Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Abu Bakar sendiri pernah menggariskan di dalam wasiat beliau semasa menjadi khalifah beberapa larangan ketika peperangan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sejarawan Islam telah banyak merekodkan penulisan-penulisan sejarah di dalam kitab-kitab mereka, sama ada yang diambil secara bersanad dari guru-guru secara bersambung dan sebahagiannya terdiri dari riwayat isra’iliyyat. Antara peristiwa sejarah yang dicatat ini, termasuklah peperangan-peperangan yang menjadi titik permulaan tersebar luasnya empayar Islam dalam menyebarkan dakwah tauhid dan mengesakan Allah SWT.
Selepas kewafatan junjungan kita yang tercinta, Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A telah diangkat sebagai khalifah pertama di dalam Islam sebagai pengganti tampuk kepimpinan, membimbing umat Islam pada zaman beliau untuk tetap teguh dengan agama yang benar ini, serta membasmi pelbagai bentuk cubaan yang sengaja mengganggu gugat kesucian agama dari dalam. Sebagai contoh, penentangan Abu Bakar R.A terhadap Musailamah al-Kazzab yang mengaku menjadi Nabi, memerangi golongan murtad dan sebagainya.
Antara kisah lain yang menjadi tumpuan sejarawan Islam adalah peristiwa pembukaan Syam, yang mana ketika itu ia berada di bawah Empayar Rom atau Byzantine Timur. Gagasan ini hadir dalam fikiran Abu Bakar R.A yang berminat untuk meneruskan dasar perluasan Nabi, sejak dari awal Baginda SAW diutuskan.
Imam Abu ‘Abdillah al-Waqidi, sejarawan Islam yang wafat pada tahun 207 H di dalam kitabnya Futuh al-Syam (1/5) meriwayatkan daripada guru-gurunya, daripada Abu Bakar al-Siddiq R.A, katanya:
“Wahai sekalian manusia, semoga Allah SWT merahmati kalian. Ketahuilah bahawa Allah telah memuliakan kalian dengan Islam, dan menjadikan kalian dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW, dan menambahkan keimanan dengan penuh keyakinan serta memberikan pertolongan yang tidak ada bandingnya kepada kalian.
Allah SWT berfirman:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Dan ketahuilah kalian bahawa Rasulullah SAW pernah berharap untuk menumpukan keazamannya (untuk membuka) Syam, akan tetapi Allah telah mengambil Baginda (dengan kewafatannya) dan Dia menentukan untuk Baginda segala sesuatu. Akan tetapi, aku berazam untuk mengutuskan pahlawan-pahlawan Islam ke Syam untuk menawan penduduk mereka serta harta mereka. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberitahu kepadaku tentang perkara ini sebelum Baginda meninggal dunia.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ زَوَى لِي الْأَرْضَ، فَرَأَيْتُ مَشَارِقَهَا وَمَغَارِبَهَا، وَإِنَّ أُمَّتِي سَيَبْلُغُ مُلْكُهَا مَا زُوِيَ لِي مِنْهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menghimpunkan kepadaku bumi, maka aku melihat Timur dan Baratnya, kerajaan umatku akan sampai kepada apa yang dikumpulkan kepadaku itu.”
Riwayat Muslim (2889)
Maka apa kata kalian (sekalian kaum muslimin) tentang perancangan ini?” Lalu kaum muslimin menjawab: “Wahai Khalifah Rasulullah, kami melaluinya mengikut perintah kamu, dan kami menuju ke arahnya sebagaimana yang kamu mahukan. Sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan ke atas kami untuk mentaati kamu.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)”
Diriwayatkan di dalam kitab al-Muwatta’ oleh Imam Malik, daripada Yahya bin Sa‘id, bahawa pada suatu ketika Khalifah Abu Bakar al-Siddiq R.A berjalan bersama Yazid bin Abu Sufyan R.A yang ketika peperangan itu dilantik sebagai salah seorang panglima perang yang diutuskan untuk melalui Damsyiq. Kemudian Khalifah Abu Bakar al-Siddiq R.A berkata kepadanya:
وَإِنِّي مُوصِيكَ بِعَشْرٍ: «لَا تَقْتُلَنَّ امْرَأَةً، وَلَا صَبِيًّا، وَلَا كَبِيرًا هَرِمًا، وَلَا تَقْطَعَنَّ شَجَرًا مُثْمِرًا، وَلَا تُخَرِّبَنَّ عَامِرًا، وَلَا تَعْقِرَنَّ شَاةً، وَلَا بَعِيرًا، إِلَّا لِمَأْكَلَةٍ. وَلَا تَحْرِقَنَّ نَحْلًا، وَلَا تُغَرِّقَنَّهُ، وَلَا تَغْلُلْ وَلَا تَجْبُنْ
Maksudnya: “Dan aku mewasiatkan kepada kamu 10 perkara (ketika peperangan berlaku): jangan kamu bunuh wanita-wanita, dan jangan bunuh anak-anak kecil, dan jangan bunuh orang-orang tua, jangan memotong pohon yang sedang berbuah, jangan merobohkan bangunan, jangan menyembelih kambing ataupun unta kecuali hanya untuk dimakan, jangan membakar pohon kurma atau menenggelamkannya, dan janganlah jadi seperti digari atau menjadi seorang yang penakut.”
Riwayat Malik (10)
Kesimpulan
Berdasarkan kisah serba ringkas yang kami bawakan ini, terdapat beberapa larangan yang digariskan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq R.A. Antaranya:
- Tidak membunuh kaum yang lemah dan tidak berdaya untuk berperang, seperti wanita, anak-anak kecil, dan orang-orang tua.
- Tidak memusnahkan sumber makanan setempat, seperti memotong pohon yang sedang berbuah, menyembelih kambing ataupun unta yang tidak bertujuan untuk dimakan, membakar pohon kurma atau menenggelamkannya.
- Tidak memusnahkan kawasan penempatan, seperti merobohkan bangunan.
- Tidak menjadi seorang penakut dan pengecut ketika berperang.
Semoga kita dapat sentiasa mengamalkan sunnah Rasulullah SAW serta para Khulafa’ al-Rasyidin selepas Baginda dalam apa jua cabaran dan dugaan yang ditempuhi dalam kehidupan ini. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
(Surah al-Baqarah: 250)
Wallahu a‘lam