#4503: Hikmah Saintifik Berkaitan Infak Terhadap Biologi Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hikmah saintifik tentang kesan infak terhadap biologi manusia? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَأَنفِقُوا مِمَّا جَعَلَكُم مُّسْتَخْلَفِينَ فِيهِ ۖ فَالَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَأَنفَقُوا لَهُمْ أَجْرٌ كَبِيرٌ

Maksudnya: Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.

(Surah hadid: 7)

Menjawab bagi persoalan di atas, Mutakhir ini masalah mental dan kemurungan meningkat secara mendadak. Menurut Ruzita Jamaluddin, Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah, penyakit mental dijangka menjadi penyakit kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020. Malah, pada 2008, terdapat 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan. Justeru, pelbagai kajian saintifik dijalankan bagi membantu pesakit yang mengalami kemurungan agar berasa lebih gembira serta dapat meningkatkan sistem imun badan untuk menghalang pelbagai penyakit. Menariknya, banyak kajian membuktikan bahawa amalan infak atau menderma membantu manusia kekal bahagia di dunia.

Namun, sejauh manakah hasil dapatan kajian-kajian ini? Berikut dinyatakan beberapa kajian saintifik yang dijalankan di barat yang membuktikan bahawa amalan menderma mempunyai kesan positif terhadap biologi tubuh manusia. Antaranya, kajian yang dijalankan oleh penyelidik di University of British Columbia dan Harvard Business School mendapati bahawa menderma untuk orang lain merangsang kebahagiaan. Sementara penyelidik Elizabeth Dunn berkata, kajian saintifik menunjukkan bahawa seseorang yang membelanjakan harta dan membantu orang lain akan lebih bahagia daripada membelanjakannya untuk diri mereka sendiri. Menurut kajian yang diterbitkan di laman psychologytoday, cara baharu untuk merawat kemurungan dan menstabilkan hormon tekanan kortisol dan mendapat kesihatan yang lebih baik adalah dengan membelanjakan sebahagian hartanya kepada orang lain.[1]

Manakala, penyelidik dari University of British Columbia seperti Helliwell mengesyorkan untuk menjadi sangat gembira adalah dengan cara menderma dan melakukan aktiviti amal, dan bukannya menumpukan kepada keseronokan peribadi sahaja, khususnya kepada pesakit kanser.[2]

Hakikatnya al-Quran mendahului fakta-fakta sains ini ketika Allah SWT memerintahkan manusia membelanjakan harta kepada orang miskin, fakir dan menderma fi sabillah. Malah Allah SWT memberi jaminan kebahagiaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menginfakkan harta kerana Allah SWT sebagaimana firman-Nya, “Orang-orang yang menginfakkan harta mereka pada waktu malam dan siang secara sembunyi ataupun terang-terangan, akan mendapat pahala daripada Tuhan mereka. Tidak ada sebarang kebimbangan bagi mereka pada hari akhirat dan mereka tidak pula merasa dukacita kepada harta yang dibelanjakan di dunia.” (Surah al-Baqarah: 274)

Kesimpulannya, amalan infak atau menderma tidak hanya memberi manfaat kepada penerima sumbangan, tetapi juga memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan emosi orang yang memberi. Kajian sains telah menunjukkan hubungan antara amalan kebaikan ini dengan peningkatan kesihatan mental dan fizikal, yang menjadikannya penting bukan hanya dari segi keagamaan atau moral, tetapi juga dari perspektif biologi dan kesihatan.

Kami akhiri dengan sebuah hadith: Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيْهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُوْلُ أَحَدُهُمَا: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا. وَيَقُوْلُ اْلآخَرُ: اَللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya: “Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian.” Manakala Malaikat satu lagi berkata: “Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan.”

Riwayat al-Bukhari (1442) dan Muslim (1010)

Imam Badruddin al-‘Aini menjelaskan bahawa padanya terdapat doa malaikat, sedangkan doa malaikat adalah sebuah doa yang akan selalu dimakbulkan berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang ucapan aminnya itu bertepatan dengan ucapan para malaikat, maka diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Lihat Umdah al-Qari, 8/307)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Ibn al-Manayyar berkata: Imam al-Bukhari menyebutkan bab ini di antara bab-bab tentang anjuran bersedekah. Hal itu dimaksudkan sebagai motivasi untuk bersedekah dalam kebaikan. Perbuatan ini dijanjikan akan diberi ganti ketika di dunia sebagai tambahan atas pahala yang akan diterima di akhirat kelak.

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian berkata: Adapun ‘pengganti’ di sini lebih tepat jika tidak disebutkan secara khusus, agar mencakupi harta, pahala dan selainnya. Betapa banyak orang yang bersedekah, lalu meninggal dunia sebelum sedekahnya itu diganti secara material (kekayaan kebendaan), maka sebagai gantinya adalah pahala di akhirat, atau dia dihindarkan dari keburukan yang setara dengannya.

Al-Nawawi berkata: Sedekah yang terpuji adalah sedekah dalam hal-hal ketaatan untuk orang-orang yang ada dalam tanggungan, tetamu dan perkara-perkara yang bersifat sukarela.” Sementara al-Qurtubi berkata, Ini mencakupi hal-hal yang wajib dan sunat. Namun orang yang tidak bersedekah dalam perkara-perkara sunat tidak berhak mendapat ancaman tersebut, kecuali jika dirinya didominasi oleh sifat kedekut dan bakhil.” (Lihat Fath al-Bari, 3/305)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” 44

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Clow, A., Lambert, S., Evans., P., Hucklebridge, F., Higuchi, K. (2003). An investigation into asymmetrical cortical regulation of salivary S-IgA in conscious man using transcranial magnetic stimulation. International Journal of Psychopathology, 47, 57-64. Money Buys Happiness When You Spend On Others. http://www.sciencedaily.com/releases/2008/03/080320150034.htm. http://www.psychologytoday.com/blog/minding-the-body/201108/worried-aboutmoney- give-some-away

[2] Lihat : https://news.ubc.ca/2012/02/01/six-things-science-tells-us-about-happiness Diakses pada 23 November 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *