#4361: Syeikh Kabir (شَيْخٌ كَبِير) yang Dimaksudkan dalam Surah al-Qasas

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca sebuah cerita berkenaan 2 orang perempuan dan bapanya yang mereka gelar sebagai syeikh kabir. Boleh ustaz terangkan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami bawakan terlebih dahulu firman Allah SWT yang menceritakan tentang ayat :

وَلَمَّا وَرَدَ مَآءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةًۭ مِّنَ ٱلنَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ ٱمْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ ۖ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا ۖ قَالَتَا لَا نَسْقِى حَتَّىٰ يُصْدِرَ ٱلرِّعَآءُ ۖ وَأَبُونَا شَيْخٌۭ كَبِيرٌۭ (٢٣) فَسَقَىٰ لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّىٰٓ إِلَى ٱلظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّى لِمَآ أَنزَلْتَ إِلَىَّ مِنْ خَيْرٍۢ فَقِيرٌۭ (٢٤) فَجَآءَتْهُ إِحْدَىٰهُمَا تَمْشِى عَلَى ٱسْتِحْيَآءٍۢ قَالَتْ إِنَّ أَبِى يَدْعُوكَ لِيَجْزِيَكَ أَجْرَ مَا سَقَيْتَ لَنَا ۚ فَلَمَّا جَآءَهُۥ وَقَصَّ عَلَيْهِ ٱلْقَصَصَ قَالَ لَا تَخَفْ ۖ نَجَوْتَ مِنَ ٱلْقَوْمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ (٢٥) قَالَتْ إِحْدَىٰهُمَا يَـٰٓأَبَتِ ٱسْتَـْٔجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ ٱسْتَـْٔجَرْتَ ٱلْقَوِىُّ ٱلْأَمِينُ (٢٦) قَالَ إِنِّىٓ أُرِيدُ أَنْ أُنكِحَكَ إِحْدَى ٱبْنَتَىَّ هَـٰتَيْنِ عَلَىٰٓ أَن تَأْجُرَنِى ثَمَـٰنِىَ حِجَجٍۢ ۖ فَإِنْ أَتْمَمْتَ عَشْرًۭا فَمِنْ عِندِكَ ۖ وَمَآ أُرِيدُ أَنْ أَشُقَّ عَلَيْكَ ۚ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ (٢٧) قَالَ ذَٰلِكَ بَيْنِى وَبَيْنَكَ ۖ أَيَّمَا ٱلْأَجَلَيْنِ قَضَيْتُ فَلَا عُدْوَٰنَ عَلَىَّ ۖ وَٱللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌۭ

Maksudnya: “Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. dia bertanya: ‘Apa hal kamu berdua?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya’. Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan’. Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: ‘Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.’ Maka ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya) berkatalah orang tua itu kepadanya: ‘Janganlah engkau bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu’. Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: ‘Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah’. Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): ‘Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya’. Musa menjawab: ‘Perjanjian itu adalah antaraku denganmu (tetap dihormati bersama); yang mana sahaja dari dua tempoh itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa yang kita katakan itu’.”

(Surah al-Qasas: 23-28)

Berdasarkan kisah dari ayat-ayat di atas, Syeikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi menukilkan kalam Imam al-Tabari yang menyebut bahawa 2 perempuan tersebut menahan kambing-kambing ternakan mereka daripada pergi mendapatkan air di telaga itu, sehinggalah penggembala lain selesai memberi minum haiwan ternakan mereka disebabkan oleh lemahnya mereka berdua. Selain itu, mereka juga tidak mahu bersesak-sesak bersama penggembala lelaki. Oleh sebab itu, mereka akan menunggu sehingga semua penggembala lelaki selesai, kemudian, barulah mereka berdua pula memberi minum kepada haiwan ternakan mereka lebihan air yang tersisa daripada kambing-kambing penggembala tadi. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 5/2506)

Diriwayatkan daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A, beliau berkata:

فَلَمَّا فَرَغُوا أَعَادُوا الصَّخْرَةَ عَلَى الْبِئْرِ وَلََا يُطِيقُ رَفْعَهَا إِلََّّا عَشَرَةُ رِجَالٍ

Maksudnya: “Apabila kaum tersebut selesai mengambil air, mereka akan meletakkan batu yang berat di atasnya. Batu tersebut sangat berat sehingga tidak boleh diangkat melainkan oleh 10 orang lelaki.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (31842)

Maka, dapat difahami daripada riwayat di atas, bahawa telaga tersebut ditutup dengan batu yang sangat berat sehingga tidak boleh diangkat melainkan oleh 10 orang lelaki. Terdapat dalam riwayat yang lain menyebut, ia tidak boleh diangkat melainkan oleh 30 orang lelaki. Oleh itu, tinggallah dua perempuan itu sendirian dengan memberi minum kambing-kambing mereka daripada sisa-sisa air yang ada. Mereka tiada saudara lelaki lain yang boleh membantu mereka melaksanakan pekerjaan berat ini. Maka, Nabi Musa A.S yang sedang melihat kejadian itu pergi bertanya kepada mereka mengenai apa yang berlaku. Kedua-duanya menceritakan kepada Nabi Musa A.S perkara yang harus mereka hadapi tiap-tiap hari. Setelah itu, Baginda membantu mereka berdua dengan pergi ke arah batu yang menutup telaga tersebut, lalu mengangkatnya seorang diri dan memberi minum kepada haiwan ternakan kedua perempuan itu. Kemudian, Baginda tidak mengambil air melainkan satu bekas sehingga kambing-kambing ternakan itu kenyang. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/112; Tafsir al-Azhar, 6/72)

Setelah itu, Baginda pergi berteduh dan duduk berehat di bawah pohon sambil bermunajat kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.” Pada waktu itu, tengahari dan cuaca sedang panas terik. Buktinya ialah Nabi Musa berehat daripada kepenatan dan berteduh di bawah bayangan sebuah pohon. Nabi Musa A.S merintih dan memohon kepada Allah SWT kebaikan dan makanan kerana Baginda sudah sangat lapar. Menurut Mujahid pula, Baginda tidak meminta kepada Tuhannya melainkan makanan. Manakala menurut Hamka, melihat air telaga yang jernih dan sejuk menjadikan perutnya semakin lapar. Setelah itu, badan Baginda mulai terasa lelah dan penat disebabkan oleh perjalanan yang jauh dan kesusahan yang dialaminya tanpa sebarang bekalan, haiwan tunggangan, mahupun alas kaki. Oleh itu, semasa sedang berehat dan berteduh itulah Baginda memohon kepada Tuhan, dalam keadaan Baginda sudah sangat melarat, sengsara dan lapar, agar Tuhan sudi memberinya anugerah kebajikan. Susunan rintihan Nabi Musa A.S tersebut, menunjukkan budi pekerti yang halus, bukan mendesak-desak mengatakan dirinya sangat lapar. ‘Ata’ bin al-Sa’ib menambah, ketika Nabi Musa A.S bermunajat dan merintih kepada Tuhannya, perempuan tersebut terdengar rintihannya itu. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/227; Tafsir al-Sa’di, hlm. 614; Tafsir al-Tabari Taqrib wa Tahzib, 6/22; Tafsir al-Azhar, 6/72; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/227)

Nabi Musa A.S tidak perlu menunggu lama sebelum permintaannya, agar dikurniakan rezeki dan pertolongan ketika berada di perantauan dikabulkan oleh Allah SWT. Salah seorang daripada perempuan yang dibantu datang kepada Nabi Musa A.S dalam keadaan malu-malu, sambil menutup wajahnya dengan pakaiannya, dalam keadaan memelihara kehormatannya, seperti halnya seorang wanita yang mulia. Lalu dia menyampaikan kepada Nabi Musa A.S bahawa ayahnya menjemputnya datang bertemu dengannya, bagi membalas jasa baik serta ihsan Baginda terhadap kedua-dua anaknya itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 20/50; al-Tafsir al-Wasit, 10/395-396)

Jelas daripada susun atur ayat ini, dapat difahami bahawa adanya peristiwa yang berlaku sebelumnya iaitu setelah berjaya memperoleh air, kedua-duanya segera menuju kepada ayah mereka dengan pantas, sedangkan kebiasaannya mereka akan mengambil masa yang lama. Lalu mereka menceritakan perihal Nabi Musa A.S yang telah membantu mereka itu. Kemudian, ayah mereka meminta yang lebih tua, dan ada pendapat menyebut yang lebih muda, untuk memanggil Nabi Musa A.S datang bertemu dengannya. Setelah itu, barulah salah seorang daripada mereka menyampaikan pesanan daripada si bapa kepada Nabi Musa A.S. Para ulama’ tafsir berbeza pandangan tentang siapakah bapa kedua-dua wanita tersebut. Majoriti ulama’, antaranya al-Hasan al-Basri, al-Qurtubi dan al-Syaukani berpandangan bahawa beliau ialah Nabi Syu‘aib A.S yang diutuskan kepada kaum Madyan, dan inilah pandangan yang masyhur dalam kalangan ulama’ tafsir. (Lihat Fath al-Qadir, 4/194)

Firman Allah SWT:

وَإِلَىٰ مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًۭا ۗ

Maksudnya: “Dan Kami telah utuskan kepada penduduk Madyan saudara mereka Nabi Syu‘aib.”

(Surah al-A‘raf: 85)

Selain itu, ada yang berpendapat beliau ialah saudara lelaki kepada Nabi Syu‘aib A.S. Dan ada juga yang berpendapat bahawa dia ialah seorang lelaki soleh yang tiada langsung pertalian dengan Nabi Syu‘aib A.S. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/112)

Namun demikian, Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa pandangan yang lebih kuat ialah lelaki tersebut bukannya Nabi Syu‘aib A.S. Ini dapat dilihat melalui sabda Nabi Syu‘aib A.S kepada kaumnya seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran:

وَمَا قَوْمُ لُوطٍۢ مِّنكُم بِبَعِيدٍۢ

Maksudnya: “Seperti keadaan yang menimpa kaum Nabi Lut yang kamu sendiri ketahui yang terletak tidak jauh daripada kamu.”

(Surah Hud: 89)

Ayat ini mengisyaratkan bahawa zaman Nabi Syu‘aib A.S adalah hampir kepada zaman Nabi Lut A.S, dan beliau juga mempersoalkan bahawa jika benar lelaki tersebut ialah Nabi Syu‘aib A.S, mengapa Allah SWT tidak menyebut namanya secara jelas? Begitu juga riwayat-riwayat yang menyebut nama Nabi Syu‘aib A.S dalam kisah-kisah Nabi Musa A.S adalah tidak sahih sanadnya dan tidak boleh dijadikan hujah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/205-206; Fath al-Qadir, 4/194)

Kesimpulan

Melihat kepada perselisihan ulama’ tafsir tentang hakikat syeikh kabir dalam ayat ini, kami mengambil langkah untuk bertawaqquf dalam isu ini dan menyerahkannya kepada mereka yang lebih berkepakaran dalam bidang tafsir al-Quran.

Meskipun begitu, apa yang zahir dari tafsiran ahli ilmu kuat mengisyaratkan bahawa bapa kepada kedua perempuan yang dimaksudkan dalam kisah ini adalah Nabi Syu‘aib A.S. Hanya Allah SWT jualah yang lebih mengetahui akan kebenaran segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *