#4186: Pencuri Menjamin Semula Nilai Harta yang Dicuri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Katakan seorang pencuri itu telah dipotong tangannya kerana mencuri, dan harta yang dicuri itu pula tidak lagi dijumpai atau telah rosak, perlukah dia menjaminnya dengan nilai yang hampir sama? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Hukum memulangkan hak orang lain yang diambil secara zalim adalah wajib berdasarkan nas syara‘. Ini diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَلَى الْيَدِ مَا أَخَذَتْ حَتَّى تُؤَدِّيَ

Maksudnya: “Kewajiban atas tangan (yang mencuri) apa-apa yang diambilnya, sehinggalah dia memulangkannya.”

Riwayat Ibn Majah (2400), Abu Dawud (3561), al-Tirmizi (1266) dan al-Hakim (2337)

Dan berdasarkan hadith ini juga, fuqaha’ bersepakat tentang kewajiban memulangkan semula harta yang dicuri jika ianya masih sempurna, sama ada pencuri itu mampu untuk memulangkannya atau tidak.

Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, fuqaha’ tidak berselisih tentang kewajiban memulangkan semula harta yang dicuri kepada pemiliknya jika ianya masih sempurna, meskipun pencuri itu tidak berkemampuan, atau telah dijatuhkan ke atasnya hukuman, dan sama ada harta yang dicuri itu dijumpai padanya atau pada orang lain. Ini berdasarkan hadith riwayat Samurah bin Jundub R.A di atas.

Ini juga sebagaimana yang thabit dalam hadith daripada Safwan bin Umayyah R.A, pada suatu ketika apabila Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman hudud potong tangan kepada pencuri kain rida’ milik Safwan, akan tetapi Safwan memberikan syafaat kepadanya dengan memaafkannya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

فَلَوْلَا كَانَ هَذَا قَبْلَ أَنْ تَأْتِيَنِي بِهِ يَا أَبَا وَهْبٍ. فَقَطَعَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ

Maksudnya: “‘Seandainya hal ini terjadi (pemberian syafaat itu) sebelum engkau membawanya kepadaku wahai Abu Wahb?’ Kemudian Rasulullah SAW memotong tangan pencuri itu.”

Riwayat al-Nasa’ie (4883), Abu Dawud (4394), Ibn Majah (2595) dan Ahmad (15310)

Di dalam hadith ini, Safwan bin Umayyah R.A telah mendapatkan semula rida’ beliau yang dicuri, tetapi Rasulullah SAW masih menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas pencuri tersebut.

Dan tidak ada juga perselisihan tentang kewajiban menjamin semula nilai harta yang dicuri jika ianya telah rosak, meskipun pencuri itu tidak dijatuhkan ke atasnya hudud kerana sebab yang tertentu, seperti harta yang dicuri itu tidak disimpan dengan baik, atau tidak mencapai had minima, atau adanya syubhah, atau lain-lain. Ketika itu, diwajibkan ke atas pencuri menjamin harta yang dicuri dengan nilai yang setimpal. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/345-346)

Akan tetapi, jika si pencuri itu telah dijatuhkan ke atasnya hukuman potong tangan, dan harta yang dicuri itu pula telah rosak atau hilang, maka fuqaha’ berselisih pendapat sama ada dia masih diwajibkan untuk menjamin harta yang dicuri itu, atau dia tidak lagi dituntut untuk menjamin harta tersebut.

Perselisihan ini bertitik tolak dari sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَغْرَمُ السَّارِقُ إِذَا أُقِيمَ عَلَيْهِ الحَدُّ

Maksudnya: “Pencuri yang telah dijatuhkan hukuman tidak perlu menjamin (nilai harta yang hilang).”

Riwayat al-Nasa’ie (4984)

Imam al-Nasa’ie kemudian memberikan komentarnya abhwa hadith ini bertaraf mursal dan tidak thabit periwayatannya. (Lihat Sunan al-Nasa’ie, 8/92)

Beliau meriwayatkannya dari jalur al-Miswar bin Ibrahim, daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A. Hadith ini bertaraf dha‘if kerana ia terputus pada sanadnya. al-Miswar bin Ibrahim bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf tidak bertemu datuknya ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A kerana beliau meninggal pada tahun 32 H, dan al-Miswar bin Ibrahim pula meninggal pada tahun 107 H. Ibn Abi Hatim pernah bertanya kepada Imam Abu Hatim al-Razi tentang hadith ini, lalu katanya: “Hadith ini munkar, dan al-Miswar tidak berjumpa dengan ‘Abd al-Rahman, maka hadith ini juga mursal.” Imam al-Daruqutni juga mengatakan bahawa hadith ini terdapat percanggahan, dan ianya tidak thabit. (Lihat Minhah al-‘Allam, 8/481; al-‘Ilal, 4/194; Sunan al-Daruqutni, 3/129)

Percanggahan yang terdapat dalam hadith ini adalah, seperti yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, bahawa ianya bercanggah dengan kaedah syara‘. Hal ini kerana apabila berlakunya kecurian, dan dijatuhkan hukuman hudud ke atas pencuri itu, terdapat 2 perkara yang perlu dibezakan. Harta yang dicuri adalah hak sesama manusia, dan hukuman hudud adalah hak Allah SWT, maka kedua-duanya perlu dibezakan. (Lihat Fath zi al-Jalal wa al-Ikram, 5/402)

Imam Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri dan sebahagian ulama’ salaf berhujjah dengan hadith ini, bahawa pencuri yang telah dipotong tangannya tidak perlu menjamin harta yang telah dicuri. Fuqaha’ al-hanafiyyah beristidlal dengan hadith ini kerana mereka berpendapat hadith yang berstatus mursal masih boleh dijadikan hujjah. (Lihat Ahkam al-Quran, 4/83; Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’ie, 8/93)

Manakala majoriti fuqaha’ mengatakan bahawa pencuri masih perlu menjamin nilai harta yang telah hilang atau rosak itu, meskipun setelah dikenakan hukuman potong tangan. Ini kerana hudud potong tangan itu adalah hak Allah SWT, dan jaminan nilai harta yang dicuri itu adalah hak mangsa. (Lihat Subul al-Salam, 4/436; al-Mughni, 12/454)

Kesimpulan

Natijah yang diperoleh dari perbincangan ini, majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa pencuri wajib menjamin nilai harta yang telah hilang atau rosak, meskipun setelah dijatuhkan ke atasnya hudud potong tangan. Hal yang demikian kerana hudud merupakan hak Allah SWT yang wajib dilaksanakan, dan jaminan nilai harta adalah hak manusia yang perlu ditunaikan.

Kewajiban menjamin ini hanya akan terangkat jika mangsa memaafkan pencuri tersebut dan menghalalkan harta yang dicuri itu. Dan ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:

لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطَيبَةٍ مِنْ نَفْسِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi kamu harta orang Muslim yang lain melainkan atas kerelaannya.”

Riwayat al-Albani di dalam al-Ta‘liqat al-Radiyyah (2/490) dan beliau menghukumkannya sahih

Dan telah thabit juga sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ، فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ، قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ، إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ، وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Barangsiapa melakukan kezaliman kepada saudaranya, baik terhadap kehormatannya ataupun yang lainnya, maka hendaklah dia minta dihalalkan (maaf) saat ini sebelum tiba masa di mana dinar mahupun dirham tidak laku lagi. Apabila dia memiliki amal baik, maka sebahagian amal baiknya itu akan diambil sesuai dengan kadar kezaliman yang telah dilakukannya. Sedangkan jika tidak memiliki amal baik, maka dosa temannya akan diambil dan dibebankan (ditambahkan) ke atas dosanya.”

Riwayat al-Bukhari (2449)

Dalam kesempatan ini, kami menasihatkan agar kita semua mengambil iktibar dari hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT ke atas umat yang terdahulu, agar kita lebih bertaqwa kepadanya dan dapat mengelakkan diri dari jenayah kecurian ini. Renungilah  Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Semoga dengan usaha untuk menjamin semula harta yang dicuri itu termasuk dalam bentuk taubat serta taqwa kepada Allah SWT yang telah diusahakan semampu mungkin, sebagaimana yang disebutkan dalam Firman Allah SWT:

 فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Kami berdoa agar Allah SWT menerima taubat kita semua atas kesilapan yang telah lalu, serta meneguhkan kita di atas jalan ketaqwaan kepada-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنَّا

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah kami.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *