Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah terdapat kajian tentang bahasa pokok? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَبَّحَ لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-hadid: 1)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bukan manusia sahaja yang memiliki fitrah memuji dan memuja Tuhan yang menciptakan, bahkan segala makhluk lain yang tidak bernyawa seperti gunung, batu, tumbuhan dan haiwan juga memiliki fitrah memuji dan memuja Tuhan. Sains hari ini mengkaji dan menjelaskan bahawa tumbuhan dan haiwan juga mempunyai bahasa tersendiri dan cara berinteraksi sesama mereka, bahkan tumbuhan juga mempunyai perasaan sebagaimana haiwan. Malah boleh jadi tumbuhan juga ada bahasa mereka. Satu kajian yang dijalankan pada tahun 1779 menyatakan bahawa tumbuhan bernafas sebagaimana manusia di mana ia menyedut karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen. (Lihat Allah wa ‘Ilm al-Hadis.hlm.38 )

Sementara itu, Stephen Harrod Buhner menyatakan, “the plants can speak to human beings if only human beings will listen and respond to them in proper state of mind.”[1]Selain itu, satu kajian yang dijalankan tentang bagaimana tumbuhan mengawal diriya daripada dijangkiti penyakit mendapati bahawa tumbuhan mempunyai sistem imun yang tersendiri bagi melawan penyakit selain terdapat keupayaan-keupayaan yang lain pada tumbuhan.[2] Kisah batang tamar yang menangis di zaman Nabi SAW dahulu sudah cukup jelas membuktikan kehebatan alam tumbuhan sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

المَسْجِدُ مَسْقُوفًا عَلَى جُذُوعٍ مِنْ نََخْلٍ، فَكَانَ النَّبِِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ يَقُومُ إِلََى  جِذْعٍ مِنْهَا، فَلَمَّا صُنِعَ لَهُ المِنْبَرُ وَكَانَ عَلَيْهِ، فَسَمِعْنَا لِذَلِكَ الجِذْعِ صَوْتًًا كَصَوْتِ العِشَارِ، حَتََّّى جَاءَ النَّبِِيُّ  صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعَ يَدَهُ عَلَيْهَا فَسَكَنَتْ

Maksudnya: Maksudnya: “Dahulu masjid (Nabawi) tiang-tiangnya dibuat dari batangbatang pohon kurma dan apabila Nabi SAW berkhutbah, Baginda akan berdiri pada salah satu batang-batang pohon kurma tersebut. Ketika Baginda SAW dibuatkan mimbar (yang baharu) dan berkhutbah dengan berdiri di atasnya, kami mendengar suara dari batang kayu tersebut bagaikan suara unta yang hampir beranak, lalu Nabi SAW datang menghampirinya kemudian meletakkan tangan Baginda SAW pada batang kayu tersebut hingga akhirnya batang kayu itu tenang.”

Riwayat Bukhari(3585)

Ini membuktikan bahawa tumbuhan mempunyai perasaan, dapat berinteraksi dengan makhluk lain, dapat melihat dan mendengar dan merespon secara positif atau negatif. Dengan penemuan-penemuan ini, benarlah firman Allah SWT bahawa semua makhluk-Nya di alam ini bertasbih sebagai tanda patuh dan taat kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Bayan,5/615-616)

Justeru kami katakan Sentiasalah berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT. Sedangkan makhluk tidak bernyawa pun bertasbih kepada Allah SWT, inikan pula manusia yang berakal dan merupakan sebaik-baik makhluk tidak mahu bertasbih kepada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Wallahua’lam

Nota kaki:

[1] Stephen Harrod Buhner. 2004. The Secrets Teachings of Plants: The Intelligent of the Heart in the Direct Perception of Nature. Vermont: Bears & Company. 2

[2] Computer and Computing Technologies in Agriculture III, Third IFIP TC12 International Conference 2009. Beijing, China. Lirong Qi et al. 2009. Influence of Sound Wave Stimulation on the Growth of Strawberry in Sunlight Greenhouse. Germany: Springer. Page449. Benjamin D. Koen et al. 2008. The Oxford Handbook of Medical Ethnomusicology. New York: Oxford University Press, Inc. page370.

Leave a Reply