Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Allah selamatkan jasad Firaun dari hancur di laut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
الْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً ۚ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ
Maksudnya: “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.
(Surah Yunus: 92)
Salah satu mukjizat al-Quran adalah pemberitahuan mengenai perkara ghaib, iaitu sesuatu yang tidak dapat dilihat atau tersembunyi. Manusia tidak mampu membuka tabir perkara ghaib kerana pengetahuan manusia terbatas kepada apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Sedangkan di sebalik alam yang terlihat ini, terdapat alam ghaib yang lebih luas berbanding yang nyata. Justeru, melalui pemberitahuan perkara ghaib dalam al- Quran merupakan bukti bahawa ia adalah kalam Allah SWT dan bukan hasil tulisan Nabi Muhammad SAW sebagaimana dakwaan para orientalis.
I’jaz al-Ghaibi bermaksud pemberitahuan mengenai perkara dan berita ghaib yang disingkap dalam al-Quran sama ada yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW berkaitan kisah umat terdahulu, atau semasa penurunan al-Quran seperti pendedahan konspirasi golongan munafik, pembukaan Kota Makkah dan juga berita masa akan datang seperti hari kiamat, kedatangan Dajjal, Yakjuj Makjuj, Dukhan dan sebagainya.
Berita tentang tenggelamnya Firaun dan jasadnya diselamatkan oleh Allah SWT dan kekal ada sehingga ke hari ini merupakan beberapa contoh i’jaz al-ghaibi yang diabadikan di dalam al-Quran. Tidak ada siapa pun tahu tentang kematian Firaun di dasar laut dan jasadnya diselamatkan melainkan Allah SWT. Malah, perkara ini juga tidak dinyatakan di dalam Bible dan Taurat.195
Isu Analisis Mumia Firaun oleh Profesor Dr Maurice Bucaille
Profesor Dr. Maurice Bucaille (lahir pada 19 Julai 1920 di Pont-L’Eveque, Perancis 17 Februari 1998). Beliau merupakan anak kepada Maurice dan Marie (James) Bucaille, adalah seorang doktor/pakar perubatan Perancis, ahli ‘Persatuan Ilmuan Mesir Purba Perancis’. Bucaille mengamalkan perubatan dari tahun 1945-1982 dan juga merupakan seorang pakar dalam bidang gastroenterologi. Maurice Bucaille telah menghasilkan beberapa buah buku terkenal terutama Teori Islam Concordists yang menggalakkan keserasian al-Quran dengan Sains Moden. Beliau berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah konsisten dengan teori sains moden, manakala al-Kitab (Taurat dan Injil) penuh dengan kesilapan dan tidak konsisten. Pendapat beliau telah dikritik hebat oleh para sarjana Barat.
Pada tahun 1974, bagi mengetahui sebab-sebab kematian Merenptah, Ramesses II dan lain-lain mumia Mesir, penyelidikan dilakukan oleh rakan-rakan di Mesir dan mendapat kerjasama daripada pakar Perancis daripada pelbagai disiplin perubatan, yang diketuai oleh Bucaille. Keputusan tentang mumia itu telah mendapat pengiktirafan daripada Akademi Perubatan dan Persatuan Perubatan Forensik Perancis. Kemudian beliau telah menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (tajuk asalnya Les Momies des Pharaons et la Médecine) tentang mumia Firaun dan ubat-ubatan purba. Beliau menerima pingat Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Académie Française dan anugerah Prix Général daripada Académie Nationale de Médecine, Perancis pada tahun 1988.
Dr. Bucaille menjumpai sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun mati akibat tenggelam di dalam laut. laitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu tidak buruk. Mulanya beliau tidak setuju dengan fakta daripada al-Quran bahawa Firaun zaman Nabi Musa itu akan selamat daripada tenggelam di dasar laut. Mumia itu ditemui pada 1898 dan tidak mungkin Nabi Muhammad SAW mengetahui sejarahnya, sedangkan Nabi Muhammad SAW lahir 600 tahun selepas Nabi Isa A.S.
“Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri ke atas daratan kering di tengah-tengah laut itu.” (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)
Injil Matius dan Lukas hanya menceritakan tentang Firaun lemas semasa mengejar Nabi Musa A.S tetapi tidak diceritakan nasib mayat Firaun itu. Sebaliknya al-Quran menceritakan kesudahan jasad Firaun, 196 sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Yunus, ayat ke-92 ini.
Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”