#4431: Kefardhuan Haji Saat Pandemik Covid-19

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah sudut pandang Islam berkenaan soal kefardhuan haji ketika berlakunya pandemik Covid-19 dahulu? Adakah kewajipan haji ketika itu tergugur disebabkan oleh hal tersebut selari dengan syarak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:

فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌۭ مَّقَامُ إِبْرَٰهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنًۭا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًۭا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Maksudnya: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

(Surah Ali ‘Imran: 97)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kami ingin katakan bahawa tergugurnya kewajipan haji ketika pandemik Covid-19 dahulu adalah selari sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak.

Ayat 96 daripada Surah Ali ‘Imran di atas di antara dalil yang menunjukkan kepada kefardhuan haji. Terdapat hadith yang mengukuhkan seruan ayat tersebut. Daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ، وَحَجِّ الْبَيْتِ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam itu didirikan atas lima perkara; penyaksian bahawa tiada tuhan disembah melainkan Allah SWT dan bahawa Muhammad itu utusan Allah SWT, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan.”

Riwayat al-Bukhari (8)

Ibadat haji perlu ditunaikan semata-mata untuk Allah SWT Ini sesuai dengan makna haji dari segi bahasa ialah qasad atau menuju sesuatu. (Lihat Tafsir al-Azhar, 4/13). Jika tidak sia-sialah segala usaha berkelana dan berjalan demi ibadat yang penuh cabaran ini. Walaupun haji merupakan kefardhuan agama yang tersenarai dalam Rukun Islam, tetapi pelaksanaannya hanya diwajibkan bagi yang memenuhi syarat-syarat wajib haji. Menurut sebahagian pendapat dalam Mazhab Syafi‘i, terdapat tujuh syarat asas wajib haji seperti berikut:[1]

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Merdeka
  5. Bekalan dan kenderaan.
  6. Perjalanan yang aman.
  7. Mampu pergi dan pulang.

Dalam ayat 97, Surah Ali ‘Imran, Allah SWT menyebut secara khusus syarat berkaitan kemampuan menunaikan haji. Majoriti fuqaha’ menyatakan kemampuan ialah mempunyai wang belanja diri dan keluarga dan mempunyai kenderaan untuk pergi dan balik dengan selamat. Pendapat ini berasaskan pendapat Ibn Umar R.Anhuma. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 4/336).

Berbalik kepada isu yang boleh diutarakan di dalam segmen ini, antaranya adalah mengenai hal penangguhan ibadah haji yang berlaku pada tahun 2020 oleh kerana kewujudan wabak pandemik COVID-19. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan Arab Saudi menutup pintu sempadan negara seterusnya terpaksa menangguhkan aktiviti utama umat Islam iaitu ibadah Haji pada tahun ini. Kerajaan Malaysia turut mengambil langkah yang serupa dengan menyekat aliran keluar masuk individu ke negara yang mempunyai kes positif Covid yang besar dan tinggi bagi mengelakkan daripada penyebaran yang lebih meluas.

Sebagaimana maklum, salah satu daripada syarat wajib haji ialah aman dalam perjalanan, justeru itu, seseorang itu tidak wajib menunaikan haji sekiranya dia berasa bimbang terhadap ancaman musuh, atau bahaya peperangan, penularan wabak yang berbahaya ataupun perkara-perkara lain ketika dalam perjalanan, meskipun dirinya sudah mampu untuk mengerjakan ibadah haji tersebut. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/446-447).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota kaki:

[1] Lihat Mukhtasar Abi Syuja’, hlm. 69.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

1 thoughts on “#4431: Kefardhuan Haji Saat Pandemik Covid-19

  1. ckyn25 says:

    rentetan Dari jawapan di atas….Saya Nak Tanya Jika sorang isteri Nak pergi haji (rukun islam atas individu) tapi suaminya Kata Nanti Dulu (dlm ertikata lain tak dapat keizinan suami) utk menunaikan haji….apakah hukum menunaikan haji atas isteri tersebut? gugur kah kefardhuan haji atas isteri itu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *