Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kita menggunakan sabun susu keldai peliharaan, lebih-lebih lagi dalam situasi untuk merawat penyakit kulit tertentu? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ

Maksudnya: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

(Surah Luqman: 19)

Ayat ini mengandungi nasihat buat kita agar jangan menyombongkan diri ketika berjalan. ‘Ata’ menyebutkan bahawa maknanya ialah berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Kemudian, kita juga diingatkan untuk merendahkan suara dan jangan meninggikannya tanpa sebarang keperluan kerana mengangkat suara melebihi daripada keperluan yang diperlukan akan mengganggu orang yang mendengar. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 541.)

Hal ini kerana suara yang paling buruk dan paling dibenci ialah suara keldai yang cukup dikenali dengan kedunguannya dan suaranya yang kuat memekik. ( Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 412.)

Keldai jinak haram dimakan

Majoriti ulama berpendapat bahawa daging keldai jinak adalah haram untuk dimakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/6). Malah, Ibn Qudamah ada menukilkan daripada Ibn ‘Abd al-Bar bahawa tiada khilaf dalam kalangan para ulama Muslimin pada hari ini akan keharaman daging keldai jinak. Tambahan lagi, terdapat dalam kalangan sahabat yang meriwayatkan daripada Nabi SAW berkenaan pengharaman daging itu seperti Ali bin Abu Talib, Abdullah bin Umar, Abdullah bin ‘Amr, Jabir, al-Bara’, Abdullah bin Abu Aufa, Anas dan Zahir al-Aslami dengan sanad-sanad yang sahih lagi baik. (Lihat al-Mughni, 9/407.)

Larangan ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ali bin Abu Talib R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ مُتْعَةِ النِّسَاءِ يَوْمَ خَيْبَرَ، وَعَنْ أَكْلِ لُحُومِ الحُمُرِ الإِنْسِيَّةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada melakukan (nikah) mut‘ah terhadap wanita pada hari (peperangan) Khaibar serta (melarang) daripada memakan daging keldai peliharaan.”

Riwayat al-Bukhari (4216) dan Muslim (1407)

Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan bahawa sebab pengharamannya adalah sudah jelas, iaitu kerana ia memakan kotoran berdasarkan riwayat Abdullah bin Abu Aufa. (Lihat al-Mughni, 9/407).

Manakala Anas bin Malik R.A meriwayatkan pada hari khaibar bahawa Rasulullah SAW meminta penyerunya untuk menyampaikan kepada manusia:

إنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ أَوْ نَجِسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan rasul-Nya melarang kalian semua daripada memakan daging keldai kerana ia adalah kotor atau najis.”

Riwayat al-Bukhari (4198) dan Muslim (1940)]

Justeru, jelaslah bahawa antara sebab pengharaman daging keldai jinak adalah kerana kenajisannya.

Menggunakan sabun susu keldai peliharaan

Terlebih dahulu kita juga hendaklah mengetahui bahawa susu keldai peliharaan adalah dianggap sebagai najis. Hal ini kerana susu binatang yang dagingnya tidak halal dimakan seperti keldai jinak dan seumpamanya adalah najis kerana hukum susu adalah sama dengan dagingnya dan dagingnya pula dianggap najis. Oleh itu, ia haram diminum kecuali susu manusia kerana sekalipun daging manusia haram dimakan tetapi susunya adalah bersih dan suci. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, Cet. Dar al-Qalam, 1/40; 1/503 dan al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 128.)

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, para ulama telah membahaskan mengenai perkara ini dalam kitab-kitab mereka iaitu hukum menggunakan sabun yang dibuat daripada bahan-bahan najis. Menurut pendapat terpilih dalam kalangan ulama mazhab Hanafi bahawa sabun yang diperbuat daripada minyak yang bernajis atau mutanajjis adalah suci. Oleh itu, harus menggunakannya dan berjual beli dengannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26/301.)

Begitu juga, ulama mazhab Syafi‘i turut bersetuju dengan pendapat bahawa boleh menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak yang bernajis. Mengenai perkara ini, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari ada menukilkan daripada kitab al-Majmu‘ bahawa harus melumurkan kapal dengan lemak bangkai haiwan, membuat sabun dengan minyak bernajis, memberi makan bangkai haiwan kepada anjing-anjing dan burung-burung, serta memberi makan makanan yang terkena najis (mutanajjis) kepada haiwan ternakan. (Lihat Asna al-Matalib, 1/278.)

Di samping itu, al-Ramli menjelaskan lagi dengan menyatakan bahawa seseorang itu harus menggunakan sabun yang dibuat daripada minyak bernajis pada anggota badannya atau pakaiannya. Kemudian, dia membersihkannya — yakni sabun tersebut daripada badan dan pakaiannya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/384-385;  Hasyiah al-Ramli ‘ala Asna al-Matalib, 1/278.)

Berubat dengan bahan bernajis

Mengenai hal ini, terdapat hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ لَـمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.

Riwayat Ibn Hibban (1391)

Selain itu, terdapat juga hadith lain sebagaimana diriwayatkan oleh Wa’il al-Hadrami, bahawa Tariq bin Suwaid al-Ju‘fi R.A bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan arak. Kemudian, Baginda SAW melarang — atau tidak gemar untuk beliau melakukannya. —  Tariq berkata: “Sesungguhnya aku melakukannya untuk berubat.” Maka Baginda SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ، وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya ia (arak) bukan ubat, akan tetapi merupakan suatu penyakit.

Riwayat Muslim (1984)

Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu hukum berubat dengan najis, beliau menjelaskan pandangan mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama bahawa boleh berubat dengan najis selain daripada suatu yang memabukkan. Akan tetapi hukum keharusan itu terikat dengan ketiadaan bahan perubatan yang suci lagi halal yang harus untuk digunakan. Sekiranya terdapat bahan perubatan yang suci dan halal, maka hukum menggunakan bahan bernajis sebagai ubat adalah haram tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/50-51.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa harus menggunakan sabun yang diperbuat daripada susu keldai peliharaan pada anggota badan mahupun pakaian. Justeru, menggunakannya bagi tujuan perubatan adalah lebih-lebih lagi dibolehkan.  Akan tetapi, kemudiannya ia hendaklah dibersihkan semula pada anggota badan atau pakaian tersebut, daripada kesan sabun itu dengan air yang bersih bagi menyucikannya.

Walau bagaimanapun, kami juga ingin mengesyorkan jika tiada apa-apa keperluan untuk menggunakan sabun tersebut, maka adalah lebih baik untuk dielakkan penggunaannya kerana ia lebih dekat dengan sifat seorang Muslim itu yang suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis. Lebih-lebih lagi, sabun termasuk dalam perkara tahsiniyyat (menambah baik) dan bukannya hajiyat (keperluan) atau darurat (keperluan mendesak).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 9 Februari 2022 bersamaan 7 Rejab 1443H

Leave a Reply