Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami betapa bahayanya Islam Liberal?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam sejarah tamadun manusia, para rasul AS yang diutus oleh Allah SWT pasti akan menghadapi golongan yang menolak dakwah dan ajaran yang dibawa oleh mereka. Penolakan ini disebabkan oleh beberapa sebab. Antara sebab utama adalah taklid membuta tuli kepada warisan peninggalan nenek moyang tanpa menggunakan akal fikiran. Firman Allah SWT:
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلْ نَتَّبِعُ مَآ أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ ۗ أَوَلَوْ كَانَ ءَابَآؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْـًۭٔا وَلَا يَهْتَدُونَ
Maksudnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya.” Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?”
(Surah al-Baqarah: 170)
Dari aspek yang lain, ada pula golongan yang menolak dakwah dan ajaran yang dibawa oleh para rasul A.S. tersebut disebabkan mereka mendewa-dewakan akal fikiran dan hawa nafsu. Firman Allah SWT:
فَإِن لَّمْ يَسْتَجِيبُوا۟ لَكَ فَٱعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَآءَهُمْ ۚ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ ٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ بِغَيْرِ هُدًۭى مِّنَ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Maksudnya: “Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya).”
(Surah al-Qasas: 50)
Secara umumnya, ajaran liberalisme yang didukung oleh manusia dulu dan kini, sama ada dalam lingkungan barat mahupun timur, Kristian mahupun Islam, adalah ajaran yang menjadikan akal sebagai rujukan yang paling tinggi hingga ada dalam kalangan mereka yang mempertuhankan akal dan hawa nafsu. Hal ini jelas dapat dilihat daripada prinsip-prinsip ajaran ini iaitu: 1. Sekularisme; 2. Pluralisme agama; 3. Kebebasan berijtihad sebagai alasan untuk menolak autoriti agama; 4. Demokrasi liberal di mana hak individu diutamakan berbanding keharmonian masyarakat; 5. Nilai-nilai liberal sebagai nilai universal. [1]
Justeru, tidak hairanlah golongan liberalis di barat pada zaman Pencerahan (Enlightenment), iaitu abad ke-18 Eropah, menjadi antitesis kepada agama dan menjadi simbol perlawanan antara manusia Barat terhadap institusi agama, iaitu gereja. Sebagai contoh, David Hume mengatakan bahawa hakikat Tuhan adalah misteri dan tidak dapat difahami oleh akal. Voltaire pula berpendapat kebebasan moral patut dijelmakan pada kebebasan seksual. Baginya hedonisme adalah perkara yang baik kerana ia juga menyumbang kepada kemajuan masyarakat melalui pulangan ekonomi. Alangkah teruknya mereka yang mendewakan akal dan hawa nafsu.
Dalam lingkungan umat Islam pula, sikap mengutamakan akal lebih dari segalanya menyebabkan golongan liberalis ini menolak beberapa ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW walaupun mereka mengaku diri mereka sebagai muslim. Mereka bukan sahaja menerima dan membenarkan idea-idea liberal tetapi juga menjustifikasikannya dengan mentafsirkan semula Islam agar bersesuaian dengan faham liberalisme yang dianuti oleh mereka.
Di rantau Nusantara pemikiran liberal dalam kalangan umat Islam bermula di Indonesia melalui pertubuhan Jaringan Islam Liberal (JIL) dengan sokongan beberapa tokoh pelopor. Di Malaysia pula, cetusan fahaman liberal ini sering dikaitkan dengan kemunculan gerakan anti hadis dan beberapa NGO yang memperjuangkan isu-isu yang diketengahkan oleh kelompok pemikiran liberal. Pemikiran songsang yang menolak ajaran Islam ini dipromosikan dengan mentafsirkan semula Islam mengikut kaedah yang baharu, yang dikenali sebagai historisisme dan hermeneutika, yang mempertikaikan keutuhan al-Quran itu sendiri sebagai wahyu Allah dan merombak Syari’ah yang dianggap sebagai produk para ulama ratusan tahun setelah kewafatan Rasulullah SAW.[2]
Antara bentuk-bentuk penolakan mereka terhadap ajaran Islam adalah perbuatan menyamaratakan agama. Mereka berpendapat apabila setiap penganut agama mendakwa hanya tuhannya dan ajarannya sahaja yang betul, itu hanyalah dakwaan yang relatif dalam konteks dia dan agamanya sahaja. Jika dilihat daripada konteks keseluruhan agama, maka semua agama yang memiliki konsep ketuhanan yang mengajar kepada kebaikan adalah semuanya benar. Hal ini bertentangan dengan firman Allah SWT:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًۭا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Surah Ali ‘Imran: 85)
Golongan liberal juga menolak ajaran Islam dengan dakwaan persamaan gender. Dalam isu Rang Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan (Pindaan 2005), beberapa kumpulan NGO wanita yang liberal telah menentang kuat Rang Undang-undang tersebut atas dakwaan kononnya ia akan menzalimi perempuan. Sebelum itu mereka juga menentang kuat Rang Undang-undang Jenayah Syariah Terengganu (Hudud) dengan membangkitkan polemik kononnya undang- undang itu akan menzalimi wanita yang dirogol. Mereka juga terkenal sebagai kumpulan yang menentang amalan poligami secara keseluruhannya dan pernah melancarkan kempen monogami secara terbuka. Golongan ini juga menolak ajaran Islam lain yang berkaitan dengan wanita seperti hukum aurat dan sebagainya
Bahkan lebih teruk lagi, sebahagian golongan liberal turut mempertahankan LGBT atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka berpendapat tidak ada alasan untuk menolak homoseksual dengan alasan Allah telah menjadikan semua manusia, baik lelaki mahupun wanita adalah sedarjat, tanpa mengira orientasi seksual. Dari aspek yang lain mereka menganjurkan usaha-usaha untuk membela dan mempertahankan hak-hak sivil golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan individu yang mengamalkan interseksual. Hal ini jelas bertentangan dengan agama, bahkan fitrah manusia yang waras.
Sebenarnya, perbuatan mereka mencabar ajaran Islam dan menolaknya, bahkan mengajak orang lain untuk bersama mereka, adalah perkara yang harus dibimbangi oleh umat Islam. Hal ini kerana perbuatan sedemikian rupa boleh mengundang murka Allah SWT. Justeru, umat Islam perlu mempertahankan masyarakat daripada terjebak dengan pemikiran songsang ini. Dalam masa yang sama, mereka juga perlu berdakwah kepada golongan liberal ini dan mengajak mereka untuk kembali ke pangkal jalan kerana mereka masih mengaku muslim. Jika tidak, dibimbangi hukuman Allah SWT akan terkena kepada masyarakat tanpa mengira pihak, akibat kerja dakwah dan penolakan mungkar tidak terlaksana dalam masyarakat tersebut.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa fahaman liberal ini sangat berbahaya dan memberi ancaman kepada Islam. Bahkan Allah SWT telah menerangkan beberapa ancaman terhadap golongan yang menentang dakwah Islam seumpama golongan liberal ini. Antaranya mereka akan diazab secara maknawi dengan dimalukan di hari akhirat kelak di hadapan khalayak manusia, jin dan malaikat sebelum diazab secara fizikal dengan dicampak ke dalam api neraka. Ancaman ini pasti berlaku dan para pendakwah perlu menjelaskan perkara ini dengan berhikmah kepada golongan yang didakwah.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahua`lam.
Nota kaki:
[1] Lihat “Islam dan Liberalisme: Antara Maslahah dan Mafsadah,” Afkar Vol. 20 Issue 2 (2018): 1-52 (hlm.39)
[2] Lihat Ancaman Pemikiran Aliran Islam Liberal Kepada Umat Islam di Nusantara: Satu Sorotan Kajian, Sains Humanika 5:3, 77–85, (hlm.78)