#4209: Tebu Tidak Dikenakan Zakat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah tebu dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan tebu. Ringkasnya, tebu (Saccharum officinarum Linn) atau dalam bahasa Inggeris dipanggil sebagai sugar cane ialah tumbuhan yang ditanam sebagai bahan mentah untuk gula dan vetsin.[1] Tumbuhan ini hanya boleh tumbuh di kawasan beriklim tropika. Tumbuhan ini adalah sejenis rumput. Umur tanaman sejak ditanam sehingga boleh dituai adalah lebih kurang 1 tahun.

Di Indonesia, tebu banyak ditanam di pulau Jawa dan Sumatera. Ciri-ciri tumbuhan tebu termasuklah terdapatnya bulu dan duri di sekeliling pelepah dan helaian daun. Kehadiran bulu dan duri ini berbeza-beza, bergantung kepada jenis-jenis tebu. Ketinggian tanaman tebu berbeza-beza, beberapa faktor yang menyebabkan kepelbagaian ketinggian tanaman tebu ialah daya tampung persekitaran dan jenis-jenisnya. Walau bagaimanapun, secara amnya tumbuhan tebu mempunyai ketinggian antara 2.5 hingga 4 meter, dengan diameter batang 2 – 4 cm.

Tanaman tebu boleh tumbuh dan berkembang dengan baik di kawasan beriklim subtropika. Tanaman tebu merupakan tumbuhan yang pertumbuhannya sangat bergantung kepada keadaan iklim, bermakna jika iklim di mana tumbuhan ini berada kurang baik kualiti tanaman tersebut akan terjejas dan berkemungkinan menurun. Secara amnya, keperluan untuk keadaan persekitaran yang boleh menyokong pertumbuhan tebu secara maksimum ialah ketinggian sekitar 0 – 900 meter dari aras laut, purata hujan 2000mm/tahun, julat suhu udara 21 – 32o C, dan pH tanah 5 – 6.

Untuk membuat gula, batang tebu yang dituai ditekan menggunakan mesin penekan di sebuah kilang gula. Selepas itu, nira atau air tebu ditapis, dimasak dan dilunturkan sehingga menjadi gula pasir yang kita kenali. Daripada proses pembuatan tebu, 5% gula akan dihasilkan, 90% ampas tebu dan selebihnya adalah molase dan air.

Di sesetengah kawasan, air tebu sering digunakan sebagai minuman segar untuk menghilangkan keletihan.Jus tebu cukup baik untuk kesihatan badan kerana ia boleh meningkatkan glukosa.[2]

Keduanya, dinyatakan dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa tanaman dan buah-buahan yang wajib zakat adalah menjadi makanan asasi manusia dalam keadaan biasa boleh disimpan lama dan tidak rosak. Antara buah-buahan yang wajib zakat ialah kurma dan anggur, manakala tanaman pula adalah seperti gandum, barli, padi, kacang dal, kacang putih, jagung dan sebagainya. Sebarang makanan pada masa kesusahan dan musim kemarau tidak dianggap sebagai makanan asasi.

Firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي أَنشَأَ جَنَّاتٍ مَّعْرُوشَاتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ ۚ كُلُوا مِن ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ

Maksudnya: “Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaitun dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”

(Surah al-An‘am: 141)

Begitu juga riwayat daripada Abu Musa al- Asy‘ari dan Mu‘az R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda kepada kedua-duanya:

لاَ تَأْخُذُوا فِي الصَّدَقَةِ، إِلَّا مِنْ هَذِهِ الأَصْنافِ الأرْبَعَةِ: الشَّعِيرِ وَالحِنْطَةِ وَالزَّبِيبِ وَالتَّمْرِ

Maksudnya: “Janganlah kamu mengambil zakat kecuali pada empat tanaman ini: barli, gandum, kismis dan kurma.

Riwayat al-Hakim (1459) dan al-Daraqutni (2/98)[3]

Sehubungan itu, gandum dan barli diqiyaskan kepada semua makanan asasi kerana ia menjadi keperluan hidup. Oleh itu, ia wajib dikeluarkan zakat kepada orang yang memerlukan dan berhajat kepadanya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/24-25).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya tebu tidak diwajibkan zakat padanya kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat bagi menyatakan ia boleh digolongkan dalam jenis hasil tanaman yang dikenakan zakat. Ini kerana ia bukanlah makanan ruji (asasi) serta sesuatu yang tidak boleh disimpan lama mahupun disukat. Sebaliknya ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan). Oleh itu, ia adalah makanan untuk orang kaya dan bukannya makanan orang miskin. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ

Maksudnya: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya.

(Surah al-Nahl: 71)

Oleh sebab itu, menurut jumhur ulama, zakat tidak diwajibkan pada benda-benda tersebut.

Bahkan di sana terdapat hadith yang secara jelas mengecualikan tebu daripada dikenakan zakat. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Mu‘az R.A, katanya:

فَأَمَّا القِثَّاءُ، وَالبِطِّيخُ، وَالرُّمَّانُ، وَالقَصَبُ، فَقَدْ عَفَا عَنْهُ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: “Adapun timun, tembikai, buah delima dan tebu, maka Rasulullah SAW telah memaafkannya (mengecualikannya daripada zakat).

Riwayat al-Daraqutni (2/97)[4]

Sekalipun hadith ini dinilai sebagai lemah (dha‘if) tetapi ia selari dengan hukum asal iaitu tidak dihukumkan sebagai wajib pada benda yang didiamkan mengenainya dan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan oleh syarak. Nabi SAW bersabda:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ مِنْ غَيْرِ نِسْيَانٍ، فَلَا تَسْأَلُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Sesuatu yang didiamkan mengenainya (hukumnya) adalah rahmat buat kamu dan bukannya kerana lupa, maka janganlah kamu bertanya mengenainya (hukumnya itu).

Riwayat al-Tabarani dalam al-Ausat (8938) dan al-Daraqutni (4/298); Imam al-Nawawi dan al-Sam‘ani menilai sanadnya sebagai hasan. Al-Hakim menyebutkan, sanadnya adalah sahih dan padanya terdapat syawahid pada lafaz dan maknanya.

Faktor yang mewajibkan zakat bagi apa atau hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disukat dengan sukatan syar‘i. Adapun buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan seumpamanya, maka ia adalah benda yang dibilang (bukannya disukat). Oleh itu, ia tidak termasuk dalam apa yang diwajibkan zakat.

Al-Khattabi menyebutkan, hadith ini juga menunjukkan bahawa zakat tidak diwajibkan pada sayur-sayuran, buah-buahan, dan seumpamanya. Ini merupakan pendapat yang dipakai oleh seluruh ulama. Oleh itu, Nabi Muhammad SAW dan para khalifah Baginda meninggalkannya  (daripada dikenakan zakat), sedangkan mereka juga ada menanamnya di sekeliling mereka dan ini menunjukkan bahawa zakat tidak wajib atas tanaman seperti itu, dan meninggalkannya adalah sunnah yang diikuti.

Bahkan Imam Malik dan al-Syafi‘i berpendapat, zakat tidak diwajibkan pada hasil tanaman melainkan pada kurma dan kismis, serta tidak diwajibkan pada biji-bijian kecuali ia menjadi makanan ruji (asasi). Manakala Imam Ahmad pula berpendapat, zakat diwajibkan pada hasil tanaman yang boleh disimpan lama dan disukat, dan begitu juga diwajibkan pada semua jenis biji-bijian meskipun ia bukan sebagai makanan ruji (asasi).

Tambahan lagi, Syeikh al-Islam cenderung kepada pendapat bahawa faktor yang mewajibkan zakat hasil yang keluar dari tanah ialah ia boleh disimpan lama dan tidak yang lain kerana terdapat makna yang sesuai bagi mewajibkan zakat padanya, berbeza halnya dengan sukatan kerana ia hanyalah perkiraan semata-mata, sedangkan timbangan (الوزن) pada maknanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/343-345).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tebu termasuk dalam jenis hasil tanaman yang tidak diwajibkan zakat. Ini kerana ia bukanlah termasuk dalam jenis hasil daripada tanah yang dianggap sebagai makanan ruji (asasi), boleh disimpan lama mahupun disukat. Jenis seperti ini tidak dikenakan zakat padanya sebagaimana yang kami telah jelaskan di atas.

Selain itu, faedah dan manfaatnya bersifat segera, diperlukan buat sementara waktu, dan bukan makanan ruji (asasi) yang diperlukan, sebaliknya ia hanyalah untuk keseronokan dan kesedapan (yang bersifat tambahan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

 

Nota kaki:

[1] Vetsin atau juga dikenali sebagai MSG (monosodium glutamat) merupakan bahan tambahan kepada makanan yang berguna sebagai penyedap rasa. Bentuknya seperti serbuk kristal putih menyerupai garam atau gula.

(Lihat https://www.alodokter.com/hati-hati-efek-gurih-vetsin-bukan-tanpa-risiko-kesehatan. Diakses pada 16 November 2023).

[2] Lihat https://id.wikipedia.org/wiki/Tebu. Diakses pada 16 November 2023.

[3] Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith ini sebagai hasan. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Hakim dan beliau berkata: “Sanadnya adalah sahih.” Hal itu dipersetujui oleh al-Zahabi dan diakui oleh al-Zaila‘i. Syeikh al-Albani menyebutkan, Abu ‘Ubaid juga ada meriwayatkannya dalam al-Amwal melalui jalur daripada riwayat Umar bin Uthman, katanya: Aku mendengar Musa bin Talhah berkata: “Rasulullah SAW memerintahkan Mu‘az bin Jabal ketika mengutusnya ke Yaman untuk mengambil zakat daripada gandum, barli, kurma dan anggur.” Sanad hadith ini adalah sahih mursal. Ia jelas adalah marfu‘ dan tidak ada masalah untuk memursalkannya kerana telah sah bahawasanya ia terhenti pada Mu‘az. Selain itu, dinyatakan dalam al-Talkhis bahawa ia diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Baihaqi daripada hadith Abu Musa dan Mu‘az. Al-Baihaqi (7242) menyebutkan, perawi-perawinya adalah thiqah dan ia adalah muttasil (bersambung). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/341).

[4] Al-Hafiz Ibn Hajar menilai sanadnya sebagai dha‘if. (Lihat Bulugh al-Maram, hlm. 177).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *