke atas hadith ini menyebutkan, takziah kepada saudaranya adalah dengan cara menyuruhnya supaya bersabar. Seperti ucapan “semoga Allah memberikan ganjaran yang besar kepada kamu,” dan seumpamanya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 1/486).

Tambahan lagi, Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, para ulama telah menyatakan ijma‘ (bersepakat) berkenaan anjuran (sunat) untuk mengucapkan takziah kepada orang Islam yang ditimpa musibah dengan kematian ahli keluarganya sekalipun dia masih kecil, tidak kira sebelum dikebumikan mahupun selepasnya. Di samping itu, mendorongnya untuk terus bersabar dengan janji pahala, serta mendoakan orang yang telah meninggal dunia dan mereka yang ditimpa musibah. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Majah sebagaimana di atas. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/275-276).

Di antara lafaz takziah yang diajar oleh Nabi SAW seperti yang disebutkan dalam riwayat daripada Usamah bin Zaid R.A, di mana Baginda SAW bersabda:

أَنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَىْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَمُرْهَا فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

Maksudnya: “‘Sesungguhnya bagi Allah SWT apa yang Dia ambil dan milik-Nya jualah apa yang Dia berikan. Kesemuanya ada ajal (tempoh masa) yang tertentu di sisi-Nya.’ Perintahkanlah dia (perempuan tersebut) untuk bersabar nescaya kamu akan mendapat ganjaran.”

Riwayat al-Bukhari (7377)

Secara umumnya, kaifiat atau tatacara mengucapkan takziah ini terdapat padanya keluasan. Seseorang itu boleh sahaja mengucapkan takziah di hadapan mereka yang ditimpa musibah itu. Demikian juga boleh bagi seseorang itu untuk mewakilkan orang lain bagi menyampaikan takziah kepada orang yang ditimpa musibah bagi pihaknya seperti yang berlaku dalam hadis Usamah di atas apabila Rasulullah SAW menghantar wakil untuk mengucapkan takziah atas musibah yang menimpa.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk mengucapkan takziah kepada orang Islam yang keluarganya meninggal dunia. Hal ini kerana terdapatnya nas atau hadith yang menunjukkan akan hal tersebut. Bahkan anjuran atau disunatkan untuk mengucapkan takziah itu dinyatakan bahawa para ulama telah menyatakan ijma‘ akan hal tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=takziah. Diakses pada 9 November 2023.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *