Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya siapakah orang pertama berwakaf dalam islam? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Lihat: Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Lihat: al-Takrifat al-Fiqhiyyah, 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)

Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat  Al-Mughni, 12/175)

Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Lihat: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

(Surah Ali-Imran:92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat redha Allah SWT dan RasulNya. ( Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496 )

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan amalan mewakafkan harta adalah amalan yang amat dituntut dalam islam kerana ia merupakan amalan yang dapat membantunya di akhirat kelak disebabkan ganjarannya  yang berterusan. Hal Ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan  oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika seorang manusia mati maka terputuslah daripadanya amalnya kecuali dari tiga perkara; dari sedekah jariah atau ilmu yang diambil manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Riwayat Muslim (1631)

Imam al-Nawawi berkata, maksud sedekah jariah dalam hadis di atas ialah amalan wakaf. Hadith ini juga menjadi dalil sahnya amalan berwakaf serta ganjarannya yang besar. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/89)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: Ulama telah mentafsirkan perkataan ‘sedekah jariah’ dalam hadith yang tersebut di atas itu dengan maksud wakaf, sepertimana kata Imam al-Rafi’i. Hal ini kerana pahala sedekah jariah terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain, pahalanya tidak berterusan mengalir sepertimana sedekah amal jariah atau wakaf. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 10/87)

Kembali kepada persoalan di atas, sahabat nabi yang pertama mewakafkan hartanya adalah Umar Bin Khattab. Beliau mendapat sebidang tanah di khaibar lalu mewakafkannya pada kebajikan dan menginfakkan segala hasil dari tanah tersebut kepada fakir miskin. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa beliau berkata:

أولُ صَدَقَةٍ كَانَتْ فَي الإِسْلَامِ صَدَقَةُ عُمَرَ، فَقَالَ لَهُ رُسُولُ اللهِ ﷺ: احْبِسْ أُصُولَهَا وَسَبِّلْ ثَمَرَتَهَا

Maksudnya: Sedekah yang pertama kali dalam islam adalah sedekah yang dilakukan oleh Umar. Maka Rasulullah SAW bersabda: Tahanlah usulnya (milikan tanah) dan infakkanlah hasilnya di jalan Allah

Riwayat Ahmad(6460)

Kisah wakaf umar juga  boleh dilihat melalui hadith  yang  diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA:

‏أَصَابَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ,‏ ‏فَأَتَى النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَسْتَأْمِرُهُ ‏ ‏فِيهَا, فَقالَ  : يَا رَسُولَ اللَّهِ , إِنِّي ‏ ‏أَصَبْتُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ‏ ‏لَمْ ‏ ‏أُصِبْ ‏ ‏مَالاً قَطُّ هُوَ ‏ ‏أَنْفَسُ ‏ ‏عِنْدِي مِنْهُ, فَقَالَ : ‏ ‏إِنْ شِئْتَ ‏ ‏حَبَسْتَو‏أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا, وَلاَ ‏ ‏يُبْتَاعُ ‏ ‏وَلاَ يُورَثُ وَلاَ يُوهَبُ قَالَ فَتَصَدَّقَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏فِي الْفُقَرَاءِ وَفِي الْقُرْبَى وَفِي الرِّقَابِ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏ ‏وَابْنِ السَّبِيلِ ‏ ‏وَالضَّيْفِ لاَ ‏ ‏جُنَاحَ ‏ ‏عَلَى مَنْ ‏ ‏وَلِيَهَا ‏ ‏أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ أَوْ يُطْعِمَ صَدِيقًا غَيْرَ ‏ ‏مُتَمَوِّلٍ ‏ مَالاً

Maksudnya: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang menghadap Nabi S.A.W untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar.  Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu (wakafkanlah tanah itu) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah dari hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya.

Riwayat Muslim (1632

Telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahawa: Umar bin al-Khattab R.A memperoleh tanah di Khaibar yang merupakan harta yang paling berharga baginya. Beliau datang kepada Nabi SAW untuk meminta nasihat mengenai bagaimana menginfakkan tanah tersebut sebagai sedekah. Nabi SAW menasihatinya agar menahan pokoknya dari bertukar pemilikan dan memberikan sedekah manfaat dari harta tersebut. Umar mengikuti nasihat tersebut, dan dia menjadi orang pertama yang melakukan tindakan ini dalam Islam. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/102)

Justeru kami katakan berdasarkan hadith di atas jelaslah kepada kita bahawa amlan berwakaf merupakan amalan yang amat dianjurkan dalam islam kerana ganjarannya yang amat besar. Kita boleh melihat sahabat Rasulullah SAW Umar Bin al-Khattab sanggup mewakafkan hartanya yang paling berharga di jalan Allah SWT dan beliau menjadi orang pertama yang mewakafkan harta dalam islam. Oleh yang demikian contoh dan teladan yang ditunjukkan oleh Umar Bin al-Khattab wajar untuk diikuti dan diambil pengajaran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply