Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah amalan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap isteri-isteri Baginda selepas Asar ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan pengamatan kami, Rasulullah SAW adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan dakwah dan diikuti oleh manusia sama ada perintah-Nya mahupun akhlaknya bahkan sirahnya ditekuni untuk diamalkan dan diiktibar, begitu juga kehidupannya. Benarlah firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ ‎

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Ali Imran: 31)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jika ada yang mendakwa bahawa dia mencintai Allah maka ikutlah Nabi SAW dalam segenap sudut. Ikutlah wahyu yang telah diturunkan kepada Baginda. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/140)

Menjawb bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa antara amalan selepas solat asar yang dilakukan oleh Rasulullah SAW terhadap isteri-isterinya adalah Baginda menziarahi kesemua isterinya dengan melayani dan bergurau senda bersama mereka tanpa melakukan hubungan intim. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa beliau berkata:

 كانَ إذا صَلّى العَصْرَ دارَ على نِسائِهِ، فَيَدْنُو منهنَّ

Maksudnya: “Ketika Baginda selesai solat asar, Baginda melawat para isterinya lalu mendekati mereka.”

Riwayat al-Bukhari (6972) dan Muslim(1474)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah sepertimana berikut:

  • Sikap Rasulullah SAW dalam berlaku adil dalam pembahagian waktu di antara isteri-isterinya, walaupun Allah tidak mewajibkan Baginda untuk membuat pembahagian tersebut di antara mereka. Baginda berhak kepada sesiapa yang Baginda kehendaki di antara mereka dan baginda berhak untuk menginap di rumah mana-mana isterinya yang dikehendaki. Para isteri Rasulullah SAW redha dan menerima tentang perkara tersebut kerana perintah Allah SWT sebagaimana firmannya:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata

(Surah al-Ahzab: 36)

  • Baginda menziarahi setiap isterinya setiap hari, memberikan kasih dan kelembutan kepada mereka, bermain-main tanpa melakukan hubungan intim. Ini dilakukan semata-mata untuk menenangkan hati mereka, menjaga hubungan yang baik dengan mereka, terutama kerana jika Baginda tidak bertemu  mereka setiap hari. Ketiadaannya akan dirasai oleh isteri-isterinya kerana Baginda mempunyai isteri yang ramai.
  • Rasulullah SAW mengkhususkan hari bagi setiap isterinya dengan menginap bersama mereka. Dalam riwayat Muslim, disebutkan bahawa kunjungan Baginda kepada isteri-isterinya biasanya dilakukan selepas solat Asar. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/458)

Justeru kami katakan, salah satu amalan Rasulullah SAW selepas solat Asar adalah Baginda mengunjungi semua isterinya bagi melayani dan beramah mesra dengannya. Sikap adil Baginda terhadap para isteri menjadi contoh yang baik, terutamanya kepada lelaki yang berpoligami. Baginda sentiasa adil dalam pembahagian waktu di antara mereka, meskipun tiada kewajipan baginya untuk berbuat demikian.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini serta mengurniakan kepada kita keharmonian dalam rumah tangga. Kami akhir dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami isteri-isteri dan juga anak pinak yang menjadi penyejuk mata bagi kami, serta jadikanlah kami ini sebagai pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”

Wallahua`lam.

Leave a Reply