Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah terdapat kajian ilmiah tentang khusyuk hati ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ

Maksudnya: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.

(Surah al-Hadid:16)

Menjawab bagi persoalan di atas Khusyuk bermakna rendah hati dan tunduk kepada Allah SWT dengan menginsafi akan kerendahan diri dan kelemahan yang ada ketika berhadapan dengan kekuasaan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Azhar, 27/352)

Di antara amalan yang dituntut khusyuk padanya ialah solat dan membaca al-Quran. Berikut dinukilkan kajian ilmiah berkenaan kesan khusyuk pada solat dan bacaan al-Quran pada diri seseorang:

  • Kajian tentang kesan khusyuk ketika solat: Para pakar neurosains mendapati bahawa otak manusia memancarkan gelombang otak yang boleh diukur dengan menggunakan peralatan Electroencephalography (EEG). Otak memancarkan gelombang sesuai keadaan fikiran dan jiwa seseorang. Terdapat 4 keadaan gelombang otak manusia iaitu beta, alpha, theta dan delta. Menurut Shawn, ketika hormon kortisol dikeluarkan oleh tubuh, bacaan gelombang otak manusia berada di kedudukan beta (14-100 Hz). Pada keadaan ini seseorang dalam keadaan terjaga dan sedar sepenuhnya. Otak kiri berada dalam keadaan aktif digunakan untuk kepekatan berfikir, mengira, menganalisa atau menilai keadaan di sekitarnya sehingga gelombang otak meninggi. Gelombang otak yang tinggi merangsang otak mengeluarkan hormon kortisol dan norefinefrin yang menyebabkan rasa cemas, tegang dan stress.[1] Namun, sewaktu solat berlaku penurunan kadar hormon kortisol daripada tubuh badan kerana ketika solat, gelombang otak manusia berada di tahap alpha (8-13Hz) di mana kebiasaannya tubuh berasa tenang, khusyuk, dengan fokus kepada zikrullah. Semasa sujud isyarat alpha dihasilkan dengan begitu tinggi. Pada keadaan ini otak menghasilkan hormon serotonin dan endorfin yang menyebabkan seseorang merasa selesa, tenang dan bahagia. Hormon ini meningkatkan daya tahan tubuh, melebarkan pembuluh darah, menstabilkan degupan jantung dan mempertajam pancaindera manusia.[2] Hal ini berlaku kerana semasa menunaikan solat, gelombang otak manusia akan bertindakbalas sesuai dengan keadaan fikiran seseorang. Semakin ia khusyuk di dalam solat, semakin tinggi manfaat yang diperolehi, bukan sahaja kesihatan tetapi juga kemuliaan di sisi Allah SWT.
  • Kajian tentang kesan khusyuk ketika membaca atau mendengar ayat al-Quran: Kajian tentang ini banyak dijalankan ke atas pesakit yang menjalani rawatan yang dibacakan ayat al-Quran. Kebanyakan kajian menunjukkan bahawa bacaan al-Quran yang diperdengarkan dapat meningkatkan gelombang alpha EEG yang dikaitkan dengan ketenangan bagi individu normal, walaupun individu tersebut tidak mampu membaca atau memahami al-Quran. Ini bermakna al-Quran bukan sahaja bermanfaat sebagai petunjuk dan sumber syariah utama dalam Islam, bahkan mukjizatnya turut dapat dirasai dari sudut biologi. Contohnya, kajian oleh Eva Dwi Mayrani dan Elis Hartati (2013) mengenai terapi suara dengan menggunakan bacaan dan audio ayat al-Quran yang bertajuk “Intervensi terapi audio dengan murattal Surah al-Rahman terhadap perilaku anak autisme”, mendapati berlakunya penurunan tingkah laku anak autisme dari aspek sosial, emosi, dan perilaku hasil daripada ayat al-Quran. Selain itu, kajian Keshavarz (2010) bertajuk “The effect of holy Quran recitation on physiological responses of premature infant” yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di Iran, mendapati terapi audio al-Quran mempunyai signifikan dalam penyembuhan penyakit. Begitu juga kajian Majidi (2004) yang bertajuk “Recitation effect of holy Quran on anxiety of patients before undergoing Coroner Artery Angiography”, dan kajian Ildarabadi (2003) bertajuk “Effect of Quran sound on rate of worry of open heart surgery patients” berkaitan dengan al-Quran dan penyembuhan. Di Malaysia, satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik USIM yang diketuai oleh Adnan Mohamed Yusuff yang bertajuk “Penggunaan Terapi Audio Ayat Quran Terpilih Untuk Rawatan Pesakit Koma” mendapati tindak balas positif terhadap tekanan darah pesakit. Raymond Azman Ali menjelaskan bahawa sebagai seorang Islam, kita perlu percaya kepada spiritual kerana dalam sains perkara ganjil yang dialami sewaktu koma tidak boleh dibuktikan, dilihat atau divisualkan. Oleh itu, dua falsafah antara saintifik dan keimanan kepada Allah SWT perlu digabungkan, umpamanya dalam Islam, semua penyakit ada ubatnya kecuali mati.[3]

Justeru kami katakan khusyuk hati adalah satu keadaan di mana seseorang sangat fokus, khusyuk, dan terlibat sepenuhnya dalam sesuatu yang sedang dilakukan. Istilah ini sering berkaitan dengan konteks keagamaan atau spiritual dalam praktik ibadah, seperti semasa solat (sembahyang) bagi umat Islam, namun konsep ini juga dapat diterapkan dalam kehidupan sehari-hari dalam  aktiviti-aktiviti lain.

Semoga kita mendapat golongan orang-orang yang berjaya atau al-muflihun sebagaimana disebut dalam surah al-Mukminun kerana solat yang khusyuk. Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Semoga Allah memberkan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat: Shawn Talbott . 2007. The Cortisol Connection: Why Stress Makes You Fat and Ruins Your Health. USA: Hunter House Inc. 2nd edition. 39-43.

[2] Fatimah Ibrahim et al. 2009. Solat: Kebaikan dari Perspektif Sains. Fakulti Kejuruteraan UM: Jabatan Kejuruteraan Biomedikal.

[3] Lihat: Raymond Azman Ali. 2012, Feb. Koma Menurut Pandangan Sains: Alam Roh Perkara Subjektif . Aniqah, 75, 25-27. Selangor: MMP Communication Sdn.Bhd.

Leave a Reply