Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Tular di media sosial tentang seorang lelaki warga Palestin yang syahid dalam fasa peperangan yang sedang berlaku dengan Yahudi, dan jenazahnya dikatakan berbau harum seperti kasturi. Benarkah perkara ini boleh berlaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.”

(Surah Ali Imran: 169-171)

Imam Ibn Kathir berkata, para syuhada’ yang gugur di jalan Allah SWT, mereka ini hidup di sisi-Nya. Dan mereka gembira dengan kenikmatan dan keuntungan yang mereka kecapi, serta menyampaikan khabar gembira kepada saudara-saudara mereka yang gugur di jalan Allah SWT selepas mereka, bahawa mereka ini telah mendahului saudara mereka, tidak takut dengan apa yang dihadapan mereka (musuh), dan tidak bersedih mengenangkan apa yang mereka tinggalkan di belakang mereka (dunia). (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/144)

Imam al-Baghawi pula ketika menafsirkan ayat 172 dari Surah Ali Imran ini dalam tafsir beliau (2/135), beliau membawakan sebuah hadith riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

تَكَفَّلَ اللَّهُ لِمَنْ جَاهَدَ فِي سَبِيلِهِ، لاَ يُخْرِجُهُ مِنْ بَيْتِهِ إِلَّا الجِهَادُ فِي سَبِيلِهِ وَتَصْدِيقُ كَلِمَتِهِ، أَنْ يُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، أَوْ يَرُدَّهُ إِلَى مَسْكَنِهِ بِمَا نَالَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِيمَةٍ

Maksudnya: “Allah memberi jaminan terhadap orang yang berjihad di jalan-Nya, yang mana tidak ada yang mengeluarkannya daripada rumahnya kecuali jihad di jalan-Nya dan membenarkan kalimat-Nya, bahawa Allah akan memasukkannya ke dalam syurga atau mengembalikannya ke tempatnya dengan memperolehi ganjaran (pahala) atau harta rampasan perang.”

Riwayat al-Bukhari (7463) dan Muslim (1876)

Dan tidak ada selain daripada Allah SWT yang lebih menyempurnakan janji-Nya. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ ۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ ۖ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ وَالْقُرْآنِ ۚ وَمَنْ أَوْفَىٰ بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ ۚ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُم بِهِ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

(Surah al-Taubah: 111)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan oleh saudara, pertamanya kami katakan bahawa tidak ada yang mustahil di sisi Allah SWT, Dialah yang Maha Kuasa menjadikan segala sesuatu, dan Dia juga mampu untuk memuliakan para syuhada’ yang berjuang di atas agama-Nya dengan pelbagai karamah. Firman Allah SWT:

ذَٰلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ فَاعْبُدُوهُ ۚ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Maksudnya: “Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadahlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.”

(Surah al-An‘am: 102)

Antara karamah orang yang gugur syahid adalah darah yang mengalir keluar dari luka-luka badannya berbau seperti kasturi. Beginilah yang thabit dalam hadith daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ كَلْمٍ يُكْلَمُهُ المُسْلِمُ فِي سَبِيلِ اللهِ، يَكُونُ يَوْمَ القِيَامَةِ كَهَيْئَتِهَا، إِذْ طُعِنَتْ، تَفَجَّرُ دَمًا، اللَّوْنُ لَوْنُ الدَّمِ، وَالعَرْفُ عَرْفُ المِسْكِ

Maksudnya: “Setiap luka yang diderita oleh seseorang muslim di jalan Allah akan kelihatan pada Hari Kiamat nanti sepertimana ketika dia ditikam. Darahnya memancar keluar, warnanya warna darah tetapi baunya ialah bau kasturi.”

Riwayat al-Bukhari (237) dan Muslim (1876)

Syeikh Abu al-‘Abbas al-Qastalani berkata, (العَرْفُ عَرْفُ المِسْكِ) bermaksud haruman atau bau yang semerbak bauannya dihidu orang sekeliling sebagai menzahirkan kelebihan orang yang syahid itu, oleh kerana itulah darahnya yang tumpah pada peperarngan itu tidak dicuci dan tidak dimandikan jenazahnya. (Lihat  Irsyad al-Sari, 1/303)

Kesimpulan

Kami katakan bahawa sememangnya terdapat dalil yang membenarkan perkara ini, iaitu orang yang syahid di jalan Allah SWT itu dimuliakan dengan darahnya berbau seperti haruman kasturi. Tetapi, ini tidaklah bermaksud sifat kenajisan darah itu terangkat darinya sehingga membolehkan orang sekeliling untuk mengumpulkan darah syahid itu dan dijadikan wangian.

Semoga saudara-saudara kita di Palestin yang gugur kerana mempertahankan negara mereka serta agama Allah SWT dikurniakan husn al-khatimah dengan ganjaran para syuhada’, serta dimuliakan kedudukan dan ditinggikan darjat mereka di sisi Allah SWT. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply