#4223: Zakat Sewaan Bangunan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sewaan bangunan dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu, kami katakan bahawa Islam adalah agama yang melindungi dan bersifat tolong-menolong. Ia merupakan satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh. Cara hidup yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah untuk memuliakan manusia dan menghormati mereka agar hidup bahagia di muka bumi ini.

Agama Islam dapat memenuhi keperluan tersebut melalui sistem bersepadu yang bermula dengan pembentukan aqidah yang betul, membetulkan pandangan terhadap alam semesta dan kehidupan, pembentukan akhlak yang mulia, dan menyediakan garis panduan yang bersistem dan berkesan. Dengan ini, jelaslah bahawa adunan kesemua unsur tersebut menjadikan manusia berada di bawah kekuasaan Islam dengan penuh ketaatan dan keredhaan.

Pensyariatan zakat adalah satu daripada ciri-ciri tersebut yang disyariatkan oleh Allah SWT untuk membentuk peribadi manusia, sesuai dengan prasyarat kebahagiaan sesebuah masyarakat yang harmoni, mahupun sebagai individu yang menyanjungi kebahagiaannya dalam kehidupan ini. Jika diamati dengan teliti, fungsi zakat ialah mengawasi pendapatan seseorang supaya penyuburannya tidak melanggar batas keadilan di kalangan mereka supaya mematuhi asas-asas keperluan yang sebenar bagi semua pihak.

Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

(Surah al-Taubah: 103)

Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa jika rumah atau bangunan itu disewakan, maka zakat hanya dikenakan kepada pendapatan sewaannya sahaja setelah berlalunya tempoh setahun dari tarikh diambil, dan kadar zakat yang dikenakan adalah sebanyak satu perempat puluh (1/40 — atau bersamaan juga dengan 2.5%).

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Majlis al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami li Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam persidangannya yang kesebelas di Makkah al-Mukarramah dalam tempoh dari hari Ahad, 13 Rejab 1409 H bersamaan 19 Februari 1989 M hingga hari Ahad, 20 Rejab 1409 bersamaan 26 Februari 1989 telah mempertimbangkan isu zakat sewaan bangunan. Selepas perbincangan dan pertimbangan yang diambil, majlis telah memutuskan berdasarkan kepada pendapat majoriti seperti berikut:

Pertama: Bangunan yang disediakan sebagai tempat tinggal adalah termasuk dalam jenis harta aset (property). Oleh itu, zakat tidak diwajibkan padanya sama sekali (secara mutlak), tidak pada harta itu sendiri dan tidak juga pada kadar nilai sewanya.

Kedua: Bagunan yang disediakan untuk perniagaan. Maka wajib zakat padanya dan nilainya ditentukan ketika harta itu berlalunya setahun.

Ketiga: Bagungan yang disediakan untuk disewa, zakat diwajibkan hanya pada pendapatan sewanya sahaja tanpa mengambil kira nilai harta tersebut.

Keempat: Kadar zakat bagi bangunan sekiranya ia disediakan bagi tujuan perniagaan dan kadar zakat pendapatan tahunan sekiranya ia disediakan bagi sewaan ialah satu perempat puluh (1/40 — atau bersamaan juga dengan 2.5%) berdasarkan kepada kadar zakat naqdain (emas dan perak).

Begitu juga Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Persidangan Islam dalam persidangannya yang kedua, dari 10 hingga 16 Rabiul Akhir 1406 H bersamaan 22 hingga 28 Disember 1985 M.

Selepas majlis mendengar perbahasan dan kajian yang disediakan berkenaan tajuk: “Zakat Hartanah (Bangunan) dan Tanah yang Disewakan Bukan Untuk Pertanian.” Setelah perbincangan mengenai perkara ini secara mendalam dan menyeluruh, jelaslah bahawa:

Pertama: Tidak terdapat nas yang jelas yang mewajibkan zakat bagi hartanah (bangunan) dan tanah yang disewakan.

Kedua: Tidak ada nas yang mewajibkan zakat segera bagi hasil pendapatan tahunan sewaan hartanah (bangunan) dan tanah yang bukan untuk pertanian.

Oleh yang demikian, diputuskan:

Pertama: Zakat tidak diwajibkan atas hartanah (bangunan) dan tanah yang disewakan itu.

Kedua: Zakat diwajibkan pada pendapatan tahunan (sewaan tersebut) iaitu sebanyak satu perempat puluh (1/40 — atau bersamaan juga dengan 2.5%) setelah berlalunya tempoh setahun dari hari yang diambil, dengan memenuhi semua syarat zakat dan tidak ada halangan.

Hal ini juga adalah sebagaimana disebutkan dan dinukilkan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya, Taudhih al-Ahkam (3/289-290).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *