Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah puasa seseorang lelaki terbatal disebabkan oleh dia memegang atau menyentuh payudara isterinya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, perbuatan bermesraan sesama suami isteri adalah suatu perkara yang menjadi lumrah dalam kehidupan rumah tangga. Berdasarkan hadith-hadith di atas, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW juga mencium dan bermesra-mesraan dengan para isteri Baginda.

Ini dapat dilihat sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ إِحْدَى نِسَائِهِ وَهُوَ صَائِمٌ

Maksudnya:Rasulullah SAW mencium salah seorang isteri Baginda dalam keadaan Baginda sedang berpuasa.”

Riwayat Muslim (1106)

Begitu juga dalam riwayat Aisyah R.Anha yang lain, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُ وَهُوَ صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كَانَ أَمْلَكَ لإِرْبِهِ

Maksudnya:Rasulullah SAW mencium (isterinya) dalam keadaan Baginda sedang berpuasa. Baginda juga bermesra-mesraan (dengan isterinya) dalam keadaan Baginda berpuasa, akan tetapi Baginda ialah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.”

Riwayat Abu Daud (2382)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, memegang atau menyentuh payudara isteri termasuk dalam perbuatan bermesra-mesraan yang tidak melibatkan hal-hal yang berkait dengan kemaluan (persetubuhan/hubungan intim) seperti berpelukan, berciuman dan seumpamanya. Perbuatan bermesra-mesraan seperti ini menurut ulama ia tidak membatalkan puasa seseorang selagi mana hal itu tidak menyebabkan inzal — keluarnya air mani. Jika syahwatnya terangsang sehingga mengeluarkan air mani, maka tidak syak lagi puasanya dikira terbatal.

Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa dihukumkan sebagai makruh bagi sesiapa yang bercumbuan dalam keadaan dia sedang berpuasa jika terangsang syahwatnya dan tidak dihukumkan sebagai makruh bagi selainnya — yang mampu mengawal nafsunya. Namun, yang utamanya adalah meninggalkan perbuatan tersebut. Begitu juga tidak ada beza antara orang tua dan orang muda kerana perkara yang diambil kira ialah terangsang syahwat dan dikhuatiri keluarnya air mani. Dalam erti kata lain, jika seorang tua ataupun muda itu kuat untuk terangsang syahwatnya, maka hukumnya adalah makruh, dan jika tidak terangsang syahwatnya, maka hukumnya tidak makruh. Akan tetapi yang utamanya meninggalkan perbuatan bercumbuan itu, tidak kira mencium pipi, mulut atau selainnya. Begitu juga perbuatan bermesra-mesraan dengan tangan dan berpelukan, hukumnya adalah sama dengan hukum bercumbuan.

Kemudian, hukum makruh yang dimaksudkan bagi sesiapa yang terangsang syahwatnya ialah makruh tahrim. Ini merupakan pendapat pengarang al-Muhazzab, al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-‘Abdari dan lain-lain ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Manakala sebahagian lagi pula berpendapat, hukum makruh di sini ialah makruh tanzih selagi mana tidak keluar air mani. Inilah pendapat yang disahihkan oleh al-Mutawalli. Namun, al-Rafi‘i dan selainnya menyebutkan, pendapat yang paling sahih ialah makruh tahrim. Selain daripada itu, apabila seseorang itu berciuman dan tidak keluar air mani, maka puasanya tidak terbatal tanpa sebarang khilaf di sisi ulama mazhab Syafi‘i, tidak kira bagi mereka yang berpendapat makruh tahrim atau tanzih.

Di samping itu, seluruh fuqaha menyebutkan bahawa perbuatan berciuman itu tidak membatalkan puasa melainkan berlakunya inzal (keluar air mani). Oleh itu, sekiranya keluar air mani, maka puasanya batal dan wajib ke atasnya untuk menggantikannya tanpa dikenakan kafarah — jika ia adalah puasa wajib pada bulan Ramadhan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/355).

Justeru, difahami bahawa puasanya tidak terbatal semata-mata disebabkan perbuatan berciuman, berpelukan dan bermesraan tetapi disebabkan oleh keluarnya air mani kerana perbuatan itu. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Umar bin al-Khattab, beliau berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ صَنَعْتُ الْيَوْمَ أَمْرًا عَظِيمًا قَبَّلْتُ وَأَنَا صَائِمٌ ‏ قَالَ: ‏‏أَرَأَيْتَ لَوْ مَضْمَضْتَ مِنَ الْمَاءِ وَأَنْتَ صَائِمٌ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, hari ini aku telah lakukan sesuatu yang berat. Aku telah mencium (isteriku) dalam keadaan aku berpuasa. Maka Baginda SAW menjawab: ‘Apa pendapat kamu sekiranya kamu berkumur-kumur dalam keadaan kamu sedang berpuasa?’

Riwayat Abu Daud (2385)

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith ini menyatakan, Baginda SAW menyamakan perbuatan mencium itu dengan berkumur-kumur. Sesungguhnya telah sabit bahawa jika seseorang itu berkumur-kumur lalu air sampai ke dalam rongganya, maka ia membatalkan puasa, dan sekiranya air tidak sampai ke dalam rongganya, maka ia tidak membatalkan puasanya. Justeru, ini menunjukan bahawa perbuatan berciuman itu adalah sama sepertinya — yakni berkumur-kumur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/321)

Jika perbuatan berciuman yang berkait rapat dengan rongga (mulut) tidak menyebabkan puasa seseorang itu dikira terbatal, maka jika sekadar hanya bersentuhan antara suami isteri pada tempat yang bukan rongga seperti payudara dan seumpamanya adalah lebih-lebih lagi tidak dihukumkan sebagai membatalkan puasa.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa seorang suami yang menyentuh atau memegang payudara isterinya, hukumnya adalah makruh sekiranya perkara itu menyebabkan syahwatnya terangsang atau dikhuatiri keluarnya air mani, dan tidak mengapa serta tidak makruh jika dia mampu untuk menjaga dirinya daripada hal itu, tidak kira dia seorang lelaki tua mahupun pemuda. Begitu juga puasanya tidak terbatal selagi mana tidak keluar air mani. Ini adalah sebagaimana pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, jika perbuatan menyentuh atau memegang payudara isterinya itu menyebabkan keluarnya air mani, maka puasanya tidak syak lagi adalah terbatal.

Namun, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan, sekalipun hal itu tidak membatalkan puasanya, tetapi adalah lebih baik untuk dia meninggalkan sebarang perbuatan yang boleh membangkitkan syahwatnya seperti menyentuh atau memegang payudara isterinya, berpelukan dengan isterinya mahupun berciuman dengan isterinya ketika dia sedang berpuasa. Hal tersebut adalah lebih baik dan lebih dituntut ke atas orang yang sedang berpuasa.

Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa disunatkan bagi orang yang berpuasa untuk meninggalkan hal-hal yang berkaitan dengan syahwat yang dibolehkan dan tidak membatalkan puasa seperti bersedapan melalui pendengaran, penglihatan, persentuhan, penciuman seperti menghidu bunga, menyentuhnya dan memandangnya. Hal ini kerana ia termasuk dalam kenikmatan yang tidak sesuai dengan hikmah puasa. Justeru, semuanya ini dihukumkan sebagai makruh, sebagaimana dihukumkan makruh memasuki tempat mandi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1687).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Leave a Reply