#4240: Waktu Afdhal Zakat Fitrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bilakah waktu yang diafdhalkan untuk membayar zakat fitrah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. (Lihat Hasyiah al-Syalabi Syarh al-Zaila‘i, 1/306; Nail al-Ma’arib, 1/255).

Zakat fitrah adalah salah satu jenis zakat yang diwajibkan orang Islam membayarnya setiap tahun. Ia mula difardhukan pada tahun kedua hijrah ketika difardhukan puasa Ramadhan. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamar, atau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdeka, lelaki dan perempuan, yang muda dan yang tua, daripada kalangan Muslimin, dan Baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).”

Riwayat al-Bukhari (1503)

Imam al-Nawawi menyatakan, di sisi ulama mazhab Imam al-Syafi‘i, pendapat yang paling sahih tentang penentuan kadar dan jenis zakat fitrah adalah mengikut jenis makanan ruji bagi majoriti penduduk (غالب قوت البلد). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/132).

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyatakan, zakat Fitrah telah ditetapkan kadarnya, wajib dikeluarkan ketika matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat yang ditetapkan, bagi setiap mukallaf dan orang yang di bawah tanggungan nafkahnya. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/95).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, zakat fitrah sebaik-baiknya atau afdhalnya dibayar pada pagi hari raya sebelum solat hari raya. Ini adalah pendapat fuqaha yang empat. Jika seseorang membayarnya selepas solat hari raya pada hari tersebut, jumhur ulama berpendapat makruh, dan di antara mereka ialah ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah, serta diharamkan untuk membayar selepasnya (selepas hari itu).

Manakala Ibn Hazm berpendapat, haram menangguhkan pembayaran zakat fitrah sehingga solat hari raya (selepas solat selesai ditunaikan) dan tidak sah membayarnya (selepas solat). Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

مَنْ أدّاها بَعدَ الصَّلاةِ فهِيَ صدقةٌ مِنَ الصَّدَقاتِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikannya (zakat fitrah) selepas solat (hari raya), maka ia adalah sedekah daripada sedekah-sedekah.”

Riwayat Abu Daud (1609) dan Ibn Majah (1827)

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, inilah pendapat yang sahih menurut ulama. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/382).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa waktu yang paling baik atau afdhal untuk membayar zakat fitrah ialah pada pagi hari raya sebelum solat hari raya didirikan. Inilah juga pendapat sebagaimana fuqaha yang empat. Namun sesiapa yang terlepas untuk membayarnya sebelum solat hari raya, lalu membayarnya selepas solat hari raya (pada hari yang sama), jumhur ulama berpendapat ia adalah sah, tetapi dihukumkan sebagai makruh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *