Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan sesuatu makanan yang halal dinamakan dengan makanan yang haram? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

كُلُّ ٱلطَّعَامِ كَانَ حِلًّۭا لِّبَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرَٰٓءِيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّوْرَىٰةُ ۗ قُلْ فَأْتُوا۟ بِٱلتَّوْرَىٰةِ فَٱتْلُوهَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ ٩٣ فَمَنِ ٱفْتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Maksudnya: “Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israil – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar (93). (Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.’

(Surah Ali ‘Imran: 93-94)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa mengharamkan mengharamkan sesuatu yang halal ataupun sebaliknya, sememangnya hal ini adalah dilarang sama sekali oleh Allah SWT, malah ia juga merupakan suatu perbuatan yang syirik. Hal ini jelas sepertimana yang difirmankan Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ ٱلْكَذِبَ هَـٰذَا حَلَـٰلٌۭ وَهَـٰذَا حَرَامٌۭ لِّتَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ ١١٦ مَتَـٰعٌۭ قَلِيلٌۭ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌۭ

Maksudnya: “Jangan kamu menyatakan apa yang disebut oleh lidah kamu tanpa dalil secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram.’ Ia bertujuan untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan-adakan perkara dusta terhadap Allah tidak akan berjaya. Mereka hanya memperoleh kesenangan yang sedikit di dunia dan merasai azab yang pedih di Akhirat.”

(Surah al-Nahl: 116-117)

Kemudian, berbalik kepada soalan yang diajukan, iaitu isu penamaan makanan dan minuman halal dengan sesuatu yang haram, maka kami berpendapat ia juga adalah dilarang. Di sana terdapat hadith daripada Abu Malik al-Asy‘ari RA, bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ، يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

Maksudnya: “Pasti sebahagian manusia dari umatku meminum arak dan menukarnya dengan nama yang lain.”

Riwayat Abu Daud (3688)[1]

Syeikh Abd al-Muhsin al-Badr ketika mensyarahkan hadith ini di dalam sunan Abu Daud menyatakan bahawa arak ialah setiap yang memabukkan. Hukum berkaitan dengan mabuk tetap haram walau perkara atau benda yang memabukkan ini dinamakan dengan apa sahaja. Ini kerana, sesungguhnya ibrah yang diambil kira adalah pada hakikat bukan pada lafaz walaupun arak itu dinamakan dengan sesuatu yang tidak dikenali. Kadang-kadang nama itu secara zahirnya baik dan cantik tetapi nama itu tidak dapat mengubah hakikat sesuatu itu. Pengharaman berlaku dan hukumnya (haram) tetap ada walau ia dinamakan dengan nama lain. Lantas, sekiranya pada suatu masa kelak, minuman arak dijenamakan semula dengan nama-nama lain yang kedengaran atau kelihatan baik dan suci, maka hukumnya adalah tetap haram oleh kerana melihat kepada hakikat perkara tersebut dan bukan hanya melihat pada namanya sahaja. Di samping itu, perbuatan menukarkan atau memberikan nama yang haram kepada sesuatu yang halal atau sebaliknya amatlah dilarang di dalam agama Islam. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/444-445).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Al-Munziri menyebutkan, sanadnya adalah sahih atau hasan atau apa yang menghampirinya. (Lihat al-Targhib wa al-Tarhib, 3/255).

Leave a Reply