#4261: Keunikan Cap Cari Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah al-Quran mengungkapkan keunikan cap jari manusia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dunia hari ini mengakui bahawa sekalipun manusia telah wujud sekian lama dan jumlahnya berbilion namun fakta mengenai cap jari manusia sangat ajaib. Setiap manusia mempunyai cap jari yang tidak akan sama dengan orang lain, walaupun kembarnya sekalipun, cap jari tidak akan sama. Allah jadikan manusia boleh dibeza-bezakan antara satu sama lain dan Allah jugalah mampu untuk mengumpulkan manusia kembali pada hari akhirat walaupun manusia itu telah meninggal dunia sejak zaman nabi Adam AS lagi. Bahkan Allah menjawab tohmahan daripada orang musyrikin yang menyangka bagaimana Allah boleh mengumpulkan kembali manusia yang mati yang telah reput bersama dengan tanah. Al-Quran bukanlah buku sains namun ia telah dinyatakan mengenainya sejak sekian lama sebagaimana Firman Allah SWT:

أَيَحْسَبُ الْإِنسَانُ أَلَّن نَّجْمَعَ عِظَامَهُ ‎﴿٣﴾‏ بَلَىٰ قَادِرِينَ عَلَىٰ أَن نُّسَوِّيَ بَنَانَهُ ‎

Maksudnya: Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).

(Surah al-Qiyamah: 3-4)

Kalimah (بنان) pada ayat 4 menurut al-Fairuz Abadi, kalimah tersebut bermaksud jari-jemari. Dikatakan juga ia merujuk kepada ‘kepala’ jari atau hujung jari. (Lihat Basa’ir Dhawi al-Tamyiz fi Lata’if al-Kitab al-‘Aziz, 2/276)

Allah SWT menyatakan bahawa tidak hanya tulang-tulang manusia dikumpulkan agar dihidupkan manusia kembali di akhirat untuk dihitung segala amalan mereka, malah di hujung jari manusia juga tidak ketinggalan akan dijadikan semula oleh Allah SWT di akhirat bagi melengkapi komponen anatomi tubuh manusia.

Ini menunjukkan bahawa jika sekecil-kecil kumpulan anatomi tangan manusia yang kompleks pasti dicantumkan kembali dan dihidupkan Allah SWT di akhirat, pastinya mana-mana sistem anatomi tubuh manusia yang lebih besar dan tidak kompleks lebih lagi akan dihimpunkan Allah SWT menjadi seorang manusia yang sempurna fizikalnya di akhirat. Di akhirat kelak, manusia tidak hanya dikenalpasti perbezaan antara mereka dengan amalan mereka semata-mata, malah mereka juga mampu dibezakan secara terperinci dari segi fizikalnya menerusi urat-urat hujung jari mereka sungguhpun mereka berhimpun dalam lautan manusia yang tidak bertepi ramainya untuk dihisab segala amalan.

Ternyata ungkapan (بنان) mempunyai keunikan dan rahsia dari perspektif ilmu biologi berkaitan anatomi tubuh manusia, iaitu merujuk kepada hujung jari mereka. Lalu, kalimah (بنان)mencuri tumpuan insan yang mentadabbur al-Quran lantaran kalimah tersebut dinyatakan secara khusus, tidak pula disebutkan kalimah yang lain di bahagian tubuh seperti wajah atau badan. Al-Quran tidak mengungkapkan “Kami berkuasa untuk menyusun semula wajah atau badannya” kerana wajah dan badan manusia boleh berubah mengikut jangka masa tertentu akibat faktor pemakanan, usia, dan pengambilan ubat-ubatan. Berdasarkan penemuan sains, urat-urat jari yang terbentuk sejak di alam janin akan tetap kekal dan tidak berubah sepanjang hidup manusia, melainkan perubahan tersebut disebabkan kemalangan dan kecederaan serius pada jari, atau penyakit kulit yang dihidapi pada tangan. [1]

Dalam pada itu, semasa ayat 4 Surah al-Qiyamah ini diturunkan, bangsa Arab Makkah dan bangsa-bangsa lain di dunia belum mengetahui keunikan cap jari manusia yang boleh dijadikan sebagai instrumen bagi mengenal pasti identiti seseorang individu. Ia hanya dapat dirungkai pada kurun ke-20 menerusi penyelidikan ilmu perubatan forensik, iaitu kira-kira selepas 1000 tahun al-Quran diturunkan.

Berdasarkan penemuan sains tersebut, setiap individu memiliki cap jari yang berbeza walaupun terdapat manusia yang kembar seiras. Penemuan sains tersebut telah memberi faedah yang besar terhadap umat manusia bagi pengesanan identiti yang melibatkan aspek keselamatan dan pencegahan jenayah. Ternyata, persoalan cap jari manusia yang menjadi penemuan sains moden ini telah diisyaratkan dalam ayat 4 Surah al-Qiyamah dalam membezakan identiti seluruh manusia. Malah, seluruh manusia yang memiliki perbezaan identiti pada ‘hujung jari’ mereka di samping mempunyai pelbagai bentuk saiz dan rupa, pasti tidak akan terlepas daripada proses perhitungan amal di akhirat kelak. [2]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat “Kemukjizatan Biologi dalam al-Quran dari Perspektif Sains: Satu Tinjauan” dalam Proceedings: The 2nd Annual International Qur’anic Conference 2012, hlm. 218.

[2] “Kemukjizatan Biologi dalam al-Quran dari Perspektif Sains: Satu Tinjauan” dalam Proceedings: The 2nd Annual International Qur’anic Conference 2012, hlm. 217.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *