#4210: Meninggalkan Solat Jumaat kerana Jadual Giliran Pegawai Keselamatan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mendapat tawaran kerja dalam bidang security & surveillance yang perlu ada pengawasan 24/7 di dalam bilik kawalan keselamatan. Pihak department saya menggunakan kaedah penggiliran (mingguan) untuk solat jumaat bagi lelaki. Adakah keadaan sebegini dibenarkan dalam syarak berikutan situasi kerja di dalam bidang pemantauan dan keselamatan? Semoga Dato dapat memberikan pencerahan untuk soalan saya. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah SWT mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut, yang bermaksud,“Dan setiap keuzuran yang sama tahap kesusahannya dengan kesusahan akibat sakit, dianggap juga sebagai uzur yang dikiaskan dengan sakit yang dinaskan ke atasnya. Justeru, tidak wajib Jumaat ke atas orang yang berasa takut ke atas dirinya atau hartanya.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’I, 1/497)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-14 yang bersidang pada 22-23 Oktober 1985 telah membincangkan isu Sembahyang Jumaat Polis dan Tentera yang Bertugas dan telah memutuskan bahawa adalah harus bagi Polis dan Tentera meninggalkan sembahyang Jumaat kerana menjalankan tugas-tugas keselamatan yang dikira uzur syar’ie kerana mereka terpaksa bertugas dengan syarat tidak meninggalkan sembahyang Jumaat 3 kali berturut-turut. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, hlm. 36)

Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ ketika ditanya berkenaan hal ini, mereka menjawab: “Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu…. akan tetapi jika wujud uzur syarak ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya… Keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Tetapi ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zuhur, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardu yang lain.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 18/188)

Berkenaan isu ini juga telah kami jawab dalam artikel sebelum ini:

#1565: Terpaksa Tinggal Solat Jumaat Kerana Menjaga Pos Pengawal[1]

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa solat jumaat adalah wajib kepada semua orang lelaki yang cukup syarat seperti yang ditetapkan oleh syara’ termasuklah mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Meskipun tempat kerja anda membuat jadual penggiliran untuk solat Jumaat, namun pada pandangan kami alternatif yang lebih baik adalah dengan menyusun shif ketika waktu jumaat, supaya digantikan giliran dengan pengawal keselamatan yang tidak diwajibkan solat Jumaat seperti orang perempuan atau orang yang bukan Islam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1] https://maktabahalbakri.com/1566-terpaksa-tinggal-solat-jumaat-kerana-menjaga-pos-pengawal/

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *